Terkini
Portal berita MalaysiaNow henti beroperasi
Portal berita tempatan MalaysiaNow (MNow) secara rasmi menghentikan operasinya berkuat kuasa semalam ekoran masalah pendanaan syarikat media itu.
- Portal berita tempatan MalaysiaNow (MNow) secara rasmi menghentikan operasinya berkuat kuasa semalam ekoran masalah pendanaan syarikat media itu.
- Difahamkan, pelabur portal itu menghentikan sumbangan dana mereka menyebabkan penutupannya selepas tiga tahun beroperasi di landskap media tempatan.
- Scoop melaporkan langkah itu menjejaskan 14 pekerjanya secara keseluruhan.
- Dalam surat diberikan kepada kakitangan mereka, pihak pengurusan turut membidas kerajaan; menyebut adanya “ancaman terhadap kebebasan media” antara punca lain penutupannya.
- Ia mungkin merujuk kepada tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang meminta kerjasama daripada saluran berita itu untuk menyumbang kepada wacana awam yang lebih bermaklumat dan seimbang, bebas daripada manipulasi boleh mengelirukan.
KUALA LUMPUR – Portal berita tempatan MalaysiaNow (MNow) secara rasmi menghentikan operasinya berkuat kuasa semalam ekoran masalah pendanaan syarikat media itu.
Difahamkan, pelabur portal itu menghentikan sumbangan dana mereka menyebabkan penutupannya selepas tiga tahun beroperasi di landskap media tempatan.
Scoop melaporkan langkah itu menjejaskan 14 pekerjanya secara keseluruhan.
Dalam surat diberikan kepada kakitangan mereka, pihak pengurusan turut membidas kerajaan; menyebut adanya “ancaman terhadap kebebasan media” antara punca lain penutupannya.
Ia mungkin merujuk kepada tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang meminta kerjasama daripada saluran berita itu untuk menyumbang kepada wacana awam yang lebih bermaklumat dan seimbang, bebas daripada manipulasi boleh mengelirukan.
Baru-baru ini, SKMM meminta portal berita itu mengeluarkan laporan bertarikh 19 September lalu mengenai prosiding Parlimen di mana pembangkang melangkah keluar dewan di mana pihak berkuasa mendakwa perkara tersebut tidak menggambarkan konteks peristiwa dalam Dewan Parlimen dengan tepat.
MNow bagaimanapun mengeluarkan respon menolak permintaan itu, tanpa tindakan lanjut dari SKMM selepas itu.
Usaha Scoop menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif MNow, Abdar Rahman Koya dan Pengarang Beritanya, Amin Iskandar belum berjaya setakat ini.
Bagaimanapun, seorang bekas kakitangan portal itu mengesahkan penutupan portal media itu menerusi catatan di akaun media sosialnya.
Bekas penulis kakitangan portal itu berkata, semua pekerja syarikat itu diberhentikan kerana kekangan kewangan dihadapi syarikat.
Menurutnya, surat pemberhentian dikeluarkan kepada semua pekerja seminggu yang lalu dengan tarikh 10 Oktober 2023 sebagai tarikh rasmi pemberhentian.
Berkongsi sebahagian imej dokumen diterimanya, bekas pekerja itu turut meluahkan kekecewaannya diberhentikan, menimbulkan persoalan masa depannya dalam industri kewartawanan.
Laman berita itu juga dikatakan meningkat reputasinya setelah barisan editornya didakwa mempunyai hubungan dengan Perikatan Nasional, terutamanya Bersatu.
Semasa sidang media 9 November tahun lalu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menegur MNow sebagai (media) lidah rasmi kepada pemimpin Bersatu iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Kenyataan Rafizi dibuat selepas seorang wartawan portal itu bertanya mengapa beliau meminta derma daripada orang ramai pada 2018 bagi sebuah kes fitnah, semasa sidang media badan pemikir bukan berasaskan keuntungan Rafizi, Invoke.
Sumber: Scoop