Terkini
Tiada kompromi jika eksploitasi buruh – Timbalan Menteri Sumber Manusia
Kerajaan komited untuk menangani isu pemerdagangan orang dan buruh paksa di semua sektor pekerjaan di negara ini serta tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kegiatan berkenaan.
- Kerajaan komited untuk menangani isu pemerdagangan orang dan buruh paksa di semua sektor pekerjaan di negara ini serta tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kegiatan berkenaan.
- Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud, berkata walaupun kes pemerdagangan orang dan amalan buruh paksa di negara ini tidak serius, namun ia tetap tidak seharusnya berlaku.
- Justeru, katanya, tindakan penguatkuasaan tegas diambil agensi di bawah kementerian itu terhadap pihak yang terbabit berpandukan undang-undang dan akta sedia ada.
- “Contohnya, mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446), pekerja asing yang berada di negara ini mesti diberi layanan baik,” katanya selepas Majlis Perasmian Karnival Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Madani Jom Pilih Kemahiran Zon Selatan, di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pedas, di sini, hari ini.
REMBAU: Kerajaan komited untuk menangani isu pemerdagangan orang dan buruh paksa di semua sektor pekerjaan di negara ini serta tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kegiatan berkenaan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud, berkata walaupun kes pemerdagangan orang dan amalan buruh paksa di negara ini tidak serius, namun ia tetap tidak seharusnya berlaku.
Justeru, katanya, tindakan penguatkuasaan tegas diambil agensi di bawah kementerian itu terhadap pihak yang terbabit berpandukan undang-undang dan akta sedia ada.
“Contohnya, mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446), pekerja asing yang berada di negara ini mesti diberi layanan baik.
“Kalau mereka bekerja di kilang, mesti ada penginapan yang baik, sebab itu Jabatan Tenaga Kerja (JTK) membuat pemantauan dan serbuan bagi memastikan majikan mematuhi Akta 446 ini.
“Melalui tindakan proaktif ini, kita berharap dapat memperbaiki atau menaikkan rating negara dari segi menangani isu pemerdagangan manusia dan buruh paksa pada peringkat antarabangsa,” katanya selepas Majlis Perasmian Karnival Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Madani Jom Pilih Kemahiran Zon Selatan, di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pedas, di sini, hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zafir Ibrahim dan Ketua Setiausaha KSM, Datuk Seri Dr Zaini Ujang.
Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam laporan terbaru menjelaskan penafian hak pekerjaan dan perlindungan sosial kepada pekerja domestik asing menyumbang kepada penindasan dan buruh paksa di Thailand, Malaysia dan Singapura.
Ia dibuat berdasarkan tinjauan terhadap 1,201 pekerja domestik asing antara Julai hingga September 2022 di Malaysia, Singapura dan Thailand, yang menyatakan tempoh kerja yang panjang dan upah rendah adalah sesuatu yang lazim bagi pekerja domestik asing di semua negara berkenaan.
Mengulas lanjut, Mustapha berkata, berdasarkan standard perburuhan terdapat sekurang-kurangnya lima aspek yang perlu diberikan perhatian oleh setiap majikan.
Beliau berkata, ia membabitkan waktu bekerja maksimum 45 jam yang mana lebih daripada itu perlu dibayar upah tambahan, tempat tinggal yang baik, dan perlu membayar caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Selain itu, pekerja mesti diberikan cuti walaupun berkhidmat sebagai pembantu rumah,” katanya.
Sementara itu, Dr Zaini berkata, kerajaan sentiasa melindungi kepentingan pekerja mengikut akta sedia ada.
Beliau berkata, setiap kes berkaitan pemerdagangan orang dan buruh paksa perlu dilaporkan kepada kementerian dan JTK supaya tindakan dapat diambil.
“Setiap kes berkaitan ini perlu dilaporkan kerana kerajaan tak mencari tetapi kita memantau, malah dalam prosiding perkara itu diberikan perhatian,” katanya.
Sumber: Berita Harian