Antarabangsa
Pendidikan wanita Afghanistan bergantung keputusan kerajaan Taliban
Seorang pegawai pendidikan mendakwa universiti di Afghanistan bersedia untuk mengambil semula pelajar wanita bagi membolehkan golongan itu menyambung pengajian di peringkat tinggi.
- Seorang pegawai pendidikan mendakwa universiti di Afghanistan bersedia mengambil semula pelajar wanita bagi membolehkan golongan itu menyambung pengajian di peringkat tinggi.
- Pegawai itu menegaskan hanya pemimpin Taliban yang boleh merealisasikan perkara itu.
- Penasihat Kementerian Pendidikan Tinggi, Molvi Abdul Jabbar berkata, pihak universiti sedia menerima semula pelajar wanita sebaik sahaja pemimpin Taliban, Hibatullah Akhundzada menarik balik larangan tersebut.
- “Apabila beliau memberi arahan untuk dibuka, jadi ia akan beroperasi pada hari yang sama. Semua pemimpin kami menyokong (pendidikan pelajar perempuan), malah menteri juga memihak kepadanya,” katanya.
KABUL – Seorang pegawai pendidikan mendakwa universiti di Afghanistan bersedia untuk mengambil semula pelajar wanita bagi membolehkan golongan itu menyambung pengajian di peringkat tinggi.
Bagaimanapun, pegawai itu menegaskan hanya pemimpin Taliban sahaja yang boleh merealisasikan perkara itu.
Penasihat Kementerian Pendidikan Tinggi, Molvi Abdul Jabbar berkata, pihak universiti sedia menerima semula pelajar wanita sebaik sahaja pemimpin Taliban, Hibatullah Akhundzada menarik balik larangan tersebut.
Katanya, dia tidak dapat menyatakan bila atau sama ada perkara itu akan berlaku.
“Hibatullah mengarahkan supaya universiti ditutup, maka mereka menutupnya.
“Apabila beliau memberi arahan untuk dibuka, jadi ia akan beroperasi pada hari yang sama. Semua pemimpin kami menyokong (pendidikan pelajar perempuan), malah menteri juga memihak kepadanya,” katanya.
Pada Disember tahun lalu, Taliban melarang pelajar wanita daripada menyambung pengajian di peringkat universiti sehingga mencetuskan kemarahan di seluruh dunia.
Kanak-kanak perempuan tidak dibenarkan pergi ke sekolah selepas darjah enam, larangan dikenakan setelah Taliban kembali berkuasa pada Ogos 2021.
Afghanistan merupakan satu-satunya negara di dunia yang menghalang wanita daripada mendapatkan pendidikan.
Menteri Pendidikan Tinggi Afghanistan, Nida Mohammed Nadim pada ketika itu memaklumkan larangan tersebut adalah wajar untuk mengelakkan percampuran jantina di universiti.
Malah, katanya, larangan itu dikenakan kerana beliau percaya sesetengah subjek diajar mencabuli prinsip ajaran Islam.
Beliau menyatakan larangan itu yang dikeluarkan oleh Hibatullah, akan diteruskan sehingga pemakluman kelak. – AP
Sumber: Utusan Malaysia