Terkini
Elon Musk mahu ubah cara pautan berita dalam platform X
Elon Musk mahu mengubah cara pautan berita dipaparkan dalam platform media sosial X, dalam langkah yang dilihat berpotensi menjejaskan keupayaan penerbit berita untuk menarik pembaca.

- Elon Musk mahu mengubah cara pautan berita dipaparkan dalam platform media sosial X, dalam langkah yang dilihat berpotensi menjejaskan keupayaan penerbit berita untuk menarik pembaca.
- Musk dalam satu hantaran, kelmarin, berkata X merancang untuk mengalih keluar tajuk serta teks, dan hanya mengekalkan imej utama daripada pautan ke artikel berita yang dikongsikan dalam platform berkenaan.
- Ia dilihat sebagai cubaan Musk bagi memastikan pengguna menghabiskan lebih banyak masa dalam platform X, dan mendorong mereka memilih khidmat langganan untuk mendapatkan perincian lebih lanjut.
- Setakat ini, belum jelas bagaimana langkah itu akan memberi kesan terhadap pengiklan dalam platform berkenaan yang Musk dakwa pada Julai lalu, merekodkan sejumlah 540 juta pengguna bulanan.
WASHINGTON: Elon Musk mahu mengubah cara pautan berita dipaparkan dalam platform media sosial X, dalam langkah yang dilihat berpotensi menjejaskan keupayaan penerbit berita untuk menarik pembaca.
Musk dalam satu hantaran, kelmarin, berkata X merancang untuk mengalih keluar tajuk serta teks, dan hanya mengekalkan imej utama daripada pautan ke artikel berita yang dikongsikan dalam platform berkenaan.
Fortune terlebih dahulu melaporkan berita itu pada Isnin lalu dengan memetik sumber menyatakan langkah berkenaan digerakkan secara langsung oleh Musk.
Ia dilihat sebagai cubaan Musk bagi memastikan pengguna menghabiskan lebih banyak masa dalam platform X, dan mendorong mereka memilih khidmat langganan untuk mendapatkan perincian lebih lanjut.
Setakat ini, belum jelas bagaimana langkah itu akan memberi kesan terhadap pengiklan dalam platform berkenaan yang Musk dakwa pada Julai lalu, merekodkan sejumlah 540 juta pengguna bulanan.
Ketika ini, pautan berita muncul pada garis masa pengguna sebagai ‘kad’ bersama imej, alamat sumber serta tajuk ringkas. Ia membantu menarik lebih banyak klik, sekali gus membolehkan penerbit berita untuk meraih ramai pembaca.
Namun dengan pautan yang dipendekkan, berkemungkinan pengguna akan menulis beberapa teks bersama hantaran mereka dan akhirnya mempertimbangkan perkhidmatan premium X yang membenarkan satu hantaran hingga 25,000 aksara.
Dengan perubahan itu nanti, Musk memacu X sebagai platform yang lebih relevan untuk pencipta kandungan. – REUTERS
Sumber: Berita Harian
