Connect with us

Terkini

Kempen ‘poster boy’ tidak lagi relevan

Kesemua parti politik sedang rancak mengatur strategi untuk menempuh tarikh keramat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) termasuk mengetengahkan ‘poster boy’ masing-masing bagi membolehkan mereka mendominasi majoriti kerusi untuk membentuk kerajaan, bagaimanapun sejauh manakah impak ‘poster boy’ ini menjelang PRU-15?

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Puti Iylia Maisarah

Published

on

Kempen ‘poster boy’ tidak lagi relevan
  • Susulan penetapan tarikh PRU-15, setiap parti politik sedang mengatur strategi mengetengahkan ‘poster boy’ masing-masing.
  • Ciri ‘Poster boy’ mampu menjadi tarikan pengundi menjelang PRU, tetapi bukanlah 100 peratus faktor penentu dalam menentukan undi pemilih.
  • ‘Poster boy’ perlu tampil dengan prestasi seorang pemimpin yang  mempunyai rekod kecemerlangan daripada segi kepimpinan,” – Penganalisis Pilihan Raya.

KUALA LUMPUR – Kesemua parti politik sedang rancak mengatur strategi untuk menempuh tarikh keramat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) termasuk mengetengahkan ‘poster boy’ masing-masing bagi membolehkan mereka mendominasi majoriti kerusi untuk membentuk kerajaan, bagaimanapun sejauh manakah impak ‘poster boy’ ini menjelang PRU-15?

Sebaik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November 2022 sebagai hari pengundian PRU-15, selain sesi rapat umum, ceramah dan manifesto yang dijanjikan, antara pendekatan yang lazim dilakukan parti politik menjelang PRU adalah pemilihan ‘poster boy’, yang berperanan sebagai daya tarikan sesebuah parti yang diwakili.

‘Poster Boy’ adalah individu yang dipilih setiap parti politik termasuk parti komponen yang diputuskan sebulat suara dalam menamakan calon Perdana Menteri dengan membawa perjuangan dan matlamat parti bagi menerajui tampuk kepimpinan negara.

Penganalisis Pilihanraya, Dr G Manimaran memaklumkan ciri ‘poster boy’ mampu menjadi tarikan pengundi menjelang PRU, tetapi bukanlah 100 peratus faktor penentu dalam menentukan undi pemilih.

“Ciri ‘poster boy’ hanya faktor utama jika seseorang itu (pemimpin terbabit) pertama kali diletakkan sebagai calon PM atau Ketua Menteri. Ini terbukti dalam PRU-PRU sebelum ini. Misalnya ketika PRU 1982 apabila Tun Dr Mahathir menjadi PM, dan pada 2004 menyaksikan Abdullah Ahmad Badawi menerajui PRU  pada tahun 2004.

“Bagaimanapun pengaruh mereka merosot selepas PRU itu atau tidak menjadi faktor penentu. Poster boy ada sedikit kelebihan ketika PRU 2013. Begitu juga dalam PRU peringkat negeri,” katanya kepada The Merdeka Times.

Beliau berkata terdapat banyak faktor yang menjadi penentu kejayaan sesebuah parti atau pakatan dalam pilihan raya dalam menarik sokongan pengundi namun sekiranya terdapat banyak isu semasa yang besar, ciri ‘poster boy’ tidak akan membawa pengaruh atau keputusan luar biasa kepada sesebuah parti.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas berkenaan sejauh manakah impak besar ‘poster boy’ terhadap sesebuah parti politik.

“Mengambil kira keputusan pilihan raya sebelum ini, kedua-dua peringkat pusat dan negeri, taktik ‘poster boy’ tidak akan membawa impak yang luar biasa atau besar kepada  parti politik. Jika ada isu-isu besar, seperti 1MDB pada PRU14, ia boleh menyebabkan impak negatif  iaitu tidak akan membawa kejayaan besar yang disasarkan.

“Pendek kata, ciri ‘poster boy’ perlu datang dengan prestasi seorang pemimpin parti dan parti ataupun individu terbabit perlu mempunyai rekod kecemerlangan daripada segi kepimpinan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata ‘poster boy’ perlu memperlihatkan kekuatan diri seorang pemimpin dalam menerajui parti dan kerajaan. Sekiranya perkara itu berlaku ia boleh membawa kelebihan sebagai ‘peneraju’ dalam pilihan raya. Jika tidak ia akan membawa kepada liabiliti.

Bagaimanapun, menurutnya, menjelang PRU-15, ‘poster boy’ dianggap tidak relevan dengan perubahan senario politik yang dibawa masa kini.

“Pada pandangan saya, memandangkan tiga kali kerajaan di peringkat pusat telah berubah sejak PRU 2018, ‘poster boy’ dilihat sebagai sesuatu yang tidak relevan.

“Perkembangan yang dialami dua tahun lalu ekoran Langkah Sheraton, kewujudan ‘poster boy’ sudah dianggap tidak relevan. Malah ia sudah terbukti ketika PRN Johor, lain dinamakan, lain dilantik. Pengundi beranggapan bahawa mandat mereka tidak dinilai atau dihargai, oleh itu ‘poster boy’ bukan faktor utama atau penentu.

“Pengundi ingin melihat tawaran yang boleh dikemukakan oleh setiap parti politik, bukan sangat ‘poster boy’. Apakah tawaran dan janji manifesto yang boleh membawa impak ke atas kualiti hidup,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini pengundi semakin bijak dan semakin tinggi kesedaran. Perkembangan sejak pasca-PRU 2018 telah membawa satu bentuk kesedaran dalam diri pengundi bahawa ‘poster boy’ bukan harapan pengundi, tetapi apa yang boleh dilakukan oleh parti politik.

Tambahnya, ‘poster boy’ bukan formula kemenangan semata-mata. Malah rekod pemerintahan dikatakan mampu menjadi penentu kejayaan.

Dalam pada itu, menurut statistik yang dikeluarkan SPR, 1,393,549 juta pengundi berusia antara 18-20 tahun manakala 4,614,429 pengundi berusia antara 21-29 tahun dan jumlah umur pengundi tertinggi antara 30-39 tahun melibatkan seramai 4,681,348 orang.

Hal ini menunjukkan bahawa pengundi muda antara pencetus yang berperanan besar dalam membawa perubahan terhadap lanskap politik negara.

Muhammad Shahrul Nizam Saidon, 32, berkata ‘poster boy’ diketengahkan parti-parti politik yang bertanding mampu menarik minat anak muda untuk mengundi.

“Ia susulan pasca pandemik Covid-19, menyaksikan semula pemulihan ekonomi serta kebolehan undi 18 itu sendiri, bagi saya dengan adanya ‘poster boy’ ini golongan anak muda ada panduan serta ‘reference’ untuk membuat pilihan bagi menerajui negara ini,” katanya kepada The Merdeka Times.

Ketika ditanya berkenaan kriteria dan ciri-ciri ‘poster boy’ yang diinginkan anak muda menjelang PRU-15, Shahrul berkata terdapat beberapa aspek penting bagi menilai calon-calon itu.

“Bagi saya apa yang anak muda ingin lihat adalah pemimpin itu mestilah bersih serta bebas dari segala bentuk rasuah serta kes mahkamah. Kedua adalah pemimpin yang mampu membaik pulih ekonomi negara dalam  fasa peralihan Covid-19 serta mewujudkan banyak lagi peluang pekerjaan khusus untuk anak-anak muda.

“Seterusnya adalah ‘poster boy’ yang mesra rakyat atau menjaga kepentingan rakyat dalam segala aspek sebagai contoh kebajikan semasa bencana alam, serta pengurusan kebajikan pendidikan negara dan kami, anak muda inginkan calon ‘poster boy’ itu tegas  dan berpendirian tetap dengan setiap keputusan yang dilakukan dengan kata lain tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana pihak,” katanya.

Beliau yang juga tenaga pengajar muda di sebuah universiti tempatan memaklumkan, ‘poster boy’ sangat penting dan dianggap relevan buat anak muda kini untuk dijadikan panduan dalam memilih calon yang terbaik. 

“Ya, masih relevan untuk masa kini sekiranya tidak ada ‘poster boy’ seperti ini, anak-anak muda sekarang ibarat tiada rujukan untuk mereka mengundi, meskipun sekarang ini media sosial di hujung jari tetapi kita masih tidak dapat memastikan kesahihan sesuatu fakta itu. 

“Sejauh mana impak ‘poster boy’ ini untuk anak muda bergantung pada strategi parti-parti yang bertanding itu sendiri, bagi memastikan keberkesanannya, maklumat parti harus disampaikan secara jelas kepada anak-anak muda kerana undi 18 dibenarkan dan sesiapa calon yang boleh mendekati anak muda dengan sistem yang jelas baru kami nampak keberkesanannya. 

“Bagi saya ‘poster boy’ itu perlu tampilkan kriteria yang mampu memberi keyakinan kepada anak muda untuk memilih parti tersebut,” katanya. 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *