Antarabangsa
J&J diarah bayar USD18.8 juta kepada pesakit kanser California
Johnson & Johnson perlu membayar USD18.8 juta kepada seorang lelaki di California kerana menghidap kanser akibat pendedahan kepada bedak bayinya, demikian keputusan juri pada Selasa.
- Johnson & Johnson perlu membayar USD18.8 juta kepada seorang lelaki di California kerana menghidap kanser akibat pendedahan kepada bedak bayinya, demikian keputusan juri pada Selasa.
- Ia merupakan halangan kepada syarikat itu yang berusaha menyelesaikan beribu-ribu kes sama berhubung produk berasaskan talkum di mahkamah muflis Amerika Syarikat.
- Keputusan juri itu memihak kepada Emory Hernandez Valadez, yang memfailkan saman tahun lalu di mahkamah negeri California di Oakland terhadap J&J, bagi menuntut ganti rugi kewangan.
- Hernandez, 24, menghidap mesothelioma, kanser membawa maut, dalam tisu di sekeliling jantungnya akibat pendedahan kepada talkum syarikat itu sejak kecil.
- Perbicaraan selama enam minggu itu yang pertama berhubung talkum dihadapi J&J berpangkalan di New Jersey dalam tempoh hampir dua tahun.
NEW BRUNSWICK – Johnson & Johnson perlu membayar USD18.8 juta kepada seorang lelaki di California kerana menghidap kanser akibat pendedahan kepada bedak bayinya, demikian keputusan juri pada Selasa.
Ia merupakan halangan kepada syarikat itu yang berusaha menyelesaikan beribu-ribu kes sama berhubung produk berasaskan talkum di mahkamah muflis Amerika Syarikat.
Keputusan juri itu memihak kepada Emory Hernandez Valadez, yang memfailkan saman tahun lalu di mahkamah negeri California di Oakland terhadap J&J, bagi menuntut ganti rugi kewangan.
Hernandez, 24, menghidap mesothelioma, kanser membawa maut, dalam tisu di sekeliling jantungnya akibat pendedahan kepada talkum syarikat itu sejak kecil.
Perbicaraan selama enam minggu itu yang pertama berhubung talkum dihadapi J&J berpangkalan di New Jersey dalam tempoh hampir dua tahun.
Juri mendapati Hernandez berhak mendapat ganti rugi sebagai pampasan bagi membayar kos perubatan, kesakitan dan penderitaannya, tetapi enggan memberikan ganti rugi punitif terhadap syarikat itu.
Hernandez tidak akan mendapat penghakiman pada masa depan disebabkan perintah mahkamah muflis yang membekukan kebanyakan litigasi berhubung talkum J&J.
J&J menafikan produk talkumnya mengandungi asbestos yang dikaitkan dengan mesothelioma atau menyebabkan kanser.
Dalam hujah penutup kepada juri pada 10 Julai lalu, peguam J&J berkata, tiada bukti mengaitkan mesothelioma dihidap Hernandez kepada asbestos atau membuktikan Hernandez pernah terdedah kepada talkum tercemar.
Peguam Hernandez dalam hujah penutupnya mendakwa J&J menyembunyikan pencemaran asbestos selama berdekad-dekad.
Hernandez ketika memberi keterangan Jun lalu memberitahu juri, beliau akan mengelakkan penggunaan talkum J&J jika diberi amaran berhubung kandungan asbestosnya, seperti didakwa samannya.
Ibu Hernandez, Anna Camacho berkata, beliau menggunakan banyak bedak bayi J&J ke atas anaknya ketika dia masih bayi dan kanak-kanak. Beliau menangis sambil menggambarkan penyakit Hernandez.
Puluhan ribu plaintif menyaman J&J, dengan mendakwa bedak bayi dan produk talkum lain kadangkala mengandungi asbestos dan menyebabkan kanser ovari serta mesothelioma. J&J bagaimanapun berkata, produk talkumnya selamat dan tidak mengandungi asbestos, yang dikaitkan dengan mesothelioma.
Anak syarikat J&J, LTL Management memfailkan kebankrapan di Trenton, New Jersey April lalu, dengan mencadangkan USD8.9 bilion dibayar bagi menyelesaikan lebih 38,000 saman dan menghalang kes baharu difailkan. Ini cubaan kedua syarikat itu bagi menyelesaikan saman talkum dalam kebankrapan, selepas Mahkamah Rayuan Persekutuan menolak cubaan terdahulu.
Kebanyakan litigasi dihentikan semasa prosiding kebankrapan, tetapi Ketua Hakim Kebankrapan AS, Michael Kaplan yang menyelia Bab 11 LTL, membenarkan perbicaraan Hernandez diteruskan kerana beliau hanya dijangka dapat hidup tempoh singkat.
Hernandez menghidap Mesothelioma sangat jarang dikesan, menjadikan kesnya berbeza daripada majoriti kes lain belum selesai terhadap J&J.
Plaintif asbestos memohon pemfailan kebankrapan terbaharu LTL ditolak. Mereka berhujah pemfailan itu berniat jahat untuk melindungi syarikat itu daripada litigasi.
J&J dan LTL berhujah kebankrapan memberikan pembayaran penyelesaian kepada plaintif dengan lebih adil, cekap dan saksama berbanding mahkamah perbicaraan, yang disifatkan mereka sebagai “loteri” di mana sesetengah plaintif diberikan pampasan banyak, dengan ada yang tidak dapat ganti rugi langsung.
J&J dalam pemfailan mahkamah muflis berkata, kos keputusan berkaitan talkum, penyelesaian dan yuran guamannya mencecah kira-kira USD4.5 bilion.
Sumber: Free Malaysia Today