Terkini
Kekang kemasukan pelarian yang bawa penyakit berjangkit Filariasis ‘kaki gajah’
Kerajaan perlu membuat perancangan berkesan untuk mengekang kemasukan warga asing khususnya pelarian Rohingya yang berisiko meningkatkan jumlah penyakit berjangkit seperti Filariasis atau untut (kaki gajah).

- Kerajaan perlu buat perancangan berkesan mengekang kemasukan warga asing terutamanya pelarian Rohingya yang berisiko meningkatkan jumlah penyakit berjangkit seperti Filariasis atau untut (kaki gajah).
- Ketua Unit Kesihatan Awam di Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-MEDIK), Dr Ihsanuddin Abbas berkata jika tiada perancangan pihak berwajib perlu menyediakan peruntukan menyaring dan merawat individu berisiko membawa penyakit itu.
- Katanya, kebanyakan warga asing memasuki negara ini tidak lagi tinggal dan bekerja di kawasan ladang atau tapak pembinaan, sebaliknya di kawasan komuniti tempatan sekali gus memberi risiko jangkitan kepada penduduk.
- Media sebelum ini melaporkan jumlah penghidap penyakit Filariasis menunjukkan peningkatan di seluruh negara sejak empat tahun lalu, khususnya dalam kalangan pekerja asing.
KUALA LUMPUR — Kerajaan perlu membuat perancangan berkesan untuk mengekang kemasukan warga asing khususnya pelarian Rohingya yang berisiko meningkatkan jumlah penyakit berjangkit seperti Filariasis atau untut (kaki gajah).
Ketua Unit Kesihatan Awam di Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-MEDIK), Dr Ihsanuddin Abbas berkata jika tiada perancangan pihak berwajib perlu menyediakan peruntukan menyaring dan merawat individu berisiko membawa penyakit itu.
Katanya, kebanyakan warga asing memasuki negara ini tidak lagi tinggal dan bekerja di kawasan ladang atau tapak pembinaan, sebaliknya di kawasan komuniti tempatan sekali gus memberi risiko jangkitan kepada penduduk.
“Bagi memastikan Malaysia boleh mencapai sasaran eliminasi filariasis, Kementerian Kesihatan (KKM) perlu sentiasa menjalankan saringan ke atas penduduk berisiko dan pekerja asing yang datang dari negara endemik.
“Perancangan Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) untuk memasukkan saringan ini sebagai syarat kemasukan pekerja asing sangatlah dialu-alukan, tetapi diharapkan saringan itu dapat dilaksanakan di negara asal mereka sebelum dibawa masuk ke sini.
“Ini kerana ia memerlukan kos lebih tinggi untuk menjalankan saringan dan rawatan di dalam negara jika penyakit itu dikesan.
“Selain filariasis, penyakit bawaan vektor seperti malaria juga masih dikesan dalam kalangan pekerja asing. Justeru ia juga perlu disaring sebelum dibawa masuk.
“Malaysia juga menerima kemasukan pelarian Rohingya yang juga berisiko membawa penyakit seperti filariasis dan malaria. Justeru kerajaan perlu membuat perancangan yang lebih berkesan mengekang kemasukan mereka,” katanya dipetik Berita Harian pada Selasa.

Foto : Infografik dari Bernama
Media sebelum ini melaporkan jumlah penghidap penyakit Filariasis menunjukkan peningkatan di seluruh negara sejak empat tahun lalu, khususnya dalam kalangan pekerja asing.
Filariasis adalah penyakit bawaan cacing filaria yang disebarkan pelbagai jenis nyamuk di mana bagi cacing dewasa itu, ia hidup antara enam hingga lapan tahun dalam sistem saluran limfatik, menyebabkan kerosakan terutamanya pada bahagian kaki dan tangan, mengakibatkan untut (kaki gajah) dan hydrocele (pembengkakan skrotum).
Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Epidemiologist, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata kerajaan perlu mengambil tindakan tegas kepada pekerja yang dikesan mempunyai penyakit itu termasuk menghantar mereka pulang ke negara asal.
“Sasaran dapat dicapai jika KKM tingkatkan program saringan di lokasi tertentu terutamanya dalam kalangan pendatang atau pekerja asing.
“Bagi yang dikenalpasti ada penyakit mesti dapatkan rawatan lengkap terutama mereka berada di kawasan pendalaman.
“Tindakan tegas juga perlu diambil untuk menghantar pekerja asing ini pulang sekiranya dikesan mempunyai penyakit ini,” katanya. — The Merdeka Times
