Terkini
(VIDEO) Suara guru ‘didiamkan’ terkait silibus tinggi punca ramai calon SPM 2022 gagal Matematik?
Satu per empat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 gagal dalam subjek Matematik didakwa hasil daripada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Semakan 2017.

- Satu per empat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 gagal dalam subjek Matematik didakwa hasil daripada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Semakan 2017.
- Guru Matematik, Mohd Fadli Salleh berkata KSSR Semakan 2017 dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempunyai silibus yang lebih padat dan tinggi berbanding Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang diperkenalkan pada tahun 2011.
- Fadli mendakwa silibus itu menyebabkan murid berdepan kesukaran dan membenci subjek Matematik yang sebelum ini menjadi kegemaran kerana mudah untuk skor A dalam subjek tersebut selepas subjek Bahasa Melayu.
- “Inilah hasil silibus KSSR Semakan 2017, satu daripada empat calon SPM gagal Matematik. Satu nisbah yang sangat besar dan perlu dirisaukan. Inilah realitinya.
- “Punca apa semua ini terjadi? Punca suara guru didiamkan sejak 12 tahun yang lepas. Punca luahan guru tentang sukarnya silibus KSSR 2011 tidak diendahkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini pada Selasa.
KUALA LUMPUR — Satu per empat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 gagal dalam subjek Matematik didakwa hasil daripada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Semakan 2017.
Guru Matematik, Mohd Fadli Salleh berkata KSSR Semakan 2017 dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempunyai silibus yang lebih padat dan tinggi berbanding Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang diperkenalkan pada tahun 2011.
Katanya, menerusi silibus itu subjek Prinsip Akaun dimasukkan dalam buku teks sekolah rendah selain subjek takaful dan insurans.
Fadli mendakwa silibus itu menyebabkan murid berdepan kesukaran dan membenci subjek Matematik yang sebelum ini menjadi kegemaran kerana mudah untuk skor A dalam subjek tersebut selepas subjek Bahasa Melayu.
Bagaimanapun, ketika ini Matematik berubah menjadi ‘killer’ subjek dalam setiap peperiksaan.
“Guru-guru berpeluh nak bagi faham pada murid yang ramai, masa tak cukup, ilmu dan topik diluar kemampuan murid-murid… Hasilnya kita boleh lihat pada hari ini.
“Inilah hasil silibus KSSR Semakan 2017, satu daripada empat calon SPM gagal Matematik. Satu nisbah yang sangat besar dan perlu dirisaukan. Inilah realitinya.
“Punca apa semua ini terjadi? Punca suara guru didiamkan sejak 12 tahun yang lepas. Punca luahan guru tentang sukarnya silibus KSSR 2011 tidak diendahkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini pada Selasa.

Foto : Tangkap layar FB Mohd Fadli Salleh.
Fadli berkata kesan daripada situasi ini juga perlu ditanggung anak-anak yang minat mereka dibunuh oleh silibus terlampau tinggi.
Bahkan, generasi dan masa depan negara turut menjadi taruhan sedangkan pendidikan terlalu mahal untuk diperjudikan.
Beliau juga tidak menafikan ada kebenaran di sebalik ulasan sesetengah tokoh akademik yang berkata Malaysia akan kembali ke ‘zaman batu’.
“Tolonglah teliti dan cermat sebelum buat apa-apa keputusan, dasar dan program melibatkan anak-anak kami.
“Jangan buat perubahan melulu. Terkini, PBD (PBS) pula nak dilaksanakan secara melulu. Satu sistem yang dimansuhkan pada 2013 kerana kegagalan, tapi Lembaga Peperiksaan nak kembalikan semula tanpa kaji dengan cermat, tanpa ambil kira feedback dari guru-guru dan ibubapa.
“Ah, apa nak jadi dengan sistem pendidikan kita hari ini? Suatu sinar yang aku nampak di bawah pentadbiran YBM Fadhlina Sidek sebelum ini seakannya makin malap. Makin gelap. Makin hilang keyakinan,” katanya yang juga merupakan pempengaruh media sosial.
Sebelum ini, media melaporkan hampir 90,000 calon yang menduduki SPM tahun lalu gagal dalam mata pelajaran Matematik.
Ia juga bersamaan 24 peratus atau seorang daripada empat calon gagal dalam mata pelajaran terbabit, manakala 29 peratus lagi mendapat gred D dan E. — The Merdeka Times
Sumber : Facebook Mohd Fadli Salleh

You must be logged in to post a comment Login