Terkini
Mansuh pencen, cadangan mengarut – CUEPACS
CUEPACS menggesa supaya tidak ada mana-mana pihak mempertikaikan pencen yang diterima kakitangan kerajaan.

- Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata skim pencen yang menjadi keistimewaan penjawat awam di negara ini tidak wajar dilihat sebagai satu bebanan kepada kerajaan.
- “Ia satu cadangan yang mengarut dan tidak wajar dibangkitkan. Skim pencen adalah pengiktirafan terhadap sumbangan yang diberikan penjawat awam sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
- Semalam, bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam podcast Keluar Sekejap bersetuju pencen penjawat awam dihapuskan bagi membantu mengimbangi fiskal negara kerana kerajaan mungkin menanggung hingga RM50 bilion untuk pencen penjawat awam dalam masa 10 tahun akan datang sekiranya tidak dimansuhkan.
KUALA LUMPUR: CUEPACS menggesa supaya tidak ada mana-mana pihak mempertikaikan pencen yang diterima kakitangan kerajaan.
Menurut CUEPACS, cadangan untuk menghapus atau membatalkan kemudahan pencen dinikmati penjawat awam adalah tidak wajar.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata skim pencen yang menjadi keistimewaan penjawat awam di negara ini tidak wajar dilihat sebagai satu bebanan kepada kerajaan.
“Ia satu cadangan yang mengarut dan tidak wajar dibangkitkan. Skim pencen adalah pengiktirafan terhadap sumbangan yang diberikan penjawat awam sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
“Pemberian pencen kepada penjawat awam juga tidak wajar dibandingkan dengan pemberian pencen kepada Ahli Parlimen, wakil rakyat atau individu yang dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam podcast Keluar Sekejap bersetuju dengan cadangan pakar ekonomi supaya membatalkan pencen Ahli Parlimen.
Beliau turut mencadangkan pencen penjawat awam dihapuskan bagi membantu mengimbangi fiskal negara kerana kerajaan mungkin menanggung hingga RM50 bilion untuk pencen penjawat awam dalam masa 10 tahun akan datang sekiranya tidak dimansuhkan.
Bagaimanapun, Khairy dalam kenyataannya menyebut supaya pencen kakitangan awam baharu sahaja yang ditiadakan. “Semua penjawat awam yang baru, selepas tarikh ditetapkan, sebagai contoh 1 Januari 2024, semuanya dimasukkan ke dalam KWSP.”
Terdahulu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut dilaporkan bersetuju dengan cadangan memansuhkan pencen untuk semua menteri dan Ahli Parlimen serta dimasukkan ke skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti rakyat biasa.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, tidak wajar untuk ahli politik mempersoalkan keistimewaan yang diberikan kepada penjawat awam, mengambil kira majoriti mereka telah berkhidmat lebih 30 tahun.
“Kami penjawat awam bukan seperti ahli politik yang berkhidmat dalam tempoh yang singkat, imbuhan tinggi dan dalam masa sama layak menikmati pencen yang besar. Ada dalam kalangan penjawat awam ketika ini hanya menikmati pencen sekitar RM1,000 sebulan walaupun telah berkhidmat 30 tahun.
“Sudahlah ketika berkhidmat pun gaji tidaklah tinggi dan ketika sudah pencen pula masih ramai yang mempertikaikan keistimewaan pencen mereka yang sedikit itu,” katanya.
Beliau turut berkata, CUEPACS mahupun penjawat awam tidak pernah cemburu atau mempertikaikan pencen yang diterima oleh mana-mana Ahli Parlimen.
“Ada dalam kalangan mereka yang menerima lebih daripada dua pencen walaupun tempoh perkhidmatan mereka sangat singkat jika dibandingkan dengan penjawat awam.
Satu pencen sahaja untuk bekas Yang Berhormat.
“Sepatutnya cadangkan untuk berikan satu pencen (mana yang tertinggi) sahaja kepada ahli-ahli yang berhormat layak terima sekiranya mahu membantu menjimatkan duit kerajaan,” katanya.
Tambahnya, kerajaan perlu mengambil kira pengorbanan penjawat awam yang berkorban untuk negara dan mengabdikan diri lebih 30 tahun dengan skim pencen yang kecil.
Justeru, katanya, pendirian CUEPACS adalah jelas iaitu tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk cadangan untuk mengurangkan keistimewaan sedia ada dimiliki penjawat awam ketika ini termasuk berkaitan pencen.
Sumber : Berita Harian
