Terkini
[VIDEO] ‘Jangan pilih calon perjuangkan maksiat, pendukung LGBT’ – Mufti Pulau Pinang
Mufti Pulau Pinang, Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor mengingatkan para pengundi jangan memilih calon pemimpin yang memperjuangkan maksiat seperti pendukung lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

- Islam tidak larang umatnya calonkan orang bukan Islam sebagai pemimpin sekiranya calon tersebut tidak memusuhi agama dan umat Islam atau diyakini akan beri khidmat baik kepada negara dan rakyat.
- Pengundi sewajarnya pilih pemimpin yang cakna akan kepentingan masyarakat dan prihatin kepada kesusahan mereka tanpa mengira latar belakang etnik dan agama.
- Gabungan ataupun adunan pemimpin muda dan senior perlu dilakukan serentak berikutan masyarakat sangat memerlukan sumbangan kedua-dua pemimpin tersebut.
KUALA LUMPUR – Mufti Pulau Pinang, Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor mengingatkan para pengundi jangan memilih calon pemimpin yang memperjuangkan maksiat seperti pendukung lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Bagaimanapun katanya, Islam tidak melarang umatnya mencalonkan orang bukan Islam sebagai pemimpin sekiranya calon tersebut tidak memusuhi agama dan umat Islam atau diyakini akan memberi khidmat yang baik kepada negara dan rakyat.
Jelasnya, pengundi sewajarnya memilih pemimpin yang cakna akan kepentingan masyarakat dan prihatin kepada kesusahan mereka tanpa mengira latar belakang etnik dan agama.
Pada masa sama, beliau turut menasihatkan pengundi agar tidak memilih calon ataupun individu yang diketahui sebagai pengkhianat kepada negara, agama dan rakyat serta tidak memilih semula mereka yang terbukti tamak untuk mendapatkan kekayaan bagi diri sendiri, keluarga dan kroni sehingga mengabaikan nasib rakyat.
“Pilihlah calon yang amanah, punyai integriti, tidak rakus kepada harta benda dan tidak mengambil kesempatan ke atas jawatan dan kedudukannya untuk menimbun kekayaan,” katanya kepada The Merdeka Times pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa gabungan ataupun adunan pemimpin muda dan senior perlu dilakukan serentak berikutan masyarakat sangat memerlukan sumbangan kedua-dua pemimpin tersebut.
“Golongan senior mempunyai pengalaman yang luas, kematangan fikiran, kebijaksanaan, ketenangan dalam menghadapi cabaran dan kekusutan, berpandangan jauh di samping mendapat penghormatan masyarakat.
Sementara golongan muda pula ada keistimewaan juga yang mesti diakui dan dimanfaatkan untuk kebaikan dan kemajuan negara.
Antara lain, golongan muda memiliki semangat juang yang kental, ambisi tinggi, kekuatan tekad dan azam. Mereka juga mempunyai kekuatan tenaga fizikal dan sentiasa bersedia berbakti serta berkorban demi negara dan bangsa dengan menjulang tinggi prinsip yang diyakini.”
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan bagaimanakah Islam mengangkat pemimpin muda tanpa meminggirkan pemimpin senior menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
