Connect with us

Terkini

Ziarah gereja promosi kebersamaan dan toleransi tidak wajar dilaksanakan – Majlis Ulama UMNO

Program mengajak orang Islam ke gereja untuk mempromosi kebersamaan dan toleransi sememangnya tidak wajar dilaksanakan dalam konteks undang-undang negara Malaysia.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Ziarah gereja promosi kebersamaan dan toleransi tidak wajar dilaksanakan - Majlis Ulama UMNO
Foto: Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
  • Program mengajak orang Islam ke gereja untuk mempromosi kebersamaan dan toleransi sememangnya tidak wajar dilaksanakan dalam konteks undang-undang negara Malaysia.
  • Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata toleransi antara kaum boleh dilaksanakan dengan cara lain melibatkan program kebajikan bersama, kesukanan dan sebagainya tetapi tidak menyentuh perkara sensitif melibatkan agama.
  • Dalam konteks Malaysia undang-undang jelas melarang sebarang usaha pengembangan agama lain kepada orang Islam. 
  • Kenyataan itu dikeluarkan di Facebooknya pada Sabtu.

KUALA LUMPUR – Program mengajak orang Islam ke gereja untuk mempromosi kebersamaan dan toleransi sememangnya tidak wajar dilaksanakan dalam konteks undang-undang negara Malaysia.

Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata toleransi antara kaum boleh dilaksanakan dengan cara lain melibatkan program kebajikan bersama, kesukanan dan sebagainya tetapi tidak menyentuh perkara sensitif melibatkan agama.

Menurutnya, dalam konteks Malaysia undang-undang jelas melarang sebarang usaha pengembangan agama lain kepada orang Islam. 

Khairuddin berkata, enakmen beberapa negeri termasuk Selangor menetapkan antara kesalahan Jenayah Syariah ialah mendekati orang Islam untuk mendedahkan mereka kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan sesuatu mengenai ugama bukan Islam sama ada dengan cara mengunjungi atau mengatur perjumpaan atau menghubungi orang Islam.

“Fatwa Lajnah Tetap Kajian Akademik dan Fatwa, Saudi Arabia menyebut; sekiranya pemergian kamu ke gereja untuk sekadar menggambarkan toleransi dan tolak ansur maka tidak harus. 

“Sekiranya ia adalah persediaan kepada menyeru mereka kepada Islam dan memperluaskan ruang dakwah sedang kamu tidak menyertai ibadat mereka dan tidak dibimbangi terpengaruh dengan akidah, adat dan amalan mereka maka ianya diharuskan,” katanya di Facebook pada Sabtu.

Khairuddin berkata, ulama berbeza pendapat tentang hukum memasuki gereja bagi orang Islam antara haram dan makruh. 

Katanya, Mazhab Hanafi mengharamkan perbuatan itu secara mutlak manakala Mazhab Syafie menetapnya sebagai haram jika terdapat patung-patung di tempat ibadat itu sementara Mazhab Hambali pula memakruhkan serta sebahagian ulama Mazhab Hambali memakruhkan sekiranya terdapat patung-patung.

Beliau berkata, melaluinya dapat difahami orang Islam memasuki gereja bukanlah perkara yang dibolehkan sewenang-wenangnya dan digalakkan tanpa alasan dan tujuan.

“Tindakan membatalkan cadangan program ziarah ke gereja oleh sebuah NGO bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan sangat dialu-alukan. 

“Dasar dan prinsipnya ialah sebarang perkara dan tindakan oleh mana-mana pihak yang menimbulkan keraguan awam dan menyentuh sensitiviti beragama sewajarnya dielakkan agar ia tidak menimbulkan persepsi dan prejudis terhadap kerajaan,” katanya mengulas pembatalan Program Jom Ziarah Gereja di Gereja Katolik Our Lady of Lourdes pada Sabtu.

Pada 13 Mac lalu, Impact Malaysia dilapor akan menganjurkan program Projek Artikel 11: ‘Ziarah Gereja’ di mana program itu mempelawa belia penganut agama selain Kristian untuk menyertainya (berdasarkan poster Impact Malaysia yang tular di media sosial).

Bagaimanapun, semakan The Merdeka Times pada hari berikutnya mendapati poster ‘Jom Ziarah Gereja’ yang tertera tulisan antara lain ‘TERBUKA KEPADA BELIA BUKAN KRISTIAN!’ telah dialih keluar dari akaun Instagram Impact Malaysia.

Susulan kebimbangan dibangkitkan banyak pihak, Menteri KBS Hannah Yeoh menegaskan projek itu bukanlah untuk menyamaratakan mana-mana agama dan tidak akan melibatkan penyertaan belia Muslim.

Terbaharu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim mengesahkan pihaknya sudah membuka satu kertas siasatan berhubung penganjuran program terbabit.

Beliau berkata, walaupun program itu sudah dibatalkan, pihaknya menerima satu laporan polis berhubung program berkenaan. — The Merdeka Times

Sumber: Facebook Ust Dr.Khairuddin at-Takiri

Author