Terkini
RUU Perkhidmatan Parlimen bakal beri kuasa autonomi kepada Parlimen
Kerajaan sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen bagi menjadikan ia berasingan daripada perkhidmatan awam.

- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata RUU itu sedang diusahakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, bersama Jabatan Peguam Negara.
- “Seperti yang Datuk Seri Anwar Ibrahim nyatakan sebelum ini, kerajaan komited memastikan Parlimen bebas daripada kuasa eksekutif, dan usaha mentransformasi Parlimen juga penting bagi mengekalkan demokrasi serta kebebasan bersuara.
- “Pemberian kuasa autonomi kepada Parlimen melalui penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen amat penting, dan merupakan satu ‘progress’ (perkembangan) yang baik dalam memartabatkan doktrin pengasingan kuasa antara Badan Perundangan dengan Badan Eksekutif,” katanya.
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen bagi menjadikan ia berasingan daripada perkhidmatan awam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata RUU itu sedang diusahakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, bersama Jabatan Peguam Negara.
“Seperti yang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim nyatakan sebelum ini, kerajaan komited memastikan Parlimen bebas daripada kuasa eksekutif, dan usaha mentransformasi Parlimen juga penting bagi mengekalkan demokrasi serta kebebasan bersuara.
“Pemberian kuasa autonomi kepada Parlimen melalui penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen amat penting, dan merupakan satu ‘progress’ (perkembangan) yang baik dalam memartabatkan doktrin pengasingan kuasa antara Badan Perundangan dengan Badan Eksekutif,” katanya dalam jawapan lisan disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Wong Kah Woh (PH-Taiping) sama ada kerajaan bersedia menggubal Akta Perkhidmatan Parlimen sebagaimana dicadangkan sebelum ini, dan tindakan kerajaan untuk memperkasakan peranan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
Menjelaskan lanjut, Azalina berkata, memorandum Jemaah Menteri mengenai perkara itu akan dibentangkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri, dalam masa terdekat.
Mengenai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pula, beliau memaklumkan, Ahli Jawatankuasa Pemilih sudah diluluskan oleh Majlis Dewan Rakyat pada 14 Februari lalu.
“Jawatankuasa Pemilih akan meneliti cadangan mengenai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang akan datang dan peranan berkaitan,” katanya.
Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata, proses mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen perlu dipercepat bagi memastikan Parlimen bebas daripada kuasa eksekutif.
Beliau dipetik berkata, usaha mentransformasi Parlimen itu juga penting bagi mengekalkan demokrasi dan kebebasan bersuara.
“Ia harus dipercepatkan. Peguam Negara sudah maklum (draf undang-undang), ada perkara yang sedang diteliti dan perlu dicerakinkan agar tidak ada sebarang masalah apabila kita bentangkan nanti,” kata Perdana Menteri.
Akta Perkhidmatan Parlimen diperkenalkan pada 1963, namun dimansuhkan pada 1992. Akta itu membuka jalan kepada Dewan Rakyat untuk bertindak sebagai badan bebas, menjalankan hal ehwalnya sendiri, memilih kakitangan dan mengawal perbelanjaannya.
Sumber: Berita Harian
