Connect with us

Kolumnis

Kenapa ‘Koridor Kemanusiaan’ di sempadan Rafah perlu dibuka segera?

Tidak dapat dinafikan ‘koridor kemanusiaan’ dan ‘gencatan senjata’ antara dua terma yang hangat diperkatakan setiap kali berlaku krisis kemanusiaan membabitkan konflik atau peperangan di sesebuah wilayah.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Syed Azwan Syed Ali

Published

on

KORIDOR
Foto: Gambar sekadar hiasan.

Tidak dapat dinafikan ‘koridor kemanusiaan’ dan ‘gencatan senjata’ antara dua terma yang hangat diperkatakan setiap kali berlaku krisis kemanusiaan membabitkan konflik atau peperangan di sesebuah wilayah.

11 hari lalu, terma itu kembali mendominasi laporan media susulan konflik Palestin-Israel bermula 7 Oktober lalu apabila kumpulan pembebasan Palestin iaitu Hamas melakukan Operasi Taufan Al-Aqsa untuk merampas tanah Palestin dari rejim penjajah Israel.

Tindakan itu juga sebagai reaksi kepada pencerobohan berterusan zionis ke atas Masjid Al-Aqsa, keganasan peneroka haram Yahudi ke atas penduduk Palestin di Tebing Barat dan 75 tahun penjajahan, penindasan dan pembantaian ke atas rakyat Palestin.

Jadi apakah itu ‘koridor kemanusiaan’ dan ‘gencatan senjata’ dalam konteks konflik Palestin-Israel ini? Kenapa pelaksanaan koridor kemanusiaan di pintu sempadan Rafah perlu dilakukan segera?

Secara mudahnya, koridor kemanusiaan adalah laluan selamat yang diwujudkan dengan persetujuan pihak yang bertelagah di dalam sesuatu konflik atau peperangan.

Koridor kemanusiaan atau laluan selamat ini mempunyai dua tujuan utama iaitu memastikan bantuan kemanusiaan dapat disampaikan kepada kelompok terjejas, khususnya orang awam, dan kedua sebagai ‘jalan keluar’ bagi kelompok terperangkap terbabit.

Melalui koridor kemanusiaan ini juga pergerakan dan bentuk bantuan kemanusiaan akan dikawal oleh pihak yang diberikan mandat secara khusus, selain laluan selamat itu juga terhad untuk petugas perubatan, petugas kemanusiaan dan wartawan. 

Contoh mudah koridor kemanusiaan atau laluan selamat yang mana penulis sendiri pernah melaluinya ketika bertugas sebagai wartawan adalah pergerakan melalui pintu sempadan Bab Al-Hawa di sempadan Turkiye-Syria yang menjadi laluan keluar masuk bagi pelarian dan bantuan kemanusiaan dalam konteks konflik perang saudara di Syria.

Jika kita pergi kepada setahun yang lalu, di awal peperangan antara Ukraine dan Russia juga menyaksikan Presiden Vladimir Putin membuka ‘koridor kemanusiaan’ bagi warga Ukraine untuk masuk ke Russia atau ke negara jiran sekutunya iaitu Belarus.

Tentunya perkara itu (masuk ke Israel) adalah mustahil untuk berlaku dalam peperangan antara Israel dan Palestin apabila sejak dari awal lagi pemimpin Israel menyatakan mereka akan meratakan wilayah Gaza yang diperintah kumpulan Hamas sejak 2007 itu.

Dalam konteks peperangan di Gaza, pintu sempadan Rafah yang terletak di selatan Gaza adalah laluan selamat terbaik memandangkan ia di bawah kawalan negara jiran Palestin (Gaza) iaitu Mesir.

Koridor kemanusiaan itu dikatakan antara objektif utama yang akan diutarakan Malaysia dan Indonesia melalui platform ASEAN dan mesyuarat tergempar Persidangan Kerjasama Islam (OIC) yang akan berlangsung hari ini.

Mesyuarat itu akan dihadiri Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir di Jeddah, Arab Saudi dan sejauh mana hasrat terbabit menjadi kenyataan, hanya akan diketahui selepas ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbualannya dengan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, kelmarin, turut menegaskan gesaan Malaysia supaya gencatan senjata dan koridor kemanusiaan diadakan segera bagi mengelakkan krisis kemanusiaan di Gaza.

“Memandangkan keadaan teruk di Gaza, saya menyokong pemberhentian segera pengeboman dan penubuhan koridor kemanusiaan di (pintu sempadan) Rafah,” kata Anwar.

Secara praktikalnya, koridor kemanusiaan atau laluan selamat hanya boleh diadakan selepas berlakunya gencatan senjata.

Gencatan senjata pula merujuk kepada tindakan pihak terbabit dalam konflik, dalam kes ini rejim Israel dan pejuang Hamas, bersetuju untuk tidak ‘berperang’ bagi tempoh tertentu secara sementara atau sebaliknya.

Gencatan senjata pada kebiasaannya akan dicapai di meja rundingan membabitkan orang tengah (negara ketiga) berpengaruh dan tentunya perlu dihormati kedua-dua pihak bertelagah.

Kelmarin, ura-ura gencatan senjata ditaja Mesir dengan persetujuan Israel dan AS dikatakan dicapai bagi membolehkan warga asing, khususnya warga AS, keluar dari Gaza dicapai, bagaimanapun ia gagal dilaksanakan.

Setakat berita ini ditulis, rejim zionis telah mengebom lintasan sempadan Rafah sebanyak tiga kali sejak konflik terbaru bermula 7 Oktober lalu.

Malah rejim zionis mengancam akan mengebom mana-mana konvoi kemanusiaan yang cuba menyeberangi sempadan Rafah.

Mengikut Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL), semua pihak terbabit dalam konflik perlu memastikan populasi awam mendapat akses kepada tempat perlindungan, makanan, akses kesihatan dan keselamatan.

Peraturan 55 IHL menyebut; “Pihak-pihak terlibat dalam konflik mesti membenarkan dan memudahkan laluan bantuan kemanusiaan tanpa sebarang halangan, tidak berat sebelah dan tanpa diskriminasi bagi memastikan bantuan kemanusiaan disampaikan dengan cepat”.

Presiden Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), Mirjana Spoljaric dalam hantaran di Instagram ICRC berkata, bantuan menyelamat nyawa harus dibenarkan memasuki Gaza.

“Jika pihak terbabit tidak dapat menjamin perkara ini,  mereka haruslah membenarkan atau membantu memudahkan laluan bantuan kemanusiaan (koridor kemanusiaan) bagi orang awam yang memerlukan bantuan,” kata Spoljaric.

Sekalipun, kita baru saja mendengar khabar duka dari New York apabila Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada Isnin menolak resolusi gencatan senjata dicadangkan Russia, usaha membuka koridor kemanusiaan di sempadan Rafah perlu diteruskan.

Gaza semakin kritikal dengan 2.3 juta populasinya kini berdepan dengan tindakan genosid (pembunuhan besar-besaran) untuk mati dibunuh atau mati kebuluran.

Semalam, serangan udara rejim Israel di Hospital Baptist Al-Ahli mengorbankan 500 mangsa, majoritinya orang awam berlindung di hospital itu.

Dengan insiden terkini itu, lebih 3,500 warga Palestin terbunuh dalam ‘hukuman kolektif’ serangan udara rejim Israel ke atas Gaza. Di pihak Israel, 1,400 tentera dan penduduknya maut dalam operasi pejuang Hamas.

Teruknya keadaan di Gaza disimpulkan kenalan penulis di sana, Sobhi, dalam mesej whatsapp beberapa hari lalu di mana katanya, “Tuhan… di mana-mana hanyalah bau-bau kematian”.  – The Merdeka Times

Syed Azwan Syed Ali adalah seorang wartawan dan aktivis kemanusiaan yang mempunyai lebih 18 tahun pengalaman liputan di zon konflik dan bencana termasuk di Palestin, Mesir, Syria, Yaman, Somalia, Turkiye, Myanmar dan Afghanistan.

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

  • Syed Azwan Syed Ali

    Syed Azwan Syed Ali adalah seorang wartawan dan aktivis kemanusiaan yang mempunyai lebih 20 tahun pengalaman liputan di zon konflik dan bencana termasuk di Palestin, Mesir, Yaman, Syria, Lubnan, Jordan, Somalia, Turkiye, Myanmar dan Afghanistan.

    View all posts