Connect with us

Terkini

Syed Saddiq ajak semua ahli MUDA lawat rumah ibadat agama lain

Parti MUDA mengajak semua ahlinya mengunjungi mana-mana rumah ibadat agama lain untuk menyemarakkan keharmonian antara rakyat.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Syed Saddiq ajak semua ahli MUDA lawat rumah ibadat agama lain
Foto: Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
  • Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata demikian susulan kenyataan EXCO Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang  mengatakan peraturan menetapkan sebarang program melibatkan umat Islam di rumah ibadat agama lain adalah dilarang.
  • Syed Saddiq yang tidak bersetuju dengan kenyataan itu berpandangan program dan usaha menyemarakkan keharmonian serta kesefahaman antara rakyat seharusnya disambut baik oleh semua pihak.
  • “Sebagai Presiden MUDA, saya ingin memanggil lebih daripada 100,000 ahli MUDA untuk melawat mana-mana rumah ibadah. Negara ini adalah rumah kita dan rumah kita bersama,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
  • “Saya yakin untuk yang beragama Islam, iman mereka sedikit pun tidak terjejas sehingga hendak menukar agama.”

KUALA LUMPUR – Parti MUDA mengajak semua ahlinya mengunjungi mana-mana rumah ibadat agama lain untuk menyemarakkan keharmonian antara rakyat.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata demikian susulan kenyataan EXCO Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang mengatakan peraturan menetapkan sebarang program melibatkan umat Islam di rumah ibadat agama lain adalah dilarang.

Syed Saddiq yang tidak bersetuju dengan kenyataan itu berpandangan program dan usaha menyemarakkan keharmonian serta kesefahaman antara rakyat seharusnya disambut baik oleh semua pihak.

“Malaysia teguh kerana perpaduan dan dengan perpaduan ini datangnya kemakmuran.

“Sebagai Presiden MUDA, saya ingin memanggil lebih daripada 100,000 ahli MUDA untuk melawat mana-mana rumah ibadah. Negara ini adalah rumah kita dan rumah kita bersama,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya, MUDA yang terdiri daripada ahli-ahli yang berbagai latar belakang tidak pernah mempunyai masalah untuk bekerjasama ketika program kemasyarakatan diadakan.

Beliau berkata, ahli-ahli MUDA itu tanpa mengira agama atau bangsa sama-sama membersihkan masjid, tokong, kuil, gereja, gurdwara dan tempat ibadat lain sewaktu kerja-kerja pembersihan banjir.

“Saya yakin untuk yang beragama Islam, iman mereka sedikit pun tidak terjejas sehingga hendak menukar agama.

“Sebagai seorang wakil rakyat, saya juga telah banyak kali melawat ke rumah ibadat penganut agama lain dan boleh saya katakan tidak ada agenda untuk menjejaskan agama Islam di negara ini.

“Saya dijemput kerana mewakili rakyat saya tanpa perlu peduli apa agama mereka, apa bangsa mereka, dan apa fahaman politik mereka. Kebajikan mereka adalah tanggungjawab saya,” katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Muar.

Foto: Kenyataan media Presiden Muda, Syed Saddiq.

Syed Saddiq turut mengulas kenyataan Zawawi yang mengatakan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sentiasa memantau dan akan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang melanggar peraturan digariskan di bawah Seksyen 5 dan Seksyen 6 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor 1988.

Presiden MUDA itu mengajukan pertanyaan balas sama ada enakmen di atas akan dikenakan kepada pemimpin-pemimpin besar negara sekiranya mereka juga melawat ke rumah-rumah ibadat ini.

Pada 13 Mac lalu, Impact Malaysia iaitu agensi yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dilaporkan menganjurkan program Projek Artikel 11: ‘Ziarah Gereja’ di mana program itu mempelawa belia penganut agama selain Kristian untuk menyertainya (berdasarkan poster Impact Malaysia yang tular di media sosial).

Bagaimanapun, semakan The Merdeka Times pada hari berikutnya mendapati poster ‘Jom Ziarah Gereja’ yang tertera tulisan antara lain ‘TERBUKA KEPADA BELIA BUKAN KRISTIAN!’ telah dialih keluar dari akaun Instagram Impact Malaysia.

Manakala komen utama (pinned comment) bagi hantaran kenyataan media Impact Malaysia pada hari sama menyebut; “pendaftaran program Jom Ziarah ini hanya terbuka untuk peserta bukan-Muslim sahaja”.

Susulan kebimbangan dibangkitkan sesetengah pihak, Menteri KBS, Hannah Yeoh menegaskan projek itu bukan untuk menyamaratakan mana-mana agama dan tidak akan melibatkan penyertaan belia Muslim.

Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan mengenai hak kebebasan beragama menyebut (1) tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.

Fasal (4) pula menyebut Undang-undang Negeri, dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganuti agama Islam. — The Merdeka Times

Author