Terkini
PM diminta pujuk orang bukan Melayu, terima satu sistem pendidikan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, diharap dapat menggunakan pengaruh kuatnya untuk mengajak kalangan bukan Melayu bersetuju dengan sistem pendidikan satu aliran.
- Sistem pendidikan satu aliran diperjuangkan bukan semata-mata jaga orang Melayu, malah membela nasib bangsa lain. – Pengerusi Biro Pendidikan Majlis Perundingan Melayu (MPM), Prof Emeritus Tan Sri Ibrahim Abu Shah.
- Tuntutan dan perjuangan bukan Melayu berkaitan sistem pendidikan ketika ini, bercanggah Perlembagaan negara.
- “Pada hari ini, Perdana Menteri baharu (dilantik) disebabkan penerimaan dan sokongan padu terutama daripada orang Cina. Sudah pasti dengan semangat beliau dapat memujuk orang Cina supaya kembali ke pangkal jalan.”
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, diharap dapat menggunakan pengaruh kuatnya untuk mengajak kalangan bukan Melayu bersetuju dengan sistem pendidikan satu aliran.
Pengerusi Biro Pendidikan Majlis Perundingan Melayu (MPM), Prof Emeritus Tan Sri Ibrahim Abu Shah, berkata hanya Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mampu memujuk bukan Melayu dan menyelesaikan masalah itu.
Beliau berkata, sistem pendidikan satu aliran yang diperjuangkan bukan semata-mata untuk menjaga orang Melayu, malah membela nasib bangsa lain secara keseluruhannya.
Beliau berkata, tuntutan dan perjuangan bukan Melayu berkaitan sistem pendidikan ketika ini, bercanggah dengan Perlembagaan negara.
“Pada hari ini, Perdana Menteri baharu (dilantik) disebabkan penerimaan dan sokongan padu terutama daripada orang Cina. Sudah pasti dengan semangat beliau dapat memujuk orang Cina supaya kembali ke pangkal jalan.
“(Meminta mereka) menerima asas Perlembagaan, apa yang mereka buat itu boleh dikatakan 100 peratus bercanggah dengan Perlembagaan,” katanya pada sidang media di Wisma MPM Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam perkembangan lain, MPM akan mengemukakan memorandum yang mengandungi 62 tuntutan dan bertemakan ‘Membina Negara Makmur’ kepada Kerajaan Perpaduan.
Memorandum itu disediakan oleh Sekretariat MPM bersama 12 biro yang menganggotai Jawatankuasa Pemandu.
Jawatankuasa Pemandu ditubuhkan pada September tahun lalu, membabitkan 10 wakil daripada kerajaan serta pembangkang, berkuat kuasa sepanjang tempoh Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, yang dimeterai dengan lima wakil kerajaan dipimpin Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan lima pembangkang.
Menjadikan Agenda Kemakmuran Negara sebagai tuntutan utama memorandum, MPN menggesa kerajaan supaya melakukan anjakan kepada agenda pembangunan.
Ini kerana sebelum ini, agenda kerajaan berpaksikan kepada pertumbuhan serta pembangunan dan pada masa kini, ia perlu diubah kepada pembangunan yang berpaksikan kemakmuran.
Justeru, katanya, memorandum yang mengandungi 12 domain untuk membina kemakmuran di negara ini membabitkan isu Hal Ehwal Islam; Pemerintahan, Politik dan Kepimpinan; Tadbir Urus dan Integriti; Pendidikan, Bahasa dan Nilai Budaya serta Ekonomi serta Kewangan dan Keusahawanan.
Selain itu, Keselamatan, Pertahanan dan Ketenteraman Awam; Kesihatan dan Kesejahteraan; Pembangunan Insan dan Komuniti Madani; Pemeliharaan Alam Sekitar dan Pengurusan Sumber Asli; Tanah Simpanan Melayu; Perlembagaan dan Perundangan serta Hak Asasi dan Hubungan Luar Negara.
Antara domain dilihat menarik adalah Hal Ehwal Islam, yang mana MPM menyarankan supaya kerajaan mengangkat kembali Indeks Syariah, yang dilancarkan pada 3 Ogos 2017 oleh Perdana Menteri terdahulu.
Melaluinya juga, MPM mencadangkan kewujudan Suruhanjaya Kedaulatan Agama Negara (SKAN), selain meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dirombak dan memindahkan kuasa pengendalian Skim Pensijilan Halal kepada Majlis Halal Negara (MHN).
Sementara itu, melalui domain Pemerintahan, Politik dan Kepimpinan, MPM menuntut kerajaan mewartakan Wasiat Raja-Raja Melayu dan mahu mahu Dewan Negara diletakkan di bawah kawal Penasihat Majlis Raja-Raja Melayu, selain menggubal Akta Dana Politik.
Sementara itu, Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr Hasan Mad, berkata teras kepada memorandum itu ialah penggubalan Dasar Induk Negara, dengan menjadikan peruntukan Perlembagaan Persekutuan sebagai rujukan utama.
Berikutan itu, katanya, satu akta khusus perlu digubal bagi melindungi dasar terbabit daripada dipinda, diabaikan atau disalah tafsir oleh mana-mana pihak dalam menjayakan agenda pembangunan negara yang aman dan makmur.
“Sebaik sahaja diumumkan pembentukan Kabinet, MPM akan menyerahkan memorandum ini secara rasmi kepada Perdana Menteri melalui wakil Barisan Nasional (BN) yang ada dalam kerajaan,” katanya.
Pada masa sama, Hasan berkata, MPM yang memiliki ramai cendekiawan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersekutu dengannya, komited bersama kerajaan untuk melaksanakan segala yang dituntut.
Sehubungan itu, beliau berkata, MPM juga bersedia mengadakan dialog bersama Perdana Menteri jika diminta untuk berbuat demikian.
“Kalau Kerajaan Perpaduan panggil kami, Insya-Allah, bila-bila masa sahaja kami bersedia untuk mengadakan perbincangan dan menjelaskan perincian memorandum ini,” katanya.
Sumber : Berita Harian