Terkini
Pindaan Enakmen Jenayah Syariah Takzir Terengganu elak kemudaratan besar
Langkah Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu meluluskan pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 tidak boleh dianggap zalim.

- Timbalan Presiden Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (l-Medik), Datuk Dr Mohamed Hatta Mohamed Tarmizi berpandangan keputusan DUN Terengganu luluskan pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2001 tidak boleh dianggap zalim.
- Ini kerana ia langkah menghindari kemudaratan lebih besar berlaku dan membendung masalah mengandung di luar nikah.
- Dr Hatta berkata pada tahun 2018 kerajaan negeri Terengganu sudah bina rumah dipanggil ‘Rumah Generasiku Sayang’ iaitu rumah khas kepada remaja hamil luar nikah dapat perlindungan sewajarnya.
- Rumah terbabit juga mempunyai bantuan kemudahan seperti penjagaan antenatal, post-natal, psikososial dan bimbingan kerohanian bagi mengelak pengguguran haram.
BANGI, 14 Jamadilawal 1444H, Jumaat – Langkah Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu meluluskan pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 tidak boleh dianggap zalim.
Apatah lagi mendakwa tindakan itu ‘menjenayahkan’ perempuan yang hamil anak luar nikah, sedangkan ia satu langkah menghindari kemudaratan yang lebih besar berlaku.
Berikutan itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Datuk Dr Mohamed Hatta Mohamed Tarmizi berpandangan, keputusan kerajaan negeri Terengganu baru-baru ini tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang zalim.
“Sebenarnya, inilah salah satu peranan dan langkah kerajaan negeri untuk membendung masalah mengandung di luar nikah.
“Malah, kalau kita lihat, kerajaan negeri Terengganu sendiri pada 2018 sudah membina sebuah rumah yang dipanggil ‘Rumah Generasiku Sayang’ iaitu rumah khas kepada remaja hamil luar nikah mendapat perlindungan sewajarnya.
“Kalau dikatakan kerajaan negeri Terengganu mahu ‘victimise’ mereka yang terlanjur ini, kenapa pula dilancarkan rumah perlindungan untuk mereka ini?” soalnya seperti dipetik Samudera.my.
Dr Hatta berkata demikian ketika menjawab persoalan mengenai dakwaan yang menyifatkan kelulusan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 ini ‘menjenayahkan’ kesalahan hamil atau melahirkan anak luar nikah sebagai sangat kejam dan menjejaskan sistem kesihatan negara.
Menguluas lanjut, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi dan Pakar Fertiliti itu menegaskan, dakwaan apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri sebagai kejam amat tidak masuk akal sama sekali.
Ini kerana pihak berkenaan telah lama mewujudkan prasarana dan program untuk golongan tersebut sekali gus tidak meminggirkan mereka seperti yang didakwa.
“Bukan itu sahaja, rumah ini juga mempunyai bantuan kemudahan seperti penjagaan antenatal, post-natal, psikososial dan bimbingan kerohanian bagi mengelak pengguguran haram.
“Jadi kerajaan Terengganu sendiri telah membuat satu inisiatif yang sangat bagus seperti ini,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Hatta tidak menolak kemungkinan kerajaan negeri melihat masalah sosial yang berlaku sudah agak rumit, lebih-lebih lagi dalam kalangan generasi sekarang.
Maka katanya, inilah salah satu langkah kerajaan negeri untuk menangani masalah berkenaan.
“Pada masa sama, kerajaan negeri perlu lebih banyak mengadakan inisiatif bagi mendidik dan memberi penerangan serta tarbiah kepada rakyat,” katanya.
Sumber : Ismaweb

You must be logged in to post a comment Login