Terkini
Mengapa kerajaan tidak benarkan pengeluaran KWSP?
Sebanyak RM145 bilion daripada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah dikeluarkan oleh 8.1 juta ahlinya semasa negara berdepan pandemik Covid-19, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

- Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini susulan RM145 bilion daripada simpanan KWSP telah dikeluarkan 8.1 juta ahlinya semasa pandemik Covid-19.
- Median simpanan semua kaum ahli KWSP direkodkan alami penurunan sebanyak 50 peratus iaitu daripada RM 16,600 pada 2019 kepada RM8,100 tahun lalu.
- Disebabkan situasi sama median simpanan kaum Melayu melibatkan tujuh juta ahli KWSP menurun kepada RM5,500 ketika ini berbanding RM16,900 pada April 2020.
KUALA LUMPUR – Sebanyak RM145 bilion daripada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah dikeluarkan oleh 8.1 juta ahlinya semasa negara berdepan pandemik Covid-19, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Katanya, situasi itu antara sebab mengapa kerajaan tidak lagi membenarkan pengeluaran dilakukan terhadap simpanan KWSP ketika ini.
Ahmad Maslan memaklumkan median simpanan semua kaum ahli KWSP direkodkan mengalami penurunan sebanyak 50 peratus iaitu daripada RM 16,600 pada 2016 kepada RM8,100 tahun lalu.
Dalam pada itu, katanya disebabkan situasi sama juga median simpanan kaum Melayu melibatkan tujuh juta ahli KWSP menurun kepada RM5,500 ketika ini berbanding RM16,900 pada April 2020.
“Bagi ahli Bumiputera lain, median simpanan 1.4 juta ahli sebelum pengeluaran direkodkan adalah RM10,600 dan kini hanya tinggal RM3,300 sahaja.
“Jadi macam mana kita nak benarkan lagi pengeluaran jika (median simpanan ahli) sekarang tinggal hanya RM5,500 dan RM3,300.
“Itu sebabnya kita tak beri kebenaran (untuk pengeluaran simpanan KWSP), lagi pun COVID-19 dah selesai,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam dilaporkan meminta kerajaan mempertimbangkan pengeluaran wang KWSP secara bersasar sekiranya itu kehendak rakyat.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan memutuskan tidak membenarkan pengeluaran wang simpanan dalam tabung KWSP menjelang pembentangan Bajet 2023 pada 24 Februari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan kekal dengan keputusan bagi mencari usaha mengurangkan beban tanpa memberi impak terhadap pemegang akaun ketika menghadapi hari persaraan nanti. – The Merdeka Times
Sumber : Youtube Parlimen Malaysia

You must be logged in to post a comment Login