Connect with us

Terkini

Perkemaskan undang-undang lompat parti halang wakil rakyat sokong lawan

Undang-undang lompat parti perlu diperkemas selepas didakwa gagal memastikan wakil rakyat dipilih tidak mencari helah untuk menghalalkan sesuatu tujuan yang dilihat tidak bertepatan dengan peranan mereka.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Perkemaskan undang-undang lompat parti halang wakil rakyat sokong lawan
Foto: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Mohd Shukri Ramli.
  • Undang-undang lompat parti perlu diperkemas selepas didakwa gagal memastikan wakil rakyat yang dipilih tidak mencari helah untuk menghalalkan sesuatu tujuan tidak bertepatan dengan peranan mereka.
  • Ia rentetan empat Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) iaitu Kuala Kangsar, Labuan, Gua Musang dan Jeli mengambil tindakan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun ingin terus kekal bersama parti tersebut.
  • “Bagi saya, pindaan akta itu juga perlu diperlengkap (dengan klausa) menghalang mana jua Ahli Parlimen yang hendak bagi sokongan kepada parti lawan pun tidak boleh, itu barulah betul kerana jika dilihat dalam situasi sekarang ini masih ada ruang nak alih sokongan tanpa lompat parti,” kata Menteri Besar yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Mohd Shukri Ramli.

KANGAR: Undang-undang lompat parti perlu diperkemas selepas didakwa gagal memastikan wakil rakyat dipilih tidak mencari helah untuk menghalalkan sesuatu tujuan yang dilihat tidak bertepatan dengan peranan mereka.

Ia rentetan empat Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) iaitu Kuala Kangsar, Labuan, Gua Musang dan Jeli mengambil tindakan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun ingin terus kekal bersama parti tersebut.

Menteri Besar yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Mohd Shukri Ramli mendakwa, undang-undang lompat parti itu gagal kerana masih wujud wakil rakyat yang cuba mencari peluang untuk beralih sokongan meskipun mandat sudah pun diberikan oleh rakyat.

“Perkara ini perlu diperkemaskan lagi supaya semua wakil rakyat tidak boleh mencari helah untuk ‘menghalalkan kerja yang tak elok’.

“Bagi saya, pindaan akta itu juga perlu diperlengkap (dengan klausa) menghalang mana jua Ahli Parlimen yang hendak bagi sokongan kepada parti lawan pun tidak boleh, itu barulah betul kerana jika dilihat dalam situasi sekarang ini masih ada ruang nak alih sokongan tanpa lompat parti,” katanya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan 50 Tahun Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) di sebuah hotel di Kuala Perlis, di sini semalam.

Katanya, sokongan dan pendirian PAS dalam PN masih terus kekal utuh disebabkan mereka sudah ditarbiyah untuk lebih beristiqamah dalam perjuangan.

“PAS ada tarbiyahnya, PAS dididik untuk setia pada satu tujuan dan beristiqamah dan Insyallah saya fikir apa yang berlaku dalam PN ini akan satu peluang dan bukan halangan kepada kita untuk terus berjuang.

“Dalam soal BERSATU pula, saya lihat meskipun ada Ahli Parlimennya menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai usaha untuk mendapatkan bantuan peruntukan di kawasan Parlimen, saya yakin mereka masih terus menyokong PN,” katanya.

Beliau berkata, dalam konteks negeri itu pula, pihaknya bersyukur tidak wujud gerakan sedemikian rupa yang mampu mengganggu gugat parti serta kestabilan kerajaan negeri.

“Di Perlis, tiada gerakan atau sokongan seumpama itu dikesan buat masa ini namun jika wakil rakyat PN boleh nyatakan sokongan kepada Perdana Menteri dengan tidak berpindah parti, saya rasa tidak mustahil wakil rakyat gabungan PN-Barisan Nasional (BN) pun boleh laksanakan perkara yang sama,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid memulakan tindakan mengisytiharkan menyokong kepimpinan Anwar pada 12 Oktober lalu disusuli Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman, dua minggu kemudian dan diikuti Rabu lalu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik pula berbuat demikian.

Sumber: Berita Harian

Author