Connect with us

Terkini

Menjunjung Islam dan melindungi hak semua kaum antara fokus manifesto ‘PN BEST’

Perikatan Nasional (PN) menawarkan 12 tunjang utama, 30 pendekatan dan 234 tawaran menerusi manifestonya sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

  • PN tawarkan 12 tunjang utama, 30 pendekatan dan 234 tawaran menerusi manifesto PRU15.
  • Antara tawaran PN; menggubal akta atau peraturan pendanaan politik, khususnya bagi menghalang penerimaan sumbangan dana politik daripada luar negara.
  • Sediakan peruntukan RM1 bilion dana Fund for Food dengan kadar faedah rendah.
  • Insentif khas bernilai RM1,000 kepada pekerja sektor ekonomi gig. 
  • Naikkan elaun guru KAFA sebanyak 50 peratus ke RM1,500 sebulan dan memperkenalkan skim khas penyerapan ke jawatan tetap secara berperingkat.
  • Menyediakan dana khas bagi sekolah tahfiz dan agama rakyat untuk menyertai sistem kemahiran TVET serta memperkasa Akta Dewan Bahasa dan Pustaka bagi memartabatkan bahasa Melayu.
  • Semua inisiatif Bajet 2023, termasuk bantuan kewangan rakyat dan penjawat aman akan dikekalkan dan ditambah baik untuk semua lapisan masyarakat.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menawarkan 12 tunjang utama, 30 pendekatan dan 234 tawaran menerusi manifestonya sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Mesej teras 234 tawaran PN di bawah 12 tunjang dan 30 pendekatan manifesto kita ini adalah jelas iaitu untuk mempertahankan keluhuran Perlembagaan, menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan dan melindungi hak semua kaum, demi manfaat rakyat dan negara keseluruhannya,” kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Tambahnya, antara tawaran utama PN adalah menyediakan Tabung Khas Galakan Pelaburan RM5 bilion ke arah menjadikan Malaysia paksi industri di Asia Tenggara, Dana Khas Pelancongan RM1 bilion dan sejuta pekerjaan berpendapatan tinggi untuk merancakkan ekonomi.

Turut ditawarkan adalah menggubal akta atau peraturan pendanaan politik, khususnya bagi menghalang penerimaan sumbangan dana politik daripada luar negara bagi menjaga kedaulatan negara.

PN juga menawarkan untuk mempertahankan prinsip dan amalan pemisahan kuasa yang jelas bagi tiga cabang kuasa negara iaitu perundangan, kehakiman dan eksekutif selain memperkasa sistem perundangan Islam serta kehakiman syariah.

Sementara dalam usaha, memantapkan sistem pendidikan yang inklusif dan berdaya saing, parti gabungan itu turut akan menaikkan elaun guru KAFA sebanyak 50 peratus ke RM1,500 sebulan dan memperkenalkan skim khas penyerapan ke jawatan tetap secara berperingkat.

Tawaran lain adalah, menyediakan dana khas bagi sekolah tahfiz dan agama rakyat untuk menyertai sistem kemahiran TVET serta memperkasa Akta Dewan Bahasa dan Pustaka bagi memartabatkan bahasa Melayu.

Manifesto yang dilancarkan pada Ahad itu, juga mengatakan bahawa kerajaan PN akan memperkasa belia dan mensejahterakan keluarga muda dengan memberi insentif khas bernilai RM1,000 kepada pekerja sektor ekonomi gig yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi yang diiktiraf dan mengurangkan bayaran balik pinjaman PTPTN sebanyak 25 peratus kepada graduan dengan keputusan kelas kedua atas.

Parti gabungan itu juga bakal menyediakan sistem sokongan bagi wanita bekerja dan kembali bekerja, termasuk peruntukan khas penjagaan ibu bapa, dan kemudahan taska di tempat kerja dalam usaha memartabatkan wanita sebagai pemangkin kemajuan negara.

Seiring itu, kadar pelepasan cukai tambahan juga dipertingkatkan sebanyak RM1,000 bagi semua wanita bekerja.

Malah, dalam manifesto PN yang mengandungi lebih kurang 99 muka surat itu turut menyatakan bahawa semua inisiatif Bajet 2023, termasuk bantuan kewangan rakyat dan penjawat aman akan dikekalkan dan ditambah baik untuk semua lapisan masyarakat.

Dalam pada itu, PN juga akan menyediakan peruntukan RM1 bilion dana Fund for Food dengan kadar faedah yang rendah bagi meningkatkan pengeluaran bekalan makanan dalam negara dan menstabilkan harga makanan.

Pada masa sama, sebagai bukti komitmen PN terhadap pelaksanaan segala tawaran yang dikemukakan sebuah Jawatankuasa Khas dianggotai ahli pakar akan dibentuk bagi memantau segala pelaksanaan inisiatif dan program yang terkandung dalam Tawaran PN BEST yang bertemakan ‘Prihatin, Bersih dan Stabil’.

Sumber : Facebook Muhyiddin Yassin

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *