Terkini
KPM tidak bersikap ‘defensif’ dalam isu silibus tinggi – Fadhlina
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan bersikap defensif mahupun berdiam diri terhadap kritikan-kritikan awam berhubung isu silibus atau kurikulum aras tinggi di sekolah.

- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan bersikap defensif mahupun berdiam diri terhadap kritikan-kritikan awam berhubung isu silibus atau kurikulum aras tinggi di sekolah.
- Menterinya, Fadhlina Sidek berkata beliau mengambil maklum isu itu, namun menjelaskan pembangunan kurikulum melibatkan proses yang panjang dan memerlukan penelitian.
- “Saya sangat berterima kasih kepada semua termasuk jabatan netizen yang sentiasa memberikan pandangan-pandangan khusus tentang kurikulum ini. Tetapi saya fikir kita kena berlaku adil pada proses itu. Proses itu berlaku pada proses yang panjang, sangat teliti,” katanya ketika program Town Hall Rakyat Bersama Fadhlina Sidek di Kumpulan Karangkraf di sini hari ini.
- Menurut Fadhlina, KPM telah melaksanakan pelan intervensi berhubung isu itu melalui program Modul Bimbingan (MOBIM) kepada para guru sebagai inisiatif melatih mereka untuk memahami kurikulum secara berkesan.
- Pada 22 Ogos lalu, media melaporkan KPM akan mengadakan sesi libat urus berbentuk tinjauan soal selidik bersama pelbagai pihak bagi membincangkan isu berkaitan kurikulum dan silibus pelajar sekolah sebagai persediaan kitaran silibus baharu yang akan dilaksanakan pada 2027.
- Fadhlina memaklumkan pihaknya menerima 45,000 maklumbalas daripada pelbagai pihak hasil tinjauan soal selidik itu.
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan bersikap defensif mahupun berdiam diri terhadap kritikan-kritikan awam berhubung isu silibus atau kurikulum aras tinggi di sekolah.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata beliau mengambil maklum isu itu, namun menjelaskan pembangunan kurikulum melibatkan proses yang panjang dan memerlukan penelitian.
“Saya tidak fikir kita berdiam diri dan bersifat defensif mengatakan ini kurikulum yang terbaik ketika ini. Ini kurikulum kita bertaraf dunia dan sebagainya. Tetapi kita ambil maklum di mana sahaja ada makluman ataupun kritikan yang kita melihat ia baik.
“Saya sangat berterima kasih kepada semua termasuk jabatan netizen yang sentiasa memberikan pandangan-pandangan khusus tentang kurikulum ini. Tetapi saya fikir kita kena berlaku adil pada proses itu. Proses itu berlaku pada proses yang panjang, sangat teliti.
“Sebagai contoh proses yang bermula dengan perancangan, kajian, penggubalan, mereka cipta dan kerangka pendidikan, uji rintis, penyebaran dan perluasan. Semua peringkat itu berlaku dalam satu kitaran yang memerlukan komitmen yang cukup besar,” katanya ketika program Town Hall Rakyat Bersama Fadhlina Sidek di Kumpulan Karangkraf di sini hari ini.
Program Town Hall bersama Fadlina itu juga turut disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian.
Menurut Fadhlina, KPM telah melaksanakan pelan intervensi berhubung isu itu melalui program Modul Bimbingan (MOBIM) kepada para guru sebagai inisiatif melatih mereka untuk memahami kurikulum secara berkesan.
“Bagi saya, antara pelan intervensi yang sangat berkesan adalah melalui modul bimbingan kepada guru. Dan ini yang kita lakukan termasuk kunjung bantu kepada guru-guru melalui pakar-pakar dan juga guru-guru di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk membantu guru-guru ini,” katanya.
Pada 22 Ogos lalu, media melaporkan KPM akan mengadakan sesi libat urus berbentuk tinjauan soal selidik bersama pelbagai pihak bagi membincangkan isu berkaitan kurikulum dan silibus pelajar sekolah sebagai persediaan kitaran silibus baharu yang akan dilaksanakan pada 2027.
Mengulas lanjut, Fadhlina memaklumkan pihaknya menerima 45,000 maklumbalas daripada pelbagai pihak hasil tinjauan soal selidik itu.
“Apa yang kita lakukan kini adalah satu tinjauan kajian soal selidik tentang kurikulum 2027. #KURIKULUMKITA. Dan kita buka kepada semua untuk memberikan pandangan. Jadi untuk kita sama-sama lihat bagaimana pandangan-pandangan umum ini kita kumpulkan. Setakat ini kita kumpul 45000 telahpun memberikan feedback kepada kita.
“Dan sebenarnya feedback ini sangat penting supaya kita sama-sama dapat bina kurikulum yang benar-benar dapat memahami dan menyantuni apa yang diperlukan melalui pandangan-pandangan yang melibatkan komuniti,” katanya. – The Merdeka Times
Sumber: Facebook Live
