Terkini
Zahid beban pada UMNO, PH – Ramasamy
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy, membayangkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO sebagai ‘beban’ bukan hanya kepada parti itu, tetapi juga buat Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan.
- “Keputusan terkini PAU tidak pertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO mungkin dapat sokongan sebulat suara, namun ada juga suara yang mahukan ia dipertandingkan. – Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy
- “Zahid mungkin dilihat terselamat buat sementara waktu, namun beliau kelihatan sebagai ‘Albatross’ (masalah berterusan yang jadi penghalang) yang melingkari UMNO dan juga PH serta Kerajaan Perpaduan”.
- Ramasamy percaya usaha UMNO untuk berubah juga akan lalui jalan sukar selagi imej korupsi melingkarinya tidak dibersihkan dan malangnya, Ahmad Zahid selaku teraju parti sendiri dilihat sebagai pemimpin paling terkesan dengan imej itu dalam UMNO.
- “Jika UMNO bergabung dengan PN dalam membentuk kerajaan, parti itu mungkin akan tenggelam dek kuasa ekstrem dalam PN. Ini hakikat diketahui semua pemimpin UMNO terutama Ahmad Zahid.”
PETALING JAYA: Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy, membayangkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO sebagai ‘beban’ bukan hanya kepada parti itu, tetapi juga buat Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan.
Melalui satu muat naik di Facebook, beliau menegaskan keputusan dibuat melalui Persidangan Agung UMNO (PAU) 2022 Sabtu lalu yang meluluskan usul jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang mungkin melegakan, tetapi kelihatannya seperti duri dalam daging buat UMNO, PH dan kerajaan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Keputusan terkini PAU untuk tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO mungkin mendapat sokongan sebulat suara, namun ada juga suara yang mahukan ia dipertandingkan.
“Zahid mungkin dilihat terselamat buat sementara waktu, namun beliau kelihatan sebagai ‘Albatross’ (masalah berterusan yang menjadi penghalang) yang melingkari UMNO dan juga PH serta Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Sabtu lalu, PAU meluluskan usul tambahan supaya dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan di sebalik pelbagai kemelut yang berlaku termasuk desakan kepada usaha pembaharuan dan rejuvenasi dalam parti, selepas kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Dalam pada itu, Ramasamy percaya usaha UMNO untuk berubah juga akan melalui jalan sukar selagi imej korupsi yang melingkarinya tidak dibersihkan dan malangnya, Ahmad Zahid selaku teraju parti sendiri dilihat sebagai pemimpin paling terkesan dengan imej itu dalam UMNO.
Perkara itu, katanya, mungkin mendatangkan kesan kepada usaha parti serta Kerajaan Perpaduan untuk menarik sokongan khususnya kalangan pengundi Melayu dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
“Dengan dua kedudukan tertinggi dalam UMNO tidak dipertandingkan, krisis politik yang dijangka mungkin boleh dielak buat sementara waktu.
“Sakit kepala Anwar mungkin sementara waktu ini hilang. Namun cabaran sebenar buat PH dan UMNO adalah untuk menarik sokongan Melayu dalam PRN akan datang.
“Sama ada UMNO mampu untuk membuka laluan mudah dengan kebergantungan kepada nasionalisme etnik, itu belum tentu lagi,” katanya.
Enam negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan serta negeri pimpinan PAS, Kedah, Kelantan dan Terengganu, akan mengadakan pilihan raya negeri tahun ini.
UMNO yang hilang sokongan Melayu lebih perlukan PH.
Ramasamy turut menegaskan bahawa UMNO yang kehilangan sudah sokongan Melayu lebih memerlukan sokongan PH berbanding sebaliknya, malah ia juga menjadi faktor yang memaksa parti itu bekerjasama dalam membentuk Kerajaan Perpaduan.
“Jika UMNO yang paling dominan dalam Barisan Nasional (BN) sebuah parti yang kuat, ia sudah pasti memenangi majoriti kerusi Parlimen dalam PRU-15, namun prestasinya jauh ketinggalan berbanding saingannya, iaitu PAS dan BERSATU dalam PN (Perikatan Nasional).
“Kehilangan sokongan Melayu yang memaksa UMNO bekerjasama dengan PH dalam membentuk Kerajaan Perpaduan… saya rasa UMNO lebih memerlukan sokongan PH berbanding sebaliknya.
“Jika UMNO bergabung dengan PN dalam membentuk kerajaan, parti itu mungkin akan tenggelam dek kuasa ekstrem dalam PN. Ini hakikat diketahui semua pemimpin UMNO terutama Ahmad Zahid,” katanya.
Sumber: Berita Harian