Antarabangsa
Undang-undang hijab, pengawasan kecerdasan buatan AI pantau wanita Iran
Pihak berkuasa Iran sedang mempertimbangkan rang undang-undang lebih ekstrem mengenai pemakaian hijab termasuk hukuman penjara yang panjang, pengawasan kecerdasan buatan (AI) dan tindakan tegas terhadap golongan pempengaruh.
- Pihak berkuasa Iran sedang mempertimbangkan rang undang-undang lebih ekstrem mengenai pemakaian hijab termasuk hukuman penjara yang panjang, pengawasan kecerdasan buatan (AI) dan tindakan tegas terhadap golongan pempengaruh.
- Pakar berkata, rang undang-undang itu seakan memberi amaran kepada rakyat Iran bahawa rejim tidak akan berundur daripada pendiriannya terhadap hijab walaupun demonstrasi besar-besaran menggegarkan negara tahun lalu.
- Rang undang-undang baharu itu akan mengklasifikasikan semula kegagalan memakai hijab sebagai kesalahan yang lebih berat dan boleh dikenakan hukuman penjara lima hingga 10 tahun serta denda lebih tinggi sehingga 360 juta rial Iran (RM38,948).
- Polis Iran juga diarahkan mencipta dan mengukuhkan sistem AI untuk mengenal pasti pesalah menggunakan alat seperti kamera mudah alih.
- Rang undang-undang itu juga menyasarkan selebriti yang mungkin berdepan denda sehingga satu persepuluh daripada kekayaan mereka, dikecualikan daripada pekerjaan atau aktiviti profesional.
TEHERAN – Pihak berkuasa Iran sedang mempertimbangkan rang undang-undang lebih ekstrem mengenai pemakaian hijab termasuk hukuman penjara yang panjang, pengawasan kecerdasan buatan (AI) dan tindakan tegas terhadap golongan pempengaruh.
Pakar berkata, rang undang-undang itu seakan memberi amaran kepada rakyat Iran bahawa rejim tidak akan berundur daripada pendiriannya terhadap hijab walaupun demonstrasi besar-besaran menggegarkan negara tahun lalu.
Menurut agensi berita kerajaan Mehr, rang undang-undang itu dijangka diserahkan kepada Lembaga Gabenor Ahad ini sebelum dibawa ke Parlimen dan melalui proses pengundian sekitar dua bulan lagi.
Rang undang-undang baharu itu akan mengklasifikasikan semula kegagalan memakai hijab sebagai kesalahan yang lebih berat dan boleh dikenakan hukuman penjara lima hingga 10 tahun serta denda lebih tinggi sehingga 360 juta rial Iran (RM38,948).
Peguam Hak Asasi Manusia Iran dan Profesor Universiti Carleton Kanada, Hossein Raeesi berkata, denda itu jauh melebihi apa yang mampu dibayar oleh rakyat Iran yang majoritinya hidup di bawah paras kemiskinan.
“Beberapa langkah dalam draf itu menekankan tingkah laku yang jelas menyalahi undang-undang namun dilaksanakan oleh pasukan keselamatan.
“Ini termasuk penutupan syarikat insurans di Teheran baru-baru ini selepas beberapa gambar pekerja wanita tanpa berhijab tersebar di media sosial. Dengan rang undang-undang baharu ini, kerajaan akan menghalalkan semua tingkah laku pasukan itu,” kata Raeesi kepada CNN.
Polis Iran juga diarahkan mencipta dan mengukuhkan sistem AI untuk mengenal pasti pesalah menggunakan alat seperti kamera mudah alih.
Awal tahun ini, media kerajaan melaporkan, kamera akan dipasang di tempat awam untuk mengenal pasti wanita yang melanggar undang-undang hijab negara itu dengan polis moral Iran menyambung semula rondaan untuk menahan individu yang melanggar kod etika berpakaian.
Pemilik perniagaan yang tidak menguatkuasakan keperluan berhijab juga bakal berdepan denda lebih tinggi mencecah tiga bulan jumlah keuntungan perniagaan mereka dan berkemungkinan dilarang meninggalkan negara atau menyertai aktiviti awam serta siber sehingga dua tahun.
Rang undang-undang itu juga menyasarkan selebriti yang mungkin berdepan denda sehingga satu persepuluh daripada kekayaan mereka, dikecualikan daripada pekerjaan atau aktiviti profesional.
Sumber: Utusan Malaysia