Antarabangsa
Kelab Kriket Yorkshire County tandatangani Piagam Atlet Muslim
Kelab Kriket Yorkshire County menandatangani piagam yang mengiktiraf keperluan pemain, kakitangan dan peminat Muslim mereka, lapor Independent pada Ahad.

- Kelab Kriket Yorkshire County menandatangani Piagam Atlet Muslim yang mengiktiraf keperluan pemain, kakitangan dan peminat Muslim mereka.
- Kelab kriket itu kini menunggu sekatan dikenakan ke atas mereka ekoran dakwaan kes buli dan perkauman yang dikemukakan bekas pemain Azeem Rafiq.
- Kes terbabit mengakibatkan perubahan kepimpinan di kelab itu di mana Lord Kamlesh Patel meletak jawatan sebagai pengerusinya pada Mac lalu.
- Piagam Atlet Muslim itu merangkumi 10 elemen, termasuk penyediaan ruang bebas alkohol, tempat sesuai untuk solat, makanan halal dan penempatan bagi kakitangan dan pemain berpuasa di bulan Ramadan.
LONDON: Kelab Kriket Yorkshire County menandatangani piagam yang mengiktiraf keperluan pemain, kakitangan dan peminat Muslim mereka, lapor Independent pada Ahad.
Kelab kriket itu kini menunggu sekatan dikenakan ke atas mereka ekoran dakwaan kes buli dan perkauman yang dikemukakan bekas pemain Azeem Rafiq.
Menurut laporan Arab News, ia juga disertai kegagalan menangani penggunaan sistemik bahasa perkauman dan diskriminasi dalam tempoh berpanjangan.
Kes terbabit mengakibatkan perubahan kepimpinan di kelab itu di mana Lord Kamlesh Patel meletak jawatan sebagai pengerusinya pada Mac lalu.
Perubahan lain termasuk kerjasama dengan Nujum Sports, sebuah kumpulan bukan berasaskan keuntungan yang bertujuan menyokong atlet Muslim.
Selepas menandatangani Piagam Atlet Muslim Nujum, Yorkshire berkata ia menunjukkan “komitmennya terhadap ekuiti, dan kepelbagaian dan keterangkuman untuk semua”.
Piagam itu merangkumi 10 elemen, termasuk penyediaan ruang bebas alkohol, tempat sesuai untuk solat, makanan halal dan penempatan bagi kakitangan dan pemain berpuasa pada bulan Ramadan.
“Ia penting untuk menyokong kerja yang telah kami lakukan dalam membina sukan yang sama rata untuk semua,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Yorkshire, Stephen Vaughan kepada BBC.
“Dengan memahami keperluan kepercayaan dan budaya pemain, kakitangan dan peminat Muslim, kami boleh membantu mewujudkan persekitaran terbuka dan inklusif di mana semua orang merasa dihargai.
“Kami akan menggalakkan semua liga dan kelab kami untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Piagam Atlet Muslim dan berusaha untuk mengamalkan prinsipnya,” katanya.
Yorkshire mengakui empat pertuduhan berkaitan skandal perkauman dengan panel Suruhanjaya Disiplin Kriket (CDC) akan mengadakan sesi pendengaran pada 27 Jun depan.
Pada bulan lalu, CDC mendenda dan mengharamkan enam bekas pemain Yorkshire kerana menggunakan kata-kata diskriminasi terhadap Rafiq dan tiga lagi pemain etnik Asia.
Sumber: Arab News

You must be logged in to post a comment Login