Terkini
Dakwaan rasuah : Hamzah saman kerajaan, SPRM
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin memulakan tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta kerajaan Malaysia selepas dirinya dikaitkan dengan satu kes rasuah RM15 juta membabitkan seorang ahli perniagaan.

- Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin memulakan tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta kerajaan Malaysia selepas dirinya dikaitkan dengan satu kes rasuah RM15 juta membabitkan seorang ahli perniagaan.
- Dalam satu sidang media hari ini, ketua pembangkang itu menjelaskan dalam surat tuntutan dikemuka peguamnya hari ini, antara lain menuntut dihentikan segala bentuk tindakan terhadap satu pihak, merujuk ahli perniagaan terbabit.
- “Peguam saya sudah pun menghantar surat ini dan diterima mereka, yang sudah pun memaklumkan bahawa beberapa pegawai kerajaan didapati melakukan satu perkara, yang saya maksudkan sebagai penyalahgunaaan kuasa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PN di sini hari ini.
- “Apabila saya lakukan ini, saya akan terima tekanan SPRM. Tapi saya mahu maklumkan kepada semua, saya lakukan ini supaya tidak mahu kerajaan zalim yang penuh hipokrasi, manipulasi ini boleh menyebabkan ketakutan kepada rakyat serta ahli perniagaan,” katanya.
KUALA LUMPUR : Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin memulakan tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta kerajaan Malaysia selepas dirinya dikaitkan dengan satu kes rasuah RM15 juta membabitkan seorang ahli perniagaan.
Dalam satu sidang media hari ini, Ahli Parlimen Larut yang juga ketua pembangkang itu, menjelaskan dalam surat tuntutan dikemuka peguamnya hari ini, antara lain menuntut supaya dihentikan segala bentuk tindakan terhadap satu pihak, yang merujuk ahli perniagaan terbabit.
Beliau berkata, ia dilakukan susulan satu laporan polis dibuat ahli perniagaan berkenaan, Steven Sim Choo Thiam pada 12 Jun lalu, yang didapatinya mengandungi kecenderungan terhadap satu bentuk salah guna kuasa oleh agensi tertentu.
“Saya semalam mengumumkan sudah jumpa peguam. Maka hari ini, saya mahu memaklumkan, satu surat dari peguam sudah saya hantar kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, SPRM dan kerajaan Malaysia melalui Jabatan Peguam Negara.
“Peguam saya sudah pun menghantar surat ini dan diterima mereka, yang sudah pun memaklumkan bahawa beberapa pegawai kerajaan didapati melakukan satu perkara, yang saya maksudkan sebagai penyalahgunaaan kuasa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PN di sini hari ini.
Beliau menyifatkan, berdasarkan laporan polis dibuat Choo Thiam itu, jelas menunjukkan ia satu bentuk kezaliman yang dikenakan terhadap orang awam.
“Saya lakukan ini kerana saya merasakan ia satu bentuk kezaliman. Mengapa mereka melakukan sedemikian rupa. Kerajaan yang adil sepatutnya melakukan perkara yang benar, bukan fitnah yang menyebabkan kezaliman sehingga seseorang rasa takut.
“Apabila saya lakukan ini, saya akan terima tekanan SPRM. Tapi saya mahu maklumkan kepada semua, saya lakukan ini supaya tidak mahu kerajaan zalim yang penuh hipokrasi, manipulasi ini boleh menyebabkan ketakutan kepada rakyat serta ahli perniagaan.
“Kalau beginilah caranya, semua ahli perniagaan akan rasa ketakutan. Sesiapa saja yang rapat dengan individu dikenali akan diugut. Kalau boleh berlaku dengan Sim (Choo Thiam), maka dia boleh berlaku kepada orang luar termasuk pelabur dan ini akan menimbulkan ketakutan kepada pelabur,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kes pertuduhan membabitkan Sim Choo Thiam dan pendakwaan yang dikenakan terhadap pemimpin BERSATU sebelum ini, adalah bukti yang menunjukkan satu bentuk pendakwaan terpilih.
Ketika ditanya mengapa tindakan saman dibuat menjelang hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) esok, Hamzah menjelaskan, maklumat berkaitan laporan polis ahli perniagaan itu baru diperolehnya beberapa hari lalu.
“Dia buat laporan (polis) ni pada 12 Jun. Saya hanya tahu ini baru-baru ini. Semalam saya terlepas cakap dan rakyat mahukan (ambil tindakan undang-undang). Jadi saya bangkit apabila rakyat mahu ini diperbetulkan,” katanya.
Pada Mei lalu, Choo Thiam mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan meminta dan tiga pertuduhan menerima rasuah membabitkan RM15 juta dua tahun lalu.
Mengikut empat pertuduhan rasuah, lelaki berusia 63 tahun itu dituduh melakukan kesalahan itu antara Jun dan 30 Julai 2021, sebagai dorongan untuk Hamzah, yang ketika itu Menteri Dalam Negeri ketika pentadbiran PN, untuk membantu Asia Coding Centre Sdn Bhd mendapatkan sebarang projek daripada agensi di bawah kementerian berkenaan.
Sumber: Berita Harian
