Terkini
Tidak kisah bertanding di mana, yang penting menangkan PH – Nik Omar
Anak kepada bekas Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat, berhasrat meneruskan legasi ayahnya dalam gelanggang politik pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

- Anak kepada bekas Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat, berhasrat meneruskan legasi ayahnya dalam gelanggang politik pada PRU15.
- Calon PH berkenaan bakal bertanding di kerusi Parlimen di Perak menyifatkan pemilihannya membuktikan komitmen tinggi gabungan politik itu untuk memperjuangkan keadilan bagi rakyat Malaysia.
- “Ini urusan negara, untuk kebaikan semua, bukan untuk keluarga saya sahaja. Saya akan membawa semangat legasi Tok Guru (Nik Abdul Aziz),” katanya.
- “(Bertanding) di Perak atau Kelantan, masih dalam Malaysia walaupun (saya) dihantar ke Sabah sekali pun, yang penting untuk memenangkan PH.
PETALING JAYA: Anak kepada bekas Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat, berhasrat meneruskan legasi ayahnya dalam gelanggang politik pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Nik Omar Nik Aziz, akan bertanding di kerusi Parlimen di Perak, menyifatkan pemilihannya mewakili parti Pakatan Harapan (PH) membuktikan komitmen tinggi gabungan politik itu untuk memperjuangkan keadilan bagi rakyat Malaysia.
“Pengumuman tadi merupakan ‘wasilah’ bagi menonjolkan kepada rakyat Malaysia bahawa PH memiliki komitmen tinggi memperjuangkan keadilan kepada semua rakyat.
“Ini urusan negara, untuk kebaikan semua, bukan untuk keluarga saya sahaja. Saya akan membawa semangat legasi Tok Guru (Nik Abdul Aziz),” katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman calon berprofil tinggi mewakili PH pada PRU15 oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
Ditanya, kenapa beliau memilih bertanding di bawah kuota PKR sedangkan masih menganggotai Parti Amanah Negara (AMANAH), Nik Omar berkata, isu terbabit tidak timbul.
Ujarya, apa yang penting adalah untuk memenangkan PH pada PRU15.
“(Bertanding) di Perak atau Kelantan, masih dalam Malaysia walaupun (saya) dihantar ke Sabah sekali pun, yang penting untuk memenangkan PH.
“Soal parti (mana saya wakili) itu perkara kedua sebab kita dalam satu payung, dalam satu PH,” katanya.
Bagi mantan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha, isu keadilan untuk belia akan terus menjadi kempennya pada PRU15.
Katanya, kesediaan PH mempamerkan muka baharu mewakili gabungan itu disifatkan sebagai penghargaan kepada belia.
“Sudah tentu, apa yang saya perjuangkan dahulu mengenai belia dan rakyat, akan diteruskan. Cuma kali ini menggunakan platform lain.
“Isunya tetap sama cuma ini pentas berbeza. Kalau dahulu ketika pimpin MBM pun di bawah logo NGO (pertubuhan bukan kerajaan), kini di pentas politik,” ujarnya.
Sementara itu, calon muda berusia 28 tahun, Fathin Amelia Fazlie, mahu memberi tumpuan dalam isu Undi18 untuk memastikan golongan terbabit keluar mengundi pada PRU15.
Selain tiga tokoh itu, Anwar turut mengumumkan empat calon berprofil tinggi, yang akan mewakili PH pada PRU15.
Mereka merupakan bekas Setiausaha Kerajaan Perak, Datuk Zainal Azman Abu Seman; bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan; Pensyarah Kanan Jabatan Parasitologi Universiti Malaya (UM), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan Yusop.
Sumber: Berita Harian
