Connect with us

Terkini

Pengampunan Diraja Anwar Ibrahim, tidak menepati perlembagaan? PM waktu itu ada jawapannya – Pakar Perlembagaan

“Wujud persoalan-persoalan yang belum terjawab berkaitan Lembaga Pengampunan sewaktu keputusan Pengampunan Diraja Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat. Mungkin PM pada waktu itu ada jawapannya.”

Hidayah Sani

Published

on

Pengampunan Diraja Anwar Ibrahim, tidak menepati perlembagaan? PM waktu itu ada jawapannya - Pakar Perlembagaan
  • Wujud persoalan-persoalan yang belum terjawab berkaitan Lembaga Pengampunan sewaktu keputusan Pengampunan Diraja Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat. Mungkin PM pada waktu itu ada jawapannya.”
  • Sekalipun keputusan pengampunan telah muktamad dan tidak boleh dipertikaikan kerana dilaksanakan berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan ia termasuk kuasa YDPA selaku ketua negara, namun beliau tidak dapat menafikan bahawa wujud persoalan adakah proses pengampunan itu benar-benar menepati kehendak perlembagaan atau tidak.
  • “Dalam Perkara 42 wujud satu persoalan jelas adakah ia benar-benar tepati perlembagaan kerana peruntukan menyebut Lembaga Pengampunan perlu dianggotai peguam negara dan juga menteri besar atau ketua menteri sekiranya diperingkat negeri manakala diperingkat wilayah perlu dianggotai Menteri Wilayah Persekutuan.
  • Mungkin keanggotaan menteri boleh dilihat atau diganti dengan perdana menteri tetapi keanggotan peguam negara itu sukar diganti kerana ia satu kedudukan khusus dilantik YDPA.
  • Ia tidak boleh diganti melainkan peguam negara serah atau turunkan kuasanya kepada individu lain. Apabila tiada peguam negara saat Lembaga Pengampunan bersidang maka ia timbulkan persoalan besar dari sudut  proses dilalui itu.
  • Walaupun kuasa Agong tidak boleh dipertikaikan tetapi situasi ini satu pengajaran kepada pemerintah khususnya badan eksekutif agar tidak lagi berulang kerana kuasa pengampunan satu kuasa penting dan sepatutnya hanya digunakan dalam situasi sangat terhad dan berdasarkan kepada asas yang kukuh.

KUALA LUMPUR – “Wujud persoalan-persoalan yang belum terjawab berkaitan Lembaga Pengampunan sewaktu keputusan Pengampunan Diraja Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat. Mungkin PM pada waktu itu ada jawapannya.”

Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata demikian ketika mengulas berkenaan dakwaan bahawa berlaku pelanggaran Perlembagaan Persekutuan dalam Pengampunan Diraja yang diberikan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Mei 2018.

Menurutnya, sekalipun pengampunan tersebut satu keputusan yang telah muktamad dan tidak boleh dipertikaikan kerananya dilaksanakan berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan ia termasuk kuasa Yang di-Pertuan Agong selaku ketua negara, namun beliau tidak dapat menafikan bahawa wujud persoalan adakah proses pengampunan itu benar-benar menepati kehendak perlembagaan atau tidak.

Katanya, adalah wajar untuk kita melihat sejauh mana pelaksanaan pengampunan tersebut dibuat mengikut lunas perlembagaan, ini berikutan kuasa perlembagaan telah menetapkan bahawa kaedah pengampunan perlu melalui Lembaga Pengampunan sama ada di peringkat negeri ataupun Wilayah Persekutuan sekalipun kuasa mengampun itu adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Jelas beliau, “Dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim Lembaga Pengampunan tersebut adalah diperingkat Wilayah Persekutuan bermakna dia termasuk dalam kuasa perdana menteri dan sebagaimana termaktub di dalam perlembagaan dalam Perkara 42(4) yang menetapkan bahawa Lembaga Pengampunan perlu dianggotai oleh peguam negara.

Persoalan yang timbul adalah dari sudut, kedudukan peguam negara pada saat pengampunan itu dilaksanakan. Kerana kita tahu tidak lama selepas Pilihan Raya Umum peguam negara yang sebelumnya iaitu Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah ditamatkan tugasnya dan pelantikan peguam negara baru dibuat agak lambat iaitu Tan Sri Tommy Thomas dilantik dalam beberapa tempoh selepas pengampunan itu diputuskan. 

Jadi disini berlaku satu persoalan yang besar adakah proses pengampunan itu benar-benar menepati kehendak perlembagaan atau tidak?”

Katanya, proses pengampunan tertakluk kepada kuasa Yang di-Pertuan Agong dibawah kuasa Perkara 42 dan ianya tidak boleh dipersoalkan di mahkamah bahkan terdapat seorang individu telah mengemukakan kes bagi mempersoalkan kesahihan proses pengampunan itu dan kes itu dibicarakan di beberapa peringkat mahkamah.

Bagaimanapun, kes tersebut telah ditolak berdasarkan faktor teknikal dan tidak pernah dibincangkan sama ada proses pengampunan itu benar-benar mengikut lunas perlembagaan atau tidak ekoran peguam tersebut telah diputuskan tidak mempunyai kelayakan untuk mempertikaikan kes ataupun pengampunan berkenaan.

“Tetapi jika dilihat dari sudut peruntukkan dalam Perkara 42 wujud satu persoalan yang jelas adakah ia benar-benar menepati perlembagaan kerana di dalam peruntukkan berkenaan menyebut bahawa lembaga pengampunan perlu dianggotai oleh peguam negara dan juga menteri besar atau ketua menteri sekiranya diperingkat negeri manakala diperingkat wilayah perlu dianggotai Menteri Wilayah Persekutuan. 

Mungkin keanggotaan menteri itu boleh dilihat atau diganti dengan perdana menteri sendiri tetapi keanggotan peguam negara itu sukar diganti oleh orang lain kerana ia satu kedudukan khusus, peguam negara adalah satu jawatan khusus yang dilantik oleh YDPA. 

Dan pada dasarnya ia tidak boleh diganti melainkan peguam negara itu sendiri yang menyerahkan atau menurunkan kuasanya kepada individu lain. 

Jadi apabila tidak ada peguam negara pada saat Lembaga Pengampunan itu bersidang  maka ia timbulkan persoalan besar dari sudut  proses dilalui itu,” katanya kepada The Merdeka Times, pada Khamis.

Tambahnya, walaupun kuasa Agong tidak boleh dipertikaikan tetapi situasi ini merupakan satu pengajaran kepada pemerintah khususnya badan eksekutif agar ia tidak lagi berulang kerana kuasa pengampunan adalah satu kuasa yang penting dan sepatutnya hanya digunakan dalam situasi sangat terhad dan berdasarkan kepada asas yang kukuh.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa kuasa pengampunan ini diperkenalkan oleh British dan berasal daripada konsep ‘Royal Prerogative of Mercy’ yang wujud dalam sistem perundangan Inggeris sejak tahun 1617.

Sementara,  dalam sistem perundangan Islam pemerintah pada dasarnya tidak mempunyai kuasa untuk memberikan kuasa pengampunan kerana ia adalah kuasa Allah SWT dan tidak ada sesiapa layak mengampun dosa sesiapa.

Bagaimanapun, berikutan dalam tempoh penguasaan British dalam sistem keadilan negara maka konsep ini diperkenalkan dan diberi kepada Raja-Raja Melayu. 

Beliau berkata, “Dalam hal ini walaupun kuasa tersebut tidak boleh dipersoalkan tetapi sepatutnya ia dilaksanakan dengan begitu teliti, adil dan tidak berpihak.

“Ia juga tidak boleh dilaksanakan secara gopoh dan perlu melalui proses ditentukan undang-undang dan perlembagaan kerana dikhuatiri boleh menimbulkan persoalan seperti kes pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim .”

Justeru beliau mengingatkan agar kes sebegini tidak lagi berlaku pada masa akan datang dan sepatutnya kuasa pengampunan dilaksanakan secara tulus dan kerajaan yang mentadbir bertanggungjawab menjalankan peranannya bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong menjalankan kuasanya sesuai seperti diperuntukkan perlembagaan. – The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending