Terkini
(VIDEO) Ambil air Kedah tetapi kenapa Pulau Pinang tak nak bayar – Sanusi
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyelar tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang yang enggan membayar caj air mentah kepada negeri Kedah sedangkan punca sumber air di Pulau Pinang berasal daripada Sungai Ulu Muda, Kedah.

- Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyelar tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang yang enggan membayar caj air mentah kepada negeri Kedah sedangkan punca sumber air di Pulau Pinang berasal daripada Sungai Ulu Muda, Kedah.
- Sanusi berkata kerajaan negeri Kedah tidak dapat menjana sebarang hasil kekayaan daripada kawasan itu kerana ia adalah kawasan tadahan air yang tidak boleh dimajukan.
- Katanya, negeri Kedah boleh memperoleh hasil kekayaan tidak kurang RM16 bilion sekiranya kawasan itu dimajukan dan menyifatkan ia sebagai kos melepas bagi negeri Kedah.
- Beliau berkata segala urusan projek pembangunan di tepi sungai sehingga ke hulu sungai Muda turut dipantau, malah dibantah Pulau Pinang kerana dikatakan boleh mencemarkan sungai yang menjadi sumber bekalan air mereka.
- “Pasaipa hang (Pulau Pinang) samseng lagu tu. Duit tak mau bayar,” kata Sanusi dalam siaran Podcast Keluar Sekejap (KS) semalam.
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyelar tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang yang enggan membayar caj air mentah kepada negeri Kedah sedangkan punca sumber air di Pulau Pinang berasal daripada Sungai Ulu Muda, Kedah.
“95 peratus river basin (lembangan sungai) Sungai Muda terletak di negeri Kedah. Lima peratus sahaja river basin terletak di Pulau Pinang. Ulunya Ulu Muda di hutan simpan Kedah.
“Sebanyak 341 ribu hektar tak boleh sentuh,” katanya dalam siaran Podcast Keluar Sekejap (KS) semalam.
Sanusi berkata kerajaan negeri Kedah tidak dapat menjana sebarang hasil kekayaan daripada kawasan itu kerana ia adalah kawasan tadahan air yang tidak boleh dimajukan.
View this post on Instagram
Sedangkan, katanya, negeri Kedah boleh peroleh hasil kekayaan tidak kurang RM16 bilion sekiranya kawasan itu dimajukan dan menyifatkan ia sebagai kos melepas bagi negeri Kedah.
“Kita lepaskan itu (hasil kekayaan) semua dan air itu mengalir ke Pulau Pinang. Sekupang pun depa (mereka) tak mahu bayar.
“Kita (Kedah) telah berkorban dan sacrifice banyak tanah kita, lembangan sungai itu 140 km. Reel besi itu kita tak boleh sentuh, nak bangunkan tepi sungai semua dia (Pulau Pinang) larang,” katanya.
Menurutnya, segala urusan projek pembangunan di tepi sungai sehingga ke hulu sungai Muda turut dipantau, malah dibantah Pulau Pinang kerana dikatakan boleh mencemarkan sungai yang menjadi sumber bekalan air mereka.
“Dia hantar dron, hantar orang kacau di Ulu Muda,” katanya.
Malah, katanya lagi, Syarikat Air Darul Aman (SADA) sendiri membayar sumber air mentah kepada kerajaan negeri Kedah.
“Pasaipa hang (Pulau Pinang) samseng lagu tu. Duit tak mau bayar,” kata Sanusi.
Kenyataan Sanusi itu turut dipersetujui bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam podcast KS dan mempersoal tindakan Pulau Pinang enggan membayar caj itu sedangkan punca sumber air mentah milik Kedah selain syarikat Kedah sendiri turut membayar kepada kerajaan negeri. – The Merdeka Times
Sumber: Akaun Youtube Keluar Sekejap
