Terkini
31 penjaja warga asing di depan Pasar Raya AJ Best tiada kelulusan berniaga – DBKL
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak memberi kelulusan berniaga kepada 31 penjaja dipercayai warga asing yang memenuhi ruang hadapan Pasar Raya AJ Best Best di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Chow Kit di ibu negara.
- DBKL tidak memberi kelulusan berniaga kepada 31 penjaja dipercayai warga asing yang memenuhi ruang hadapan Pasar Raya AJ Best Best.
- Kelompok peniaga terbabit juga tidak pernah mengemukakan permohonan lesen dengan pihak berkuasa tempatan itu.
- Sementara itu, terdapat 13 penjaja lain yang sebelum ini berniaga dalam bangunan terbabit, ditawarkan memasuki semula bangunan itu setelah selesai kerja baik pulih.
- “Bagaimanapun, penjaja-penjaja ini enggan memasuki semula biarpun kerja baik pulih telah siap sepenuhnya sehingga kini”. – DBKL
- DBKL juga sedang mengenal pasti status terkini bilangan penjaja di lokasi itu dan akan melesenkan penjaja-penjaja yang layak untuk ditempatkan di lokasi bersesuaian.
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak memberi kelulusan berniaga kepada 31 penjaja dipercayai warga asing yang memenuhi ruang hadapan Pasar Raya AJ Best Best di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Chow Kit di ibu negara.
Kelompok peniaga terbabit juga tidak pernah mengemukakan permohonan lesen dengan pihak berkuasa tempatan itu.
“Bangunan yang terletak di No. 483, Jalan Tuanku Abdul Rahman bersebelahan Arked Bazar Sudirman ini dahulunya dikenali dengan Bazar Uda Ocean (UO) dan telah diambil alih oleh syarikat AJ Best sejak April 2019.
“Terdapat seramai 13 orang penjaja yang menjalankan perniagaan di dalam bangunan pasaraya ini, namun terpaksa keluar disebabkan kerja-kerja baik pulih yang hendak dilaksanakan oleh pemilik baharu bangunan tersebut (AJ Best).
“Penjaja-penjaja ini terpaksa membuat penempatan sementara di hadapan premis tersebut (siarkaki luar bangunan) setelah menerima notis penutupan bagi membolehkan kerja-kerja baik pulih dilaksanakan,” katanya kepada The Merdeka Times dalam jawapan bertulis di sini hari ini.
DBKL berkata penjaja-penjaja juga telah ditawarkan untuk memasuki semula bangunan itu setelah selesai kerja baik pulih.
“Walau bagaimanapun, penjaja-penjaja ini enggan memasuki semula biarpun kerja baik pulih telah siap sepenuhnya sehingga kini,” katanya.
DBKL pada Ogos 2019 telah menjalankan bancian terhadap penjaja-penjaja ini dan merekodkan seramai 31 orang penjaja menjalankan aktiviti di situ.
Jelasnya lagi, penjaja-penjaja ini tidak terlibat dalam pemindahan ke bangunan baru Pasar Raja Bot yang masih dalam proses pembinaan.
Kenyataan itu berkata DBKL sedang mengenal pasti status terkini bilangan penjaja di lokasi itu dan akan melesenkan penjaja-penjaja yang layak untuk ditempatkan di lokasi yang bersesuaian.
Sebelum ini tular di TikTok apabila Pengerusi Persatuan Hak Masyarakat Malaysia, Mustafa Khan menggesa DBKL untuk mengambil tindakan ke atas perniagaan warga asing tanpa lesen yang didakwa memenuhi ruang hadapan Pasar Raya AJ Best Best di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Chow Kit.
Desakan itu dibuat susulan aduan daripada peniaga sekitar Chow Kit dan pemilik bangunan Pasar Raya AJ Best Best yang beberapa kali membuat laporan ke atas kedai-kedai terbabit. – The Merdeka Times