Terkini
‘Subsidi’ haji perlu dikaji semula – Mantan CEO Tabung Haji
Apa yang dikatakan ‘subsidi’ haji perlu dikaji semula kerana ia menyebabkan tujuan asal Tabung Haji untuk membolehkan umat Islam menabung dan mengerjakan haji tidak dapat dipenuhi.
- Apa dikatakan ‘subsidi’ haji perlu dikaji semula kerana ia menyebabkan tujuan asal TH untuk membolehkan umat Islam menabung dan mengerjakan haji tidak dapat dipenuhi.
- “Apabila Malaysia mendapat kuota tambahan, kos akan meningkat kepada tahap lebih tinggi kerana biasanya makluman berkenaan kuota ini disampaikan sudah hampir dengan musim haji”
- “Perkara itu, akan menyebabkan lebih banyak keuntungan pendeposit perlu digunakan sebagai “subsidi” di mana masih ramai tersalah anggap mengingatkan bahawa apa digelar “subsidi” itu datangnya dari kerajaan,” kata CEO TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff.
- Turut disentuh adalah konsep istito’ah atau kemampuan yang melibatkan kesihatan, keselamatan dan kewangan jemaah dalam bab mengerjakan haji.
KUALA LUMPUR – Apa yang dikatakan ‘subsidi’ haji perlu dikaji semula kerana ia menyebabkan tujuan asal Tabung Haji untuk membolehkan umat Islam menabung dan mengerjakan haji tidak dapat dipenuhi.
Mantan CEO Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata terdapat beberapa isu syariah di sebalik perkara ini dan ia perlu dimuzakarahkan dengan tenang dan adil.
Bagaimanapun, katanya adil tidak bermakna akan membuatkan keputusan berkenaan popular namun perlu juga kita ingat bahawa Allah SWT tidak menyusahkan hambaNya dan beban yang dikenakan ke atas hambaNya benar-benar memenuhi syarat, walaupun pengundi tak suka.
“Satu perkara yang kritikal bagi TH ialah bayaran haji kerana setelah dibekukan untuk tempoh lebih sepuluh tahun, bayaran haji dinaikkan kepada RM 10,980 kepada jemaah B40 dan RM 12,980 kepada jemaah lain.
“Ini berbanding dengan kos haji yang sudah mencapai RM 28,632 di musim lepas serta membawa makna jemaah B40 hanya membayar 38 peratus dari kos haji manakala jemaah lain membayar hanya 45 peratus dari kos haji sebenar.
“Jurang di antara bayaran diterima dengan kos sebenar ini ditanggung oleh pendeposit TH dengan mengambilnya dari keuntungan pelaburan dibuat dengan menggunakan dana dikumpulkan TH dari pendeposit. TH tidak mempunyai dana sendiri walaupun satu sen.
“Apabila Malaysia mendapat kuota tambahan, kos akan meningkat kepada tahap yang lebih tinggi kerana biasanya makluman berkenaan kuota ini disampaikan sudah hampir dengan musim haji,” katanya menerusi hantaran di Facebook bertajuk ‘Kuota sudah tahu, bayaran haji pula macam mana?’.
Nik Hasyudeen berkata walaupun TH boleh merancang lebih awal, tetapi harga sewa hotel dan kos penerbangan akan memuncak ketika itu.
Beliau berkata perkara itu akan menyebabkan lebih banyak keuntungan pendeposit perlu digunakan sebagai “subsidi”, di mana masih ramai yang tersalah anggap mengingatkan bahawa apa digelar “subsidi” itu datangnya dari kerajaan.
Katanya, terdapat beberapa salah anggap di dalam hal ini iaitu yang pertama perkara tersebut bukanlah idea daripada Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang menjadi individu penting di sebalik penubuhan TH.
Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji Malaya yang ditubuhkan di dalam tahun 1963 hasil dari ilham Ungku Aziz hanyalah sebuah institusi penabungan, katanya.
Beliau berkata apabila simpanan sudah cukup, bakal-bakal haji akan menggunakan tabungan itu untuk membayar kos haji kepada sheikh-sheikh haji di Pulau Pinang atau pun Singapura.
“Apabila Lembaga Urusan dan Tabung Haji ditubuhkan di dalam tahun 1969, barulah urusan tabungan dan operasi haji digabungkan. Namun jemaah haji Malaysia dikenakan kos haji yang sebenar berdasarkan apa yang ditetapkan oleh TH.
“Di dalam tahun 2001 (jika tak salah saya) kerajaan memberikan subsidi RM 500 kepada setiap jemaah di mana itu adalah kali pertama dan terakhir ada subsidi dari kerajaan.
“Selepas itu, perbezaan di antara kos sebenar haji dan bayaran diterima dari jemaah yang lebih rendah ditanggung oleh para pendeposit TH secara berjemaah. Malangnya ianya diwar-warkan sebagai ‘subsidi’,” katanya.
Nik Hasyudeen berkata walaupun dengan adanya TH seperti sekarang ini membolehkan bakal-bakal haji menabung, kaedah “subsidi” ini menyebabkan tempoh menunggu untuk mendapatkan kuota haji sudah melebihi 130 tahun.
Katanya, situasi ini akan memperlihatkan sekiranya seorang bayi dilahirkan pada hari ini dan ibu bayi itu membuka akaun dan mendaftar haji baginya, bayi berkenaan hanya boleh menunaikan haji apabila berusia 130 tahun atau lebih.
“Bagi saya, ini sudah tidak mencapai matlamat penubuhan TH seperti diilhamkan oleh Ungku Aziz dahulu.
“Di dalam bab haji ada konsep istito’ah atau kemampuan. Ini melibatkan kesihatan, keselamatan dan kewangan.
“Sekiranya seorang muslim tidak cukup dana untuk mengerjakan haji, Allah SWT tidak mewajibkannya ke atas orang berkenaan,” katanya.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar mengatakan kuota jemaah haji Malaysia tahun ini dikembalikan seperti sebelum pandemik Covid-19, iaitu 31,600 berbanding 14,306 jemaah tahun lalu.
Katanya, kelulusan itu diberikan Menteri Haji dan Umrah, Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabia ketika beliau menghadiri mesyuarat bersempena Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 yang dianjurkan Kerajaan Arab Saudi. – The Merdeka Times
Sumber : Facebook Nik Hasyudeen