Connect with us

Terkini

Maritim Malaysia bantah pencerobohan Polis Pengawal Pantai Singapura

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) membantah tindakan agensi penguat kuasa Polis Pengawal Pantai (PCG) Singapura yang menceroboh serta memasuki perairan Malaysia, minggu lalu.

Wartawan TMT

Published

on

Maritim Malaysia bantah pencerobohan Polis Pengawal Pantai Singapura 
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) membantah tindakan agensi penguat kuasa Polis Pengawal Pantai (PCG) Singapura yang menceroboh serta memasuki perairan Malaysia, minggu lalu.
  • Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Datuk Saiful Lizan Ibrahim, berkata Maritim Malaysia akan membuat permohonan bantahan diplomatik supaya kejadian sama tidak berulang di masa hadapan demi memelihara hubungan baik kedua-dua negara.
  • Katanya, Maritim Malaysia merasa kecewa atas tindakan bot PCG terbabit yang dilihat bertindak melampau, mengganggu serta merosakkan peralatan nelayan tempatan di samping menunjukkan sikap yang tidak menghormati kedaulatan maritim negara jiran.
  • Semalam, Pasukan Polis Singapura (SPF) dilaporkan menafikan dakwaan nelayan Malaysia dihalau pegawai Polis Pengawal Pantai (PCG) kerana menangkap ikan di perairan negara ini, Isnin lalu.

ISKANDAR PUTERI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) membantah tindakan agensi penguat kuasa Polis Pengawal Pantai (PCG) Singapura yang menceroboh serta memasuki perairan Malaysia, minggu lalu.

Sehubungan itu, Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Datuk Saiful Lizan Ibrahim, berkata Maritim Malaysia akan membuat permohonan bantahan diplomatik supaya kejadian yang sama tidak berulang di masa hadapan demi memelihara hubungan baik kedua-dua negara.

Katanya, Maritim Malaysia merasa kecewa atas tindakan bot PCG terbabit yang dilihat bertindak melampau, mengganggu serta merosakkan peralatan nelayan tempatan di samping menunjukkan sikap yang tidak menghormati kedaulatan maritim negara jiran.

“Dalam kejadian pada pagi 14 Ogos lalu, bot PCG Singapura itu turut melanggar jaring pukat sebuah bot nelayan tempatan sehingga tersangkut di bebaling bot penguat kuasa republik itu.

“Berdasarkan laporan yang diterima, nelayan terbabit telah membuat aduan kepada pihak polis berkaitan insiden PCG yang telah melanggar pukat beliau pada kedudukan 0.2 batu nautika di Barat Daya Tuas Checkpoint.

“Berdasarkan lokasi kejadian yang dilaporkan pengadu, pihak Maritim Malaysia telah merujuk kepada pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) bagi proses pengesahan insiden di atas Peta Baru Malaysia 1979.

“Maklum balas JUPEM mengesahkan bahawa lokasi kejadian yang dilaporkan oleh pengadu jelas berada di dalam perairan Laut Wilayah Malaysia berhampiran jambatan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).

“Lokasi kejadian juga adalah kawasan tradisi serta lokasi kebiasaan nelayan tempatan di Johor bagi menangkap ikan dan menjaring udang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Pasukan Polis Singapura (SPF) dilaporkan menafikan dakwaan nelayan Malaysia dihalau pegawai Polis Pengawal Pantai (PCG) kerana menangkap ikan di perairan negara ini, Isnin lalu.

SPF dalam kenyataannya berkata, dakwaan itu adalah tidak benar kerana insiden itu berlaku di perairan wilayah Singapura berdekatan Tuas.

SPF berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.55 pagi Isnin lalu ketika bot PCG sedang membuat kawalan di kawasan perairan negara itu.

Selasa lalu, empat nelayan Kampung Pendas, Iskandar Puteri dilaporkan mendakwa pihak berkuasa Singapura melanggar dan merosakkan jaring mereka ketika sedang memasang jaring udang di kawasan perairan Selat Tebrau, pada pagi Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi berhampiran Jambatan Link Kedua di sini itu, sebuah bot berkuasa negara jiran itu didakwa tiba-tiba melanggar jaring udang yang dipasang sebelum menariknya sehingga masuk ke dalam sempadan negara berkenaan.

Nelayan Kampung Pendas, Faizan Wahid, 42, dilaporkan berkata ketika kejadian berlaku beliau bersama tiga nelayan lain sedang memasang jaring udang.

Dalam pada itu, Saiful Lizan berkata, insiden terbabit juga telah mengakibatkan nelayan terjejas terpaksa menanggung kerugian yang agak tinggi.

Sumber: Berita Harian

Author

Terkini

Jangan terpedaya helah sami palsu minta sedekah – Majlis Bandaraya Pulau Pinang

Orang awam khususnya pelanggan di pasar, kompleks makanan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) diingatkan supaya tidak terpedaya dengan kehadiran sami-sami palsu yang difahamkan menjalankan kegiatan meminta sedekah.

Hidayah Sani

Published

on

Foto: Sami-sami palsu yang difahamkan menjalankan kegiatan meminta sedekah.
  • Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkata berdasarkan siasatan pihak Majlis didapati terdapat sindiket yang mendalangi aktiviti tidak sihat membabitkan sami palsu tersebut.
  • Pihak Majlis telah mengadakan perbincangan dan mesyuarat dengan jabatan teknikal Majlis dan agensi luar seperti Jabatan Imigresen Malaysia, PDRM, Perbadanan Harmoni Pulau Pinang, Malaysian Buddhist Association dan United Buddhist Organisation Malaysia untuk membanteras kehadiran kelompok sami palsu itu di pasar kompleks makanan Majlis. 
  • “Kerjasama semua orang awam terutamanya para pelanggan di pasar atau kompleks makanan adalah dimohon supaya lebih peka dan tidak terpedaya dengan kehadiran mereka dalam meminta sedekah. 
  • “Sekiranya ingin menghulurkan bantuan, adalah digalakkan secara memberi makanan dan bukan wang ringgit kepada sami-sami palsu ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini pada Rabu.

KUALA LUMPUR — Orang awam khususnya pelanggan di pasar, kompleks makanan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) diingatkan supaya tidak terpedaya dengan kehadiran sami-sami palsu yang difahamkan menjalankan kegiatan meminta sedekah.

MBPP berkata berdasarkan siasatan pihak Majlis didapati terdapat sindiket yang mendalangi aktiviti tidak sihat membabitkan sami palsu tersebut.

Sehubungan itu, pihak Majlis telah mengadakan perbincangan dan mesyuarat dengan jabatan teknikal Majlis dan agensi luar seperti Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Harmoni Pulau Pinang (Harmonico), Malaysian Buddhist Association dan United Buddhist Organisation Malaysia untuk membanteras kehadiran kelompok sami palsu itu di pasar kompleks makanan Majlis. 

“Kerjasama semua orang awam terutamanya para pelanggan di pasar atau kompleks makanan adalah dimohon supaya lebih peka dan tidak terpedaya dengan kehadiran mereka dalam meminta sedekah. 

“Sekiranya ingin menghulurkan bantuan, adalah digalakkan secara memberi makanan dan bukan wang ringgit kepada sami-sami palsu ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini pada Rabu.

Difahamkan, hari ini Ahli Majlis Tan Soo Siang, Pengerusi Gantian Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam bersama Ahli Majlis Choong You Ray dan Quah Boon Lim telah mengadakan satu sidang media khas di Kompleks Makanan Batu Lanchang, Pulau Pinang untuk menguar-uarkan kepada orang awam terutama pelanggan di pasar, kompleks makanan Majlis supaya tidak terpedaya dengan kehadiran sami-sami palsu itu.

Selepas sidang media tersebut, beberapa Ahli Majlis bersama pegawai Jabatan Pelesenan mengedarkan pelekat peringatan kepada para peniaga dan turut meletakkannya di atas meja makan untuk memberi maklumat dan kesedaran kepada orang awam.

Foto beberapa Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang, termasuk Tan Soo Siang (tengah) yang dimuat naik MBPP di Facebook hari ini.

MBPP berkata untuk menangani masalah isu sami palsu tersebut, pihak Majlis akan  mengadakan beberapa langkah pencegahan antaranya melakukan Operasi Serbu Bersepadu bersama agensi-agensi pihak berkuasa seperti PDRM dan Imigresen serta sami-sami yang dikesan akan diminta meninggalkan bangunan pasar atau kompleks makanan dengan serta-merta.

Antara lokasi yang kerap menjadi kunjungan sami-sami palsu tersebut adalah Tapak Penjaja Lebuh Cecil; Pasar Jelutong; Pasar dan Kompleks Makanan Batu Lanchang; Pasar dan Kompleks Makanan Bayan Baru; Pasar Ayer Itam; Pasar dan Kompleks Makanan Padang Tembak; Kompleks medan angsana; PSS Jalan Chowrasta; Pasar Pulau Tikus; Kompleks Lebuh Pitt; Kompleks Lorong Stewart dan Tapak Penjaja Lorong Baru. — The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending