Antarabangsa
Dalit peluk Islam atau Kristian tidak layak nikmati faedah disediakan kerajaan
Kerajaan India sedang bersiap sedia untuk menubuhkan panel bagi mengkaji keadaan Dalit yang memeluk Islam atau Kristian.

- Dalit atau kasta terendah di India yang beragama Hindu, Sikh dan Buddha layak menikmati kuota institusi pendidikan, institusi kerajaan dan institusi perundangan yang dikhaskan untuk kasta itu.
- Namun Dalit yang memeluk Islam dan Kristian tidak layak menuntut faedah terbabit.
- Banyak petisyen yang belum selesai di Mahkamah Agung tentang perkara ini.
- Cadangan penubuhan panel pengkaji sedang dibincangkan di peringkat kabinet yang akan mengkaji status sosial, ekonomi dan pendidikan Dalit yang memeluk Islam dan Kristian.
Kerajaan India sedang bersiap sedia untuk menubuhkan panel bagi mengkaji keadaan Dalit yang memeluk Islam atau Kristian.
Langkah ini dibuat ketika puluhan petisyen yang belum selesai di Mahkamah Agung mengenai mengapa kuota institusi pendidikan, institusi kerajaan dan institusi perundangan yang dikhaskan untuk kasta itu dinafikan kepada Dalit yang memeluk Kristian atau Islam.
Laporan media yang memetik sumber berkata, cadangan penubuhan panel seumpama itu sedang dibincangkan di peringkat kabinet dan keputusan akan dibuat tidak lama lagi.
Panel dicadangkan mungkin mempunyai tiga atau empat ahli dengan pengerusinya berpangkat menteri kabinet.
Muslim Mirror melaporkan panel kebangsaan itu akan mengkaji status sosial, ekonomi dan pendidikan Dalit yang memeluk Islam dan Kristian. Ia akan menyerahkan laporannya dalam masa setahun atau lebih.
Difahamkan Kementerian Hal Ehwal Minoriti dan Jabatan Kakitangan dan Latihan (DoPT) memberi ‘lampu hijau’ berhubung langkah itu.
Dalam konteks ini, Menteri Undang-Undang, Ravi Shankar Prasad berkata dalam Rajya Sabha pada 12 Februari 2021, bahawa Dalit yang memeluk Islam atau Kristian tidak boleh menuntut kuota yang diberikan kepada kasta-kasta yang tersenarai.
Mereka tidak boleh bertanding dalam pilihan raya dari kawasan yang dikhaskan kasta-kasta itu.
Menteri itu menjelaskan bahawa Dalit yang beragama Hindu, Sikh dan Buddha layak bertanding dari kerusi simpanan kasta serta mendapat faedah-faedah yang lain.
“Perintah 3 Perlembagaan (Scheduled Caste) menggariskan bahawa, tiada seorang pun yang menganut agama selain Hindu, Sikh atau Buddha boleh dianggap sebagai ahli kasta,” kata Ravi Shankar Prasad.
Kenyataan itu jelas membezakan antara Dalit yang memeluk agama Islam dan Kristian dengan mereka yang memilih untuk mengamalkan Sikh atau Buddha.
Pendapat mengenai isu ini diambil daripada M.H. Jawahirullah, MLA, dan Presiden Manithaneeya Makkal Katchi (MMK) di Chennai.
Pemimpin MMK itu memetik beberapa penghakiman Mahkamah Agung dan Mahkamah Tinggi mengenai status mualaf.
Beliau berkata Mahkamah memutuskan bahawa Dalit berhak mendapat kuota kasta kerana tiada perubahan dalam status mereka sama ada dari segi kasta atau kelas selepas penukaran agama mereka.
Jawahirullah berkata, beliau membawa perkara ini dalam notis kerajaan Tamil Nadu yang memberi jaminan kepadanya bahawa Dalit Islam akan dipertimbangkan untuk kuota-kuota yang sememangnya dikhaskan untuk kasta-kasta, termasuk Dalit.
Sumber: Muslim Mirror
