Connect with us

Terkini

Pendakwaan LTTE digugur zaman PH, DAP tiada kredibiliti cakap isu anti-keganasan – Muhyiddin

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan DAP tiada kredibiliti untuk bercakap mengenai anti-keganasan atau keamanan kerana mendakwa parti itu pernah menggesa Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) dikeluarkan daripada senarai kumpulan pengganas.

Wartawan TMT

Published

on

Pendakwaan LTTE digugur zaman PH, DAP tiada kredibiliti cakap isu anti-keganasan - Muhyiddin
Foto: Nga Kor Ming (kiri), Muhyiddin Yassin (kanan)
  • Dakwaan tersebut dibuat Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui hantaran di Facebooknya.
  • Beliau sifatkan DAP tiada kredibiliti bercakap mengenai anti-keganasan atau keamanan kerana ketika dalam kerajaan Pakatan Harapan, dakwanya parti itu gesa beliau keluarkan LTTE daripada senarai kumpulan pengganas sewaktu beliau bertugas Menteri Dalam Negeri.
  • DAP mengatakan anggota parti ditahan boleh dibebaskan kerana LTTE tidak lagi wujud setelah pemimpinnya dibunuh di Sri Lanka. 
  • Beliau bertegas tidak keluarkan LTTE daripada senarai kumpulan pengganas tambahan ia tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya.
  • Keputusan itu menyebabkan DAP tidak berpuas hati dengan ketegasannya. 
  • “Saya tidak tunduk kepada desakan mereka. Tetapi akhirnya saya terkejut apabila Peguam Negara Tommy Thomas menggugurkan pendakwaan ke atas mereka yang  didakwa terlibat dalam kegiatan LTTE, termasuk beberapa anggota DAP.”

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan DAP tiada kredibiliti untuk bercakap mengenai anti-keganasan atau keamanan kerana mendakwa parti itu pernah menggesa Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) dikeluarkan daripada senarai kumpulan pengganas.

Ini susulan, kenyataan Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang memberi amaran kononnya pentadbiran Malaysia akan menjadi seperti ‘Taliban’ sekiranya PN menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mendedahkan pengalaman beliau semasa bersama DAP ketika dalam kerajaan Pakatan Harapan, dakwanya parti itu pernah menggesa beliau untuk mengeluarkan LTTE daripada senarai kumpulan pengganas sewaktu beliau bertugas sebagai Menteri Dalam Negeri.

Katanya, parti tersebut mengatakan bahawa anggota parti itu yang ditahan boleh dibebaskan kerana LTTE tidak lagi wujud setelah pemimpinnya dibunuh di Sri Lanka. 

Ini berikutan, terdapat beberapa orang anggota DAP termasuk wakil rakyatnya yang ditahan kerana didakwa terlibat dalam kegiatan LTTE yang juga merupakan kumpulan pengganas di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

“Saya bersimpati dengan nasib mana-mana kumpulan minoriti yang ditindas termasuk etnik Tamil di Sri Lanka. Sama jugalah saya bersimpati dengan kumpulan minoriti Islam yang ditindas di Timur Tengah, Eropah dan negara-negara lain,” katanya pada Isnin.

Bagaimanapun, jelasnya sebagai Menteri Dalam Negeri, tanggungjawab utamanya adalah memelihara keselamatan negara dan tidak boleh membiarkan sentimen peribadinya mengatasi tanggungjawab kepada negara.

Menurutnya, beliau telah diberikan taklimat oleh pihak polis pada ketika itu bahawa terdapat bekas anggota LTTE yang melarikan diri ke Malaysia sekaligus menunjukkan golongan tersebut kekal menjadi ancaman kepada keselamatan negara. 

Tambahnya, Malaysia juga sering dijadikan negara transit oleh kumpulan-kumpulan pengganas yang berpangkalan di luar negara untuk merancang serangan ke atas negara-negara lain, termasuklah kumpulan pengganas dari Timur Tengah dan Asia Tenggara.

Situasi itu juga menyebabkan undang-undang anti-keganasan dan penguatkuasaannya di Malaysia amat ketat untuk mengelakkan negara ini dijadikan pusat keganasan global.

Justeru katanya, beliau bertegas untuk tidak mengeluarkan LTTE daripada senarai kumpulan pengganas tambahan ia tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya.

“Ia perlu diserahkan kepada sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. 

“Jawatankuasa ini dianggotai oleh pakar-pakar dari Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia, Kementerian Dalam Negeri dan agensi-agensi lain yang berkaitan.

Jawatankuasa inilah yang boleh memberi perakuan kepada saya selaku Menteri Dalam Negeri samada sesebuah organisasi itu boleh dikeluarkan daripada senarai kumpulan pengganas atau tidak,” kata beliau yang juga merupakan mantan perdana menteri Malaysia.

Jelasnya, apabila jawatankuasa itu membuat perakuan setelah meneliti pelbagai aspek keselamatan negara secara terperinci, maka bolehlah keputusan dibuat oleh beliau kerana tanpanya, beliau tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya.

Malangnya, beliau mendakwa keputusan itu menyebabkan DAP tidak berpuas hati dengan ketegasannya. 

“Mereka mahu campur tangan dalam urusan keselamatan negara tanpa mengira implikasinya terhadap rakyat dan negara. Mereka tidak peduli semua itu asalkan kepentingan politik sempit mereka tercapai.

“Saya tidak tunduk kepada desakan mereka. Tetapi akhirnya saya terkejut apabila Peguam Negara Tommy Thomas yang menggugurkan pendakwaan ke atas mereka yang  didakwa terlibat dalam kegiatan LTTE, termasuk beberapa anggota DAP,” kata beliau.

Pada masa sama, beliau turut menambah bahawa dalam tempoh 22 bulan pemerintahan PH, Malaysia berada dalam keadaan paling tidak aman terkait isu perkauman dan agama kerana DAP tidak sensitif kepada perasaan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.

Sebaliknya, kata beliau semasa PN memerintah semasa 17 bulan, Malaysia berada dalam keadaan anam selain tiada isu perkauman atau agama yang timbul.

“Jadi, jangan tanya saya lagi kenapa saya dan rakan-rakan yang lain dalam BERSATU keluar PH.

Bagi saya, DAP atau PH tidak ada kredibiliti untuk bercakap mengenai keamanan dan anti-keganasan,” tegas beliau menerusi hantaran di Facebook.

Sumber : Facebook Muhyiddin Yassin                                                                                                                                                                                                                                                                         

 

Author

Terkini

Kandungan provokatif di media sosial meningkat ketara – MCMC

Sebanyak 35,490 kandungan provokatif telah diturunkan pada 2023, manakala 27,115 kandungan diturunkan bagi dua bulan pertama tahun ini, demikian menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • 35,490 kandungan provokatif diturunkan pada 2023, manakala 27,115 kandungan diturunkan bagi dua bulan pertama tahun ini, demikian menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
  • “Sejumlah 2,004 kandungan melibatkan ucapan berbaur kebencian dan menyentuh aspek 3R (raja, agama dan kaum) yang berpotensi mencetuskan keganasan dan diskriminasi telah diturunkan sejak Januari 2023 hingga kini. Sementara, sejumlah 479 kandungan provokasi dan 3R telah diturunkan sejak 13 Mac hingga kini,” menurut kenyataan MCMC hari ini.
  • MCMC memaklumkan kandungan memudaratkan termasuklah ucapan berbaur kebencian, scam, penjualan haram, perjudian dan berita palsu dan ia mengundang ancaman signifikan kepada fabrik sosial dan institusi di Malaysia.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 35,490 kandungan provokatif telah diturunkan pada 2023, manakala 27,115 kandungan diturunkan bagi dua bulan pertama tahun ini, demikian menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan terdapat peningkatan ketara kandungan memudaratkan di media sosial dan platform Over The Top (OTT).

“Sejumlah 2,004 kandungan melibatkan ucapan berbaur kebencian dan menyentuh aspek 3R (raja, agama dan kaum) yang berpotensi mencetuskan keganasan dan diskriminasi telah diturunkan sejak Januari 2023 hingga kini. Sementara, sejumlah 479 kandungan provokasi dan 3R telah diturunkan sejak 13 Mac hingga kini,” menurut kenyataan itu.

MCMC memaklumkan kandungan memudaratkan termasuklah ucapan berbaur kebencian, scam, penjualan haram, perjudian dan berita palsu dan ia mengundang ancaman signifikan kepada fabrik sosial dan institusi di Malaysia.

“Sebarang perkongsian kandungan bersifat jelik dan mengancam merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali, menurut MCMC.

Menurut MCMC, pihaknya tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan sebarang penyebaran kandungan provokatif yang melampau di media sosial.

MCMC mengingatkan semua pihak supaya menghentikan hantaran provokasi dan elak daripada menulis komen-komen yang bersifat provokatif dan 3R di media sosial. — BERNAMA

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending