Terkini
Perlembagaan Persekutuan edisi BM perlu jadi rujukan muktamad – Pemuda PAS
Pemuda PAS menyokong penuh cadangan Peguam Negara agar kerajaan menjadikan Perlembagaan Persekutuan edisi Bahasa Malaysia sebagai versi muktamad.

- Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata tindakan itu selaras dengan Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan sekiranya terdapat percanggahan atau perselisihan antara teks Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris, maka teks Bahasa Kebangsaan sepatutnya mengatasi teks Bahasa Inggeris.
- “Teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Kebangsaan telah pun wujud dan dilancarkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong (KDYMM YDPA) semenjak 2003 lagi.
- “Maka, ini bukan lagi persoalan terjemahan sebaliknya, ini soal pelaksanaan agar menjadikan teks Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Malaysia sebagai versi muktamad yang akan dirujuk oleh semua,” kata Ketua Pemuda PAS itu.
KUALA LUMPUR – Pemuda PAS menyokong penuh cadangan Peguam Negara agar kerajaan menjadikan Perlembagaan Persekutuan edisi Bahasa Malaysia sebagai versi muktamad.
Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan ini selaras dengan Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan.
Peruntukan itu menyatakan jika terdapat percanggahan atau perselisihan antara teks Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris, maka teks Bahasa Kebangsaan sepatutnya mengatasi teks Bahasa Inggeris.
“Teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Kebangsaan telah pun wujud dan dilancarkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong (KDYMM YDPA) semenjak 2003 lagi.
“Maka, ini bukan lagi persoalan terjemahan sebaliknya, ini soal pelaksanaan agar menjadikan teks Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Malaysia sebagai versi muktamad yang akan dirujuk oleh semua.
“Pelaksanaan ini adalah suatu tindakan yang baik dan wajar disambut oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia.
“Usaha ini selari dengan pemerkasaan Bahasa Kebangsaan yang menjadi sebahagian daripada identiti negara,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Fadhli Shaari berkata usaha ini sedikit sebanyak dapat menjernihkan lagi kekeliruan yang berlaku di mahkamah, memberi penafsiran yang lebih tepat terhadap peruntukan Perlembagaan.
Selain itu, ia juga tidak mengenepikan semangat sebenar Perlembagaan Persekutuan yang mengangkat Islam sebagai agama Persekutuan, serta aspirasi perjanjian sosial yang sudah lama termeterai.
Beliau juga menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar memberikan sokongan penuh kepada usaha yang baik ini.
Isnin lalu, ketika berucap pada Pembukaan Tahun Undang-undang 2023, Peguam Negara, Idrus Harun mencadangkan kerajaan menjadikan Perlembagaan Persekutuan edisi Bahasa Malaysia sebagai versi muktamad (authoritative) bagi undang-undang tertinggi di Malaysia.
Malaysiakini melaporkan cadangan itu menimbulkan kebimbangan Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) yang berkata ia boleh memberi kesan bagi kes membabitkan seorang ibu bapa menukarkan anak atau anak mereka kepada agama lain.
Ia merujuk kepada perbicaraan Mahkamah Rayuan, awal tahun lalu, terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan 2018 membabitkan kes penukaran agama unilateral antara guru tadika M Indira Gandhi dan bekas suaminya yang memeluk Islam.
Mahkamah tertinggi menyebelahi Indira Gandhi dengan bersetuju bahawa versi Bahasa Inggeris Artikel 12(4) Perlembagaan Persekutuan mengatasi edisi Bahasa Malaysia, sekali gus melarang bekas suaminya mengislamkan tiga anaknya tanpa persetujuannya juga.
Versi Bahasa Inggeris Artikel 12(4) menggunakan istilah ‘ibu bapa atau penjaga’, manakala terjemahan Bahasa Malaysia peruntukan itu berbunyi sebagai ‘ibu atau bapa’.
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam rayuan terhadap tindakan undang-undang seorang ibu Hindu untuk membatalkan penukaran agama Islam secara unilateral terhadap tiga anaknya, membangkitkan kemungkinan Perlembagaan Persekutuan versi Bahasa Melayu adalah yang autoritatif dan membantu dalam rayuannya. – The Merdeka Times
Sumber : Facebook Pemuda PAS Malaysia
