Antarabangsa
Nantes denda penyerangnya enggan pakai jersi dengan nombor pelangi ‘LGBT’
Nantes mendenda penyerangnya, Mostafa Mohamed kerana enggan bermain menentang Toulouse pada Ahad, ketika pasukan di seluruh Perancis memakai jersi dengan nombor berwarna pelangi bagi menyokong perjuangan menentang homofobia.

- Kelab bolasepak Nantes mendenda pemainnya Mostafa Mohamed kerana enggan bermain sambil mengenakan jersi dengan nombor berwarna pelangi yang menyokong kelompok LGBT.
- Nantes tidak mendedahkan jumlah denda dikenakan ke atas penyerang dari Mesir itu tetapi berkata akan mendermakannya kepada badan amal Perancis, SOS HOMOPHOBIA
- Selain Mostafa Mohamed yang enggan menyarung jersi nombor pelangi atas alasan peribadi, Zakaria Aboulkhlal dari kelab Toulouse juga mengambil tindakan sama.
NANTES, PERANCIS – Nantes mendenda penyerangnya, Mostafa Mohamed kerana enggan bermain menentang Toulouse pada Ahad, ketika pasukan di seluruh Perancis memakai jersi dengan nombor berwarna pelangi bagi menyokong perjuangan menentang homofobia.
Nantes dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, penyerang Mesir itu didenda, dengan jumlah denda tidak didedahkan, yang akan didermakan kepada badan amal Perancis, SOS HOMOPHOBIA.
“Pertama sekali, Nantes sekali lagi ingin mengulangi komitmennya dalam menentang homofobia,” kata kelab itu di laman webnya dipetik CTV News.
“Mostafa Mohamed, penyerang kepada Kelab Bolasepak Nantes, enggan bermain dalam perlawanan menentang Toulouse atas alasan peribadi. Setakat ini, Pengarah-pengarah Nantes menetapkan beliau didenda dalam bentuk kewangan.”
Nantes berkata, mereka akan terus “berjuang menentang apa sahaja bentuk diskriminasi, sepertimana sering dilakukan sebelum ini.”
Pasukan yang mendahului dalam dua divisyen tertinggi itu menyarung jersi dengan nombor berwarna pelangi sepanjang hujung minggu selama tiga musim berturut-turut.
Zakaria Aboulkhlal yang merupakan penyerang Toulouse juga tidak bermain untuk pasukannya dalam perlawanan sama kerana turut menolak memakai jersi yang menyokong agenda kelompok songsang itu.
Sumber: CTV News
