Terkini
Bakal Haji, fahamilah istilah Istitha’ah
keutamaan menunaikan ibadat Haji bagi 2023 akan diberi kepada bakal jemaah yang tersenarai menunaikan ibadat itu pada 2020, diikuti 2021, 2022 dan seterusnya mengikut prinsip sistem pendaftaran terbuka sedia ada.
Empat bulan lagi akan tibanya musim haji.
Menurut Tabung Haji, keutamaan menunaikan ibadat Haji bagi 2023 akan diberi kepada bakal jemaah yang tersenarai menunaikan ibadat itu pada 2020, diikuti 2021, 2022 dan seterusnya mengikut prinsip sistem pendaftaran terbuka sedia ada.
Mengerjakan Haji sekaligus menunaikan rukun Islam kelima adalah impian setiap muslim di dunia ini. Lebih-lebih lagi saat Allah berfirman dalam Surah Ali-Imran ayat 97 iaitu, “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”
Menanam niat dan tekad untuk menjadi Dhuyuf al-Rahman, sememangnya digalakkan namun acapkali juga kita melihat senario bakal jemaah haji ini bergolok-gadai, mengikat perut, berhutang sana-sini demi menjadi tetamu Allah.
Senario sebegini menimbulkan persoalan, adakah golongan ini sudah benar-benar memahami konsep Istitha’ah atau berkemampuan yang menjadi salah satu syarat wajib haji?
Banyak sudah peringatan daripada ilmuan, agamawan malah pemimpin termasuk mantan menteri-menteri Agama yang mengingatkan bakal jemaah haji agar menilai kemampuan sendiri dan mengambil kira kenaikan kos sebelum menunaikan ibadah itu kerana syarat wajib bagi menunaikan haji mestilah berkemampuan dan tidak membebankan.
Berbalik semula kepada petikan ayat al-Quran di atas, kebanyakan fuqaha’ bersepakat menyatakan istitha’ah adalah salah satu dari empat syarat umum wajib haji berdasarkan nas ‘sesiapa yang mampu sampai kepadanya’.
Sekiranya seseorang itu tidak mempunyai Istitha’ah maka tidak diwajibkan ke atasnya untuk menunaikan ibadah haji.
Menurut jurnal bertajuk, ‘Konsep Istitha’ah dalam Ibadah Haji: Satu Analisis’, pengertian istita’ah merangkumi tiga sudut iaitu;
- Istita’ah al-maliyah, iaitu kemampuan dari segi kewangan.
- Istita’ah al-badaniyah, iaitu kemampuan dari segi kesihatan fizikal.
- Istita’ah al-amniyyah, iaitu kemampuan keselamatan diri termasuk mempunyai kenderaan, tiket kapal terbang dan kelulusan mendapatkan visa haji.
Manakala, konsep berkemampuan dengan pertolongan orang lain pula membawa maksud seseorang itu cukup semua syarat mengerjakan ibadah haji namun dia uzur kerana sakit, tiada harapan sembuh atau terlalu tua serta orang yang telah meninggal dunia dan mampu mengerjakan haji semasa hayatnya.
Maka, golongan ini boleh mewakilkan orang lain untuk menunaikan fardhu haji bagi pihak diri mereka.
Jika kita melihat situasi hari ini pula, kenaikan kos jemaah haji terus meningkat saban tahun disebabkan beberapa faktor iaitu termasuklah inflasi, pergerakan nilai tukaran mata wang, pengenalan caj dan cukai baharu oleh kerajaan Arab Saudi, selain pembangunan di Makkah dan Madinah.
Sudah semestinya, umat Islam yang berhasrat menunaikan haji perlu bersedia dengan kenaikan kos itu, dan mereka (bakal haji) tidak boleh bergantung pada subsidi atau bantuan kewangan semata-mata untuk menunaikan ibadat itu.
Peningkatan kos haji adalah perkara yang perlu diterima bakal jemaah kerana ia suatu fenomena yang tidak dapat dielakkan.
Meskipun begitu, berkemungkinan kenaikan kos itu tidaklah begitu dirasai jemaah haji di Malaysia khususnya yang pertama kali menunaikan ibadah itu secara muassasah lantaran langkah Tabung Haji yang melaksanakan bantuan kewangan.
Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra Malaysia), Harun KC Ahmmu berkata, bayaran haji pada 2019 masih kekal RM9,980 dan kos sebenar adalah RM22,900 di mana subsidi haji dikeluarkan sebanyak RM12,920 atau 56 peratus daripada kos haji.
Menurutnya, situasi ini seolah-olah menunjukan bahawa jemaah yang menunaikan haji lebih bergantung kepada subsidi daripada kemampuan sendiri.
Hal ini menimbulkan persoalan, di manakah kebenaran jemaah haji ini ‘mampu’ sekiranya masih mengharapkan bantuan daripada TH? Adakah ‘kewajiban’ TH menanggung semua lebihan perbelanjaan pengurusan jemaah haji?
Mungkin juga, sudah tiba masanya bakal haji perlu bersedia untuk membayar lebih serta tidak boleh lagi bergantung pada bantuan TH semata-mata. – The Merdeka Times