Connect with us

Terkini

Isu sekolah vernakular: Dong Jiao Zong mohon Kerajaan Madani campur tangan

Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) memohon Kerajaan Madani untuk campur tangan bagi menghalang sebarang cubaan memecah belah dan menghancurkan perpaduan antara kaum.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Isu sekolah vernakular: Dong Jiao Zong mohon Kerajaan Madani campur tangan
Foto: Pengerusi Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), Cheah Lek Aee (kiri) dan Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Tan Tai Kim (kanan).
  • Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) memohon Kerajaan Madani untuk campur tangan bagi menghalang sebarang cubaan memecah belah dan menghancurkan perpaduan antara kaum.
  • Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Tan Tai Kim berkata perlembagaan memberi hak kepada setiap kaum untuk belajar bahasa ibunda masing-masing.
  • Pengerusi Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), Cheah Lek Aee pula berkata kewujudan sekolah vernakular Cina dan Tamil dijamin Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan serta statusnya tidak boleh dipertikaikan.
  • Semalam, Mahkamah Rayuan memulakan prosiding kes rayuan yang dikemukakan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru) yang mendakwa penggunaan bahasa Cina dan Tamil di sekolah vernakular adalah tidak berperlembagaan.

Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) memohon Kerajaan Madani untuk campur tangan bagi menghalang sebarang cubaan memecah belah dan menghancurkan perpaduan antara kaum.

Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Tan Tai Kim berkata perlembagaan memberi hak kepada setiap kaum untuk belajar bahasa ibunda masing-masing.

Menurut laporan Guang Ming Daily, Tai Kim berkata kes mahkamah yang mencabar kewujudan sekolah vernakular Cina dan Tamil menyebabkan salah faham dalam kalangan pelbagai kaum dan ia membawa kesan negatif kepada keharmonian negara.

“Dong Zong mengkritik sekeras-kerasnya tingkah laku seperti ini yang menjejaskan perpaduan kaum. Kami berharap Kerajaan Madani dapat membendung tingkah laku buruk ini bagi mengelak daripada terus memecahbelahkan masyarakat majmuk kita,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), Cheah Lek Aee berkata kewujudan sekolah vernakular Cina dan Tamil dijamin Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan serta statusnya tidak boleh dipertikaikan.

“Kami pasti tidak melanggar Perlembagaan dan kami telah menang dalam dua penghakiman yang lalu. Jika kami menang sekali lagi, ia akan menjadi kali ketiga. Saya percaya kami boleh menyelesaikan masalah ini sekaligus,” kata Lek Aee.

Beliau menegaskan sekolah vernakular Cina dan Tamil bukan pihak berkuasa awam kerana guru besar sekolah rendah Cina dan Tamil tidak mempunyai hak untuk membuat penempatan guru dan mengubah dasar.

Beliau juga percaya kerajaan perpaduan menitikberatkan semangat pluralisme, maka pembelaan terhadap pendidikan bahasa ibunda pelbagai kaum perlulah menjadi keutamaan.

Semalam, Mahkamah Rayuan memulakan prosiding kes rayuan yang dikemukakan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru) yang mendakwa penggunaan bahasa Cina dan Tamil di sekolah vernakular adalah tidak berperlembagaan.

Sumber: Guang Ming Daily

Author