Connect with us

Terkini

PH hanya berpura-pura pertahan kebebasan kehakiman – Zaid Ibrahim

Zaid Ibrahim mempertikai komitmen Anwar Ibrahim terhadap kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman, setelah pengerusi PH itu gagal menyatakan pendiriannya berhubung hasil dapatan pasukan petugas khas yang menyiasat buku kontroversial bekas peguam negara Tommy Thomas.

Wartawan TMT

Published

on

PH hanya berpura-pura pertahan kebebasan kehakiman - Zaid Ibrahim
Foto: Zaid Ibrahim.
  • Zaid Ibrahim mempertikai komitmen Anwar Ibrahim terhadap kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman.
  • Ia berikutan pengerusi PH itu gagal menyatakan pendiriannya berhubung dapatan pasukan petugas khas menyiasat buku kontroversial Tommy Thomas.
  • “Sikap diam diri Anwar Ibrahim susulan hasil dapatan itu menunjukkan PH hanya berpura-pura mempertahankan kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman,
  • Tindakan itu menunjukkan kecenderungan PH “memanipulasi sistem keadilan untuk meraih keuntungan”.

PETALING JAYA – Zaid Ibrahim mempertikai komitmen Anwar Ibrahim terhadap kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman, setelah pengerusi PH itu gagal menyatakan pendiriannya berhubung hasil dapatan pasukan petugas khas yang menyiasat buku kontroversial bekas peguam negara Tommy Thomas.

Kenyataannya susulan pasukan itu mengenal pasti pelbagai pelanggaran undang-undang melibatkan Thomas dan bekas perdana menteri Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad ketika 22 bulan gabungan itu mentadbir antara 2018 hingga 2020.

“Sikap diam diri Anwar Ibrahim susulan hasil dapatan itu menunjukkan PH hanya berpura-pura mempertahankan kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman,” kata bekas menteri undang-undang dalam wawancara bersama FMT.

Zaid berkata, pendedahan mengejutkan dalam memoir Thomas menunjukkan kecenderungan PH “memanipulasi sistem keadilan untuk meraih keuntungan”.

Beliau merujuk kepada dapatan dalam laporan berkenaan yang menyimpulkan bahawa Mahathir dan Thomas melanggar Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 apabila memutuskan siapa yang akan memegang empat jawatan tertinggi dalam kehakiman.

“Mengikut undang-undang, tugas pemilihan itu terletak pada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, bukannya perdana menteri apatah lagi peguam negara,” kata Zaid.

Laporan itu memetik kenyataan Thomas dalam buku berkenaan bahawa beliau dan Mahathir telah “bersetuju” pada Jun 2018 mengenai pelantikan Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara; Ahmad Maarop (Presiden Mahkamah Rayuan); Zaharah Ibrahim (Hakim Besar Malaya); dan Wong Dak Wah (Hakim Besar Sabah dan Sarawak).

Sebaliknya, suruhanjaya pelantikan mencalonkan hakim berlainan untuk tiga daripada empat jawatan berkenaan, iaitu Azahar Mohamed (Ketua Hakim Negara); Rohana Yusof (Presiden Mahkamah Rayuan); dan Abdul Rahman Sebli (Hakim Besar Sabah dan Sarawak).

“Mahathir dan Thomas melanggar undang-undang dengan tidak menghiraukan sama sekali calon yang disyorkan oleh JAC pada 2018,” kata Zaid.

Sehubungan itu, kata Zaid, seminggu selepas pelantikan hakim-hakim seperti dicadangkan Mahathir dan Thomas, hakim perbicaraan kes SRC Najib Razak ditukar kepada Nazlan Ghazali, yang tiada pengalaman mengendalikan kes jenayah.

“Tak mungkin itu satu kebetulan,” katanya sambil menambah, Mahathir dan Thomas melakukan perkara sama pada tahun berikutnya.

Katanya, pada 2019, suruhanjaya pelantikan mencadangkan pelantikan Ahmad Maarop (Ketua Hakim Negara); Wong (Presiden Mahkamah Rayuan); Tengku Maimun Tuan Mat (Hakim Besar Malaya); dan Abang Iskandar Abang Hashim (Hakim Besar Sabah dan Sarawak).

Sebaliknya Mahathir, yang bertindak atas nasihat Thomas, mencadangkan Tengku Maimun sebagai Ketua Hakim Negara; Rohana Yusuf (Presiden Mahkamah Rayuan); Abang Iskandar (Hakim Besar Malaya); dan Wong (Hakim Besar Sabah dan Sarawak).

Menurut Zaid, Tengku Maimun dicadangkan sebagai Ketua Hakim Negara sedangkan beliau baru dilantik ke Mahkamah Persekutuan pada November tahun sebelumnya, melangkau Ahmad Maarop dan Azhar, yang masing-masing dinaikkan pangkat pada 2011 dan 2014.

Zaid berkata, tidak masuk akal sekiranya PKR dan DAP tidak maklum mengenai “perkara pelik” yang berlaku ketika itu, seterusnya mempertikai sama ada PH akan terus “memanipulasi sistem perundangan dengan melantik hakim walaupun melanggar undang-undang”.

Zaid juga bertanya sama ada PH bersedia untuk memulakan reformasi sebenar dalam sistem kehakiman dengan:

  • mengasingkan pejabat peguam negara dan pendakwa raya;
  • menyusun semula komposisi suruhanjaya pelantikan supaya benar-benar bebas daripada pengaruh politik;
  • mengetatkan perundangan untuk memaksa perdana menteri hanya mengesyorkan kepada Yang di-Pertuan Agong pencalonan yang dibuat oleh suruhanjaya; dan
  • memastikan setiap orang yang dituduh mempunyai representasi undang-undang yang sewajarnya.

Bekas menteri undang-undang itu turut mengeluh keengganan Majlis Peguam turut serta dalam inkuiri pasukan petugas berkenaan walaupun diminta berbuat demikian.

“Pendirian Majlis Peguam dikesali, dan menjadi bukti lanjut bahawa ia terlibat dengan politik partisan,” kata Zaid.

“Apa yang Anwar cadang nak buat mengenai perkara itu?”

Buku Thomas, “My Story: Justice in the Wilderness” diterbitkan pada Januari tahun lalu sebagai memoir peribadi pengalamannya menjadi AG. Namun buku itu dikecam pelbagai pihak termasuk AG kini Idrus Harun, peguam, ahli politik malah orang ramai.

Pada 8 Oktober tahun lalu, jemaah menteri menubuhkan pasukan petugas khas itu untuk meneliti pendedahan dibuat Thomas dalam buku berkenaan. Jemaah menteri pada 22 Disember meluluskan terma rujukan pasukan petugas itu, meliputi antara lain, siasatan dakwaan berhubung badan kehakiman, pendedahan rahsia kerajaan dan salah guna kuasa.

Laporannya dibentangkan kepada jemaah menteri pada September. Susulan itu Pejabat Perdana Menteri mengumumkan Thomas akan disiasat termasuk untuk kesalahan hasutan sepertimana dicadangkan dalam laporan berkenaan.

Sumber: Free Malaysia Today

 

 

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending