Terkini
Tiga kementerian tangani isu ketidakpadanan graduan bidang STEM
Kerajaan menubuhkan jawatankuasa Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) membabitkan penyertaan tiga kementerian bagi menangani beberapa isu berkaitan, termasuk ketidakpadanan graduan dalam bidang itu.

- Kerajaan menubuhkan jawatankuasa Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) membabitkan penyertaan tiga kementerian bagi menangani beberapa isu berkaitan, termasuk ketidakpadanan graduan dalam bidang itu.
- Jawatankuasa ditubuhkan itu membabitkan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM).
- Menteri MOSTI, Chang Lih Kang, berkata isu berhubung STEM amat penting untuk difokuskan kerana maklum balas pada peringkat komuniti dan industri berkaitan teknologi menunjukkan berlakunya ketidakpadanan kerja dalam kalangan pelajar bidang itu.
- Kerajaan sebelum ini pernah menyasarkan 60 peratus pelajar STEM menjelang 2030, namun data setakat ini menunjukkan bilangannya adalah sekitar 40 peratus.
KUALA LUMPUR: Kerajaan menubuhkan jawatankuasa Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) membabitkan penyertaan tiga kementerian bagi menangani beberapa isu berkaitan, termasuk ketidakpadanan graduan dalam bidang itu.
Jawatankuasa ditubuhkan itu membabitkan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM).
Menteri MOSTI, Chang Lih Kang, berkata isu berhubung STEM amat penting untuk difokuskan kerana maklum balas pada peringkat komuniti dan industri berkaitan teknologi menunjukkan berlakunya ketidakpadanan kerja dalam kalangan pelajar bidang itu.
“Kita sudah melakukan kerjasama bersama KPT dan KPM untuk membincangkan perkara berkaitan STEM sama ada pada peringkat sekolah rendah dan ketidakpadanan kerja pada peringkat pendidikan tinggi.
“Kita akui isu ketidakpadanan ini dan atas dasar itu, kita turut menjalin kerjasama dengan semua universiti dan industri bagi menyelesaikan isu berkenaan.
“Ia akan mengambil sedikit masa, namun kita yakin isu ini (ketidakpadanan) boleh dikurangkan,” katanya kepada selepas mengadakan sesi dialog menteri bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia, di sini, hari ini.
Kemasukan pelajar aliran STEM ke sekolah menengah dilaporkan masih di bawah 50 peratus bagi enam tahun berturut-turut sejak 2017.
Kerajaan sebelum ini pernah menyasarkan 60 peratus pelajar STEM menjelang 2030, namun data setakat ini menunjukkan bilangannya adalah sekitar 40 peratus.
Pada masa sama, Lih Kang berkata, jawatankuasa itu sudah melaksanakan fungsinya pada peringkat kerja dan selepas ini rundingan dijangka diadakan pada peringkat ketua setiausaha.
Sementara itu, Lih Kang berkata, MOSTI merekodkan 474 syarikat yang melalui proses pengkomersialan sejak 2016 hingga kini.
Beliau berkata, ia membabitkan nilai cipta berjumlah kira-kira RM500 juta membabitkan produk teknologi.
“Kita ingin meningkatkan lagi jumlah itu dan produk yang dikomersialkan namun ia perlu melalui proses agak ketat.
“Kita ada banyak program yang selaras dengan merakyatkan dan mengarusperdanakan sains serta teknologi, salah satunya adalah melalui rancangan realiti di televisyen,” katanya.
Lih Kang berkata, MOSTI turut berdepan cabaran berikutan memperoleh dana terhad dalam aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Beliau berkata, melalui Bajet 2023 lalu, MOSTI menerima RM428 juta bagi R&D yang turut dibahagikan untuk penyelidikan asas pada peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).
“Jumlah itu masih kecil berbanding negara luar, antaranya Korea Selatan, perbelanjaan kerajaannya terhadap R&D adalah 4.5 peratus namun kita tidak sampai satu peratus.
“Namun kita cuba menambah baik keadaan melalui penubuhan Malaysia Science Endowment (MSE) iaitu kita berhasrat mendapatkan masing-masing sebanyak RM1 bilion daripada kerajaan dan sektor swasta untuk meningkatkan dana R&D,” katanya.
Beliau berkata, MOSTI akan memohon penambahan peruntukan akan datang khususnya dalam meningkatkan R&D melalui penunjuk genom, pembangunan vaksin manusia dan bioteknologi di aspek keselamatan makanan serta perubahan iklim.
Sumber: Berita Harian
