Terkini
‘Ambil iktibar negara hancur kerana perkauman, kefanatikan agama’ – PM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyeru rakyat mengambil iktibar daripada negara yang hancur kerana perkauman dan kefanatikan agama, di samping masalah tatakelola dan rasuah.
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim seru rakyat ambil iktibar negara yang hancur kerana perkauman dan kefanatikan agama, di samping masalah tatakelola dan rasuah.
- Beliau berkata demi kelangsungan negara, perbezaan dalam masyarakat harus jadi kekuatan justeru rakyat perlu menolak sebarang usaha melemahkan perpaduan.
- Anwar seru rakyat untuk merenung pilihan di tangan mereka.
- “Tentunya bagi yang berfikiran waras ini bukan pilihan. Ini kemestian sepertimana bila Allah beri pilihan kepada kita,” tegas Anwar dalam amanat perdana sempena hari kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) petang tadi.
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyeru rakyat mengambil iktibar daripada negara yang hancur kerana perkauman dan kefanatikan agama, di samping masalah tatakelola dan rasuah.
Beliau berkata demi kelangsungan negara, perbezaan dalam masyarakat harus jadi kekuatan justeru rakyat perlu menolak sebarang usaha melemahkan perpaduan.
Anwar menyeru rakyat untuk merenung pilihan di tangan mereka.
“Tentunya bagi yang berfikiran waras ini bukan pilihan. Ini kemestian sepertimana bila Allah beri pilihan kepada kita,” tegas Anwar dalam amanat perdana sempena hari kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) petang tadi.
Tegasnya, tamadun yang hebat pun tumbang kerana perkauman dan kefanatikan agama, bukan sahaja masalah tatakelola dan rasuah.
Anwar percaya Malaysia boleh menjadi negara Madani yang mengangkat martabat semua warganya sekiranya keterlanjuran dahulu dihindari dan kebebasan digunakan secara waras dan bijak.
“Bukan kebebasan untuk adu domba, mencerca, dan menghina tapi mengangkat martabat manusia. Dengan prasyarat itu dan dasar jelas, kita mampu mengorak langkah lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berikrar kerajaan perpaduan akan terus mempertahankan setiap hak rakyat selaras Perlembagaan serta peruntukan-peruntukan mutlaknya.
“Ini termasuk peruntukan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu, Islam agama rasmi persekutuan, hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, serta kedaulatan raja-raja Melayu.
“Negara ini akan terus memperakui kontrak sosial di antara semua kaum dan jaminan bahawa hak setiap warganegara mengamalkan agama mereka, memuliakan budaya termasuk suku kaum mereka tetap dipertahankan,” katanya.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof, barisan Jemaah Menteri serta pegawai tertinggi kerajaan.
Sumber: Free Malaysia Today