Connect with us

Antarabangsa

Pakistan minta Belanda halang tindakan Islamofobia

Pakistan pada Rabu meminta Belanda halang tindakan Islamofobia selepas seorang ekstremis dan ahli politik Belanda mencemarkan naskhah al-Quran.

Wartawan TMT

Published

on

Pakistan minta Belanda halang tindakan Islamofobia
Foto: Menteri Luar Pakistan, Bilawal Bhutto-Zardari
  • “Ini merupakan jenayah Islamofobia yang provokatif yang dilakukan atas alasan kebebasan bersuara.” –  Kementerian Luar Pakistan 
  • “Masyarakat antarabangsa bertanggungjawab dalam mencegah perbuatan keji itu dengan motif tersembunyi untuk mencetuskan kebencian dan keganasan agama.” 
  • “Masyarakat harus meningkatkan suara kolektif menentang Islamofobia dan bekerjasama untuk mempromosi keharmonian antara agama dan kewujudan bersama secara aman sempena resolusi yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung PBB pada 2022 menandakan 15 Mac sebagai Hari Antarabangsa untuk Memerangi Islamofobia,” katanya.


NEW DELHI – Pakistan pada Rabu meminta Belanda halang tindakan Islamofobia selepas seorang ekstremis dan ahli politik Belanda mencemarkan naskhah al-Quran.

Edwin Wagensveld pemimpin kumpulan pelampau Pegida Belanda pada Ahad mengoyak muka surat al-Quran berhampiran parlimen Belanda di The Hague dan memijaknya.

“Ini merupakan jenayah Islamofobia yang provokatif yang dilakukan atas alasan kebebasan bersuara,” kata Kementerian Luar Pakistan dalam satu kenyataan.

“Kami juga percaya kerajaan dan masyarakat antarabangsa bertanggungjawab secara amnya dalam mencegah perbuatan keji itu yang dilakukan dengan motif tersembunyi untuk mencetuskan kebencian dan keganasan agama,” kata kementerian itu.

“Kebimbangan Pakistan akan disampaikan kepada pihak berkuasa Belanda. Kami menggesa mereka supaya berhati-hati dengan sentimen rakyat Pakistan dan umat Islam di seluruh dunia dan mengambil langkah untuk mencegah perbuatan kebencian dan Islamofobia itu,” katanya.

Provokasi di Belanda itu menyusul tindakan membakar satu salinan kitab suci itu di luar Kedutaan Turki di ibu kota Sweden, Stockholm, oleh ekstremis anti-Islam Denmark Rasmus Paludan.

Al-Azhar institusi Islam terkemuka Mesir, menggesa pemulauan produk Sweden dan Belanda manakala anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam tindakan provokatif di kedua-dua negara Eropah itu.

“Masyarakat antarabangsa harus meningkatkan suara kolektif menentang Islamofobia dan bekerjasama untuk mempromosi keharmonian antara agama dan kewujudan bersama secara aman. Itulah semangat di sebalik resolusi yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2022 untuk menandakan 15 Mac sebagai Hari Antarabangsa untuk Memerangi Islamofobia,” menurut kenyataan kementerian luar Pakistan.

Pada Selasa OIC menyuarakan kebimbangannya terhadap “manifestasi berterusan sikap tidak bertoleransi dan kebencian agama terhadap umat Islam di banyak tempat di dunia” dan menggesa kerajaan terbabit supaya mengambil langkah untuk menangani Islamofobia.

 

Sumber: BERNAMA

Author

Antarabangsa

Tentera Mesir dan Israel bertempur di sempadan Rafah

Tentera Mesir dan rejim Israel dilaporkan bertempur di sempadan Rafah pada Isnin dengan askar Mesir yang ditempatkan di bandar Rafah, Palestin, dilapor melepaskan tembakan ke arah tentera-tentera Israel.

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Tentera Mesir dan rejim Israel dilaporkan bertempur di sempadan Rafah pada Isnin dengan askar Mesir yang ditempatkan di bandar Rafah, Palestin, dilapor melepaskan tembakan ke arah tentera-tentera Israel.
  • Berita yang belum disahkan memberitahu sekurang-kurangnya tujuh orang Israel cedera, dan seorang askar Mesir terbunuh, di tengah-tengah ketegangan meningkat di antara Mesir dan Israel.
  • Sumber keselamatan memberitahu The New Arab bahawa tentera Mesir, susulan insiden itu meningkatkan kawalan keselamatan di dalam dan sekitar lintasan sempadan di wilayah Sinai Utara Mesir, yang dirampas Israel awal bulan ini.

Tentera Mesir dan rejim Israel dilaporkan bertempur di sempadan Rafah pada Isnin dengan askar Mesir yang ditempatkan di bandar Rafah, Palestin, dilapor melepaskan tembakan ke arah tentera-tentera Israel.

Berita belum disahkan memberitahu sekurang-kurangnya tujuh tentera Israel cedera dan seorang askar Mesir terbunuh di tengah-tengah ketegangan meningkat di antara Mesir dan Israel.

Sumber keselamatan memberitahu The New Arab bahawa tentera Mesir, susulan insiden itu meningkatkan kawalan keselamatan di dalam dan sekitar lintasan sempadan di wilayah Sinai Utara Mesir, yang dirampas Israel awal bulan ini. 

Sumber peringkat tinggi itu, yang bercakap dengan TNA dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan kerana tidak diberi kuasa memberi taklimat kepada media, tidak menjelaskan lebih lanjut tetapi berkata “askar Israel membalas tembakan dan kemudian melepaskan tembakan amaran sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.”

Tiada butiran lanjut tersedia serta-merta pada masa penerbitan, tetapi laporan yang tidak disahkan mengatakan tentera Israel dilaporkan berundur dari sempadan Palestin di sempadan Rafah.

Sementara itu, tentera Mesir tidak mengesahkan atau menafikan kejadian itu secara rasmi.

Walaupun secara teknikalnya keamanan dengan Israel wujud sejak 1970-an, warga Mesir bertelagah dengan rejim zionis secara berturut-turut mengenai normalisasi.

Secara diplomatik dan komersial, Kaherah menganggap Israel sebagai sebuah negara mempunyai hubungan kukuh di beberapa kawasan tetapi ketegangan semakin memuncak selepas Israel melancarkan perangnya ke atas Gaza Oktober lalu. – The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending