Antarabangsa
Wartawan foto dipecat New York Times akibat menentang pendudukan haram Israel di Palestin
Wartawan foto Palestin, Hosam Salem telah dipecat oleh New York Times ekoran menyatakan sokongan terhadap penentangan pendudukan Israel bahkan dituduh anti-semitisme.

- Wartawan foto Palestin, Hosam Salem dipecat ekoran sokong penentangan pendudukan Israel bahkan dituduh anti-semitisme.
- Pemecatan dibuat berdasarkan laporan editor Belanda – yang memperoleh kewarganegaraan Israel dua tahun lalu – untuk sebuah laman web bernama Honest Reporting.
- “Apa berlaku adalah usaha sistematik memesongkan imej wartawan Palestin sebagai tidak mampu pegang amanah dan berintegriti, semata-mata kerana kami mendedahkan pencabulan hak asasi manusia yang rakyat Palestin alami setiap hari di tangan tentera Israel.” – Hosam Salem.
Wartawan foto Palestin, Hosam Salem telah dipecat oleh New York Times ekoran menyatakan sokongan terhadap penentangan pendudukan Israel bahkan dituduh anti-semitisme.
Salem yang ditempatkan di Gaza sebagai wartawan freelancer atau pekerja bebas untuk cawangan di Amerika Syarikat sejak 2018, mendedahkan pemecatannya di Twitter.
Katanya, keputusan pemecatan dibuat berdasarkan laporan disediakan oleh seorang editor Belanda – yang memperoleh kewarganegaraan Israel dua tahun lalu – untuk sebuah laman web bernama Honest Reporting. Kumpulan anti-Palestin itu adalah penyokong tegar Israel dan sering dituduh menjaja naratif palsu di media barat mengenai pencabulan hak asasi manusia Israel.
Tambahnya, Times menggunakan hantaran media sosial di mana dia menyatakan sokongan penentangan Palestin terhadap pendudukan Israel sebagai sebab kepada pemecatannya.
“Hantaran saya yang disebutkan di atas juga bercakap tentang kekuatan rakyat saya dan mereka yang dibunuh oleh tentera Israel – termasuk sepupu saya – yang Honest Reporting gambarkan sebagai ‘pengganas Palestin,” kata Salem di Twitter.
Salem turut mendakwa editor tersebut kemudiannya menulis artikel yang menyatakan bahawa dia telah berjaya memecat tiga wartawan Palestin yang bekerja untuk Times di Semenanjung Gaza, kerana disifatkan anti-semitisme.
“Bukan sahaja Honest Reporting berjaya menamatkan kontrak saya dengan The New York Times, ia juga secara aktif tidak menggalakkan agensi berita antarabangsa lain daripada bekerjasama dengan saya dan dua rakan sekerja saya,” sambung Salem, sambil memberi amaran mengenai pembungkaman suara Palestin.
“Apa yang berlaku adalah usaha sistematik untuk memesongkan imej wartawan Palestin sebagai tidak mampu memegang amanah dan berintegriti, semata-mata kerana kami mendedahkan pencabulan hak asasi manusia yang rakyat Palestin alami setiap hari di tangan tentera Israel.”
Sejak menyertai Times, Salem telah membuat liputan mengenai peristiwa kritikal di Gaza, seperti protes mingguan di pagar sempadan dengan Israel. Dia menjalankan siasatan ke atas pembunuhan jururawat lapangan Razan Al-Najjar oleh Israel dan, baru-baru ini, serangan Israel Mei 2021 di Semenanjung Gaza, yang membunuh sekurang-kurangnya 254 rakyat Palestin, termasuk 66 kanak-kanak, 39 wanita dan 17 warga emas.
Sumber: Middle East Monitor
