Terkini
Projek koridor ekonomi IMEC ditangguh ekoran perang Palestin-Israel
Projek Koridor Ekonomi India-Timur Tengah dan Eropah (IMEC) membabitkan pakatan Amerika Syarikat (AS), Israel dan India untuk menyekat pengaruh geopolitik dan ekonomi China melalui Belt and Road Initiative (BRI) ditangguhkan ekoran perang Palestin-Israel, lebih dua minggu lalu.
- Projek Koridor Ekonomi India-Timur Tengah dan Eropah (IMEC) membabitkan pakatan Amerika Syarikat (AS), Israel dan India untuk menyekat pengaruh geopolitik dan ekonomi China melalui Belt and Road Initiative (BRI) ditangguhkan ekoran perang Palestin-Israel, lebih dua minggu lalu.
- Ketua Pegawai Operasi IRIS Institute, Asyraf Farique berkata demikian berdasarkan pandangan penganalisis India bahawa serangan Hamas pada 7 Oktober lalu berjaya menangguhkan projek IMEC.
- Asyraf berkata projek koridor ekonomi itu wajar diberikan perhatian kerana melibatkan persaingan dan permainan kuasa-kuasa besar terhadap wilayah Timur Tengah.
- “Perang Palestin-Israel menurut China telah melumpuhkan pembinaan projek ini daripada terus berjalan. Selain mendakwa projek ini masih di peringkat yang terlalu awal serta mempunyai potensi kegagalan yang tinggi (Sumber: Global Times China),” katanya dalam kenyataan disiarkan Fokus.My, portal dimiliki IRIS Institute.
- IMEC menjadi projek strategik kepada Israel untuk memastikan kemandirian sumber tenaga mereka terpelihara dan berkesinambungan serta tidak terputus jika disekat.
KUALA LUMPUR —≈ Projek Koridor Ekonomi India-Timur Tengah dan Eropah (IMEC) membabitkan pakatan Amerika Syarikat (AS), Israel dan India untuk menyekat pengaruh geopolitik dan ekonomi China melalui Belt and Road Initiative (BRI) ditangguhkan ekoran perang Palestin-Israel, lebih dua minggu lalu.
Ketua Pegawai Operasi IRIS Institute, Asyraf Farique berkata demikian berdasarkan pandangan penganalisis India bahawa serangan Hamas pada 7 Oktober lalu berjaya menangguhkan projek IMEC.
Asyraf berkata projek koridor ekonomi itu wajar diberikan perhatian kerana melibatkan persaingan dan permainan kuasa-kuasa besar terhadap wilayah Timur Tengah.
Katanya, projek itu juga menjadi projek strategik kepada Israel untuk memastikan kemandirian sumber tenaga mereka terpelihara dan berkesinambungan serta tidak terputus jika disekat.
Foto : Jambatan darat Dubai-Haifa
“Penganalisis India berpendapat serangan Hamas terhadap Israel berjaya menangguhkan projek IMEC yang diusahakan Amerika Syarikat, Israel dan India untuk menyekat pengaruh geopolitik dan ekonomi China melalui BRI. (Sumber: The Probe)
“China pula berpendapat, projek IMEC hanyalah sekadar retorik Amerika Syarikat untuk melemahkan pengaruh geopolitik China di Timur tengah.
“Perang Palestin-Israel menurut China telah melumpuhkan pembinaan projek ini daripada terus berjalan. Selain mendakwa projek ini masih di peringkat yang terlalu awal serta mempunyai potensi kegagalan yang tinggi (Sumber: Global Times China),” katanya dalam kenyataan disiarkan Fokus.My, portal dimiliki IRIS Institute.
Walaupun tertangguh, Asyraf berkata pelabur dan proksi zionis India, Adani Group dilaporkan tetap meneruskan pembelian Pelabuhan Haifa dengan jumlah 1.2 bilion dolar.
Katanya, pihak terbabit juga menyifatkan serangan Palestin-Israel tidak akan memberi kesan terhadap potensi pelabuhan Haifa yang akan menjadi hub kepada koridor ekonomi yang menghubungkan Asia dan Eropah.
Menurut beliau, sebulan sebelum serangan dilancarkan Hamas terhadap Israel, iaitu pada 8 September lalu, perjanjian IMEC itu dimeterai di persidangan negara-negara G-20 melibatkan negara India, UAE, Arab Saudi, Perancis, Jerman, Itali, Kesatuan Eropah serta Amerika Syarikat.
IMEC dibahagikan kepada dua koridor utama, koridor Timur yang menghubungkan India ke negara Teluk Arab, dan negara Teluk Arab ke Eropah di mana pelan itu akan merangkumi laluan kereta api, laluan pelabuhan, kabel dasar laut, dan laluan paip untuk eksport sumber tenaga melibatkan India, UAE, Arab Saudi, Jordan, Israel dan Eropah.
Perjanjian itu dilaporkan dibincangkan secara rahsia oleh Israel dan Amerika Syarikat sejak Julai 2023, demikian menurut pendedahan akhbar Israel The Jerusalem Post. — The Merdeka Times
Sumber : Fokus.My