Terkini
PDRM cadang agensi kerajaan kawal selia NGO buat kutipan derma
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membuat kutipan derma ini didaftarkan serta dikawal selia oleh agensi kerajaan tertentu seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau mana-mana agensi berkaitan.
- PDRM cadangkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membuat kutipan derma ini didaftarkan serta dikawal selia oleh agensi kerajaan tertentu seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau mana-mana agensi berkaitan.
- Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, setakat ini tiada undang-undang khusus untuk kawal kutipan derma bagi bencana atau konflik yang bukan diuruskan kerajaan.
- “Ini bagi memastikan kutipan derma yang dibuat dapat disalurkan secara sah kepada penerima yang sepatutnya,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membuat kutipan derma ini didaftarkan serta dikawal selia oleh agensi kerajaan tertentu seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau mana-mana agensi berkaitan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, setakat ini tiada undang-undang khusus untuk mengawal kutipan derma bagi bencana atau konflik yang bukan diuruskan oleh kerajaan.
Menurutnya, justeru, PDRM tidak menolak kemungkinan wujudnya anasir yang ‘menangguk di air keruh’ dan mengambil kesempatan terhadap perasaan simpati rakyat Malaysia ke atas apa yang berlaku di Palestin.
“Dalam situasi pergolakan yang sedang berlaku di Palestin, kita menyedari banyak NGO, persatuan dan pertubuhan tampil menganjurkan kutipan sebagai solidariti kepada rakyat Palestin.
“Sebagai langkah pengawalan, PDRM menyarankan badan-badan bukan kerajaan yang membuat kutipan derma ini didaftarkan serta dikawal selia oleh agensi kerajaan tertentu seperti JKM atau mana-mana agensi berkaitan.
“Ini bagi memastikan kutipan derma yang dibuat dapat disalurkan secara sah kepada penerima yang sepatutnya,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Ramli juga menyarankan masyarakat di negara ini untuk lebih berhati-hati dalam menyalurkan sumbangan kepada mana-mana tabung kemanusiaan khususnya membabitkan bantuan terhadap rakyat Palestin.
“Langkah ini adalah untuk mengelakkan berlakunya penipuan membabitkan NGO yang cuba mengambil kesempatan atas konflik yang berlaku di Palestin,” katanya.
Sumber: Harian Metro