Terkini
Penyelewengan dana RM92.5 billion, ‘pembohongan maha dahsyat’ – Muhyiddin Yassin
Berhubung dakwaan dana berbentuk fiskal bagi Pakej Rangsangan Ekonomi sebanyak RM92.5 billion yang diselewengkan semasa pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN), pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan ia sebagai satu rekaan dan ‘pembohongan maha dahsyat’.
- Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan dakwaan penyelewengan dana berbentuk fiskal bagi Pakej Rangsangan Ekonomi sebanyak RM92.5 billion ketika pemerintahannya dahulu sebagai satu rekaan dan ‘pembohongan maha dahsyat’.
- “Perbelanjaan fiskal di bawah pakej-pakej rangsangan ekonomi bukan dalam bentuk projek yang boleh diselewengkan, tetapi sebahagian besarnya adalah pemberian tunai langsung kepada rakyat (direct cash transfer) seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Geran Prihatin dan Subsidi Upah.
- “Bagaimana dana ini boleh diseleweng jika ia merupakan pemberian tunai langsung kepada rakyat?” – Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Berhubung dakwaan dana berbentuk fiskal bagi Pakej Rangsangan Ekonomi sebanyak RM92.5 billion yang diselewengkan semasa pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN), pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan ia sebagai satu rekaan dan ‘pembohongan maha dahsyat’.
Beliau, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), membuat hantaran di laman Facebook rasminya semalam menjelaskan ia adalah fitnah terhadap Bersatu.
“Ini adalah suatu pembohongan maha dahsyat yang disandarkan kepada cerita rekaan atas rekaan. Penyelewengan dana RM92.5 bilion itu adalah satu rekaan.
“Perbelanjaan fiskal di bawah pakej-pakej rangsangan ekonomi bukan dalam bentuk projek yang boleh diselewengkan, tetapi sebahagian besarnya adalah pemberian tunai langsung kepada rakyat (direct cash transfer) seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Geran Prihatin dan Subsidi Upah.
“Bagaimana dana ini boleh diseleweng jika ia merupakan pemberian tunai langsung kepada rakyat?”.
Menerusi hantaran tersebut, Tan Sri Muhyiddin turut berkongsi kenyataan mantan Menteri Kewangan kerajaan PN, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mengesahkan segala perbelanjaan yang melibatkan 8 Pakej Rangsangan Ekonomi diurus secara telus.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan yang tohmahan sedemikian bertujuan melemahkan jentera pentadbiran BERSATU menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Jawapannya mudah. PH-BN takut dengan bayang-bayang mereka sendiri. Mereka gelisah melihat PN mendapat sokongan sekurang-kurangnya 62% orang Melayu dan Bumiputera dalam PRU-15.
“Dengan tindakan BN bergabung dengan PH, sokongan kepada gabungan yang terbentuk atas pembohongan kepada pengundi ini akan lebih merosot, sepertimana yang terbukti dalam PRK Padang Serai dan PRK Tioman.
“Saya harap ini tidak benar dan menyerahkan kepada pihak SPRM untuk menjalankan siasatan secara telus dan adil.”
Mengakhiri hantaran tersebut, Tan Sri Muhyiddin menyatakan kesediaan BERSATU untuk memberi sepenuh kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menyiasat perkara terbabit. – The Merdeka Times
Sumber: Facebook Muhyiddin Yassin