Antarabangsa
Tunai umrah buat Ratu Elizabeth II, warga Yaman ditahan polis Saudi
Seorang lelaki Yaman ditahan Polis Arab Saudi pada Isnin lalu susulan tular sebuah video mendakwa lelaki itu mengerjakan ibadah umrah untuk mendiang Ratu Elizabeth II di Masjidil Haram.
- Seorang lelaki Yaman ditahan Polis Arab Saudi susulan tular video yang mendakwa dia membuat umrah untuk mendedikasikan ibadahnya kepada mendiang Ratu Elizabeth II.
- Lelaki itu ditangkap kerana melanggar peraturan umrah iaitu undang-undang Islam yang tidak membenarkan ibadah umrah dilakukan bagi orang yang berlainan agama.
- Menerusi hantaran video tular, lelaki itu didakwa membawa spanduk yang berbunyi “umrah untuk mendiang Ratu Elizabeth II, kami meminta Allah menerimanya di syurga dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh”.
MAKKAH – Seorang lelaki Yaman ditahan Polis Arab Saudi pada Isnin lalu susulan tular sebuah video mendakwa lelaki itu mengerjakan ibadah umrah untuk mendiang Ratu Elizabeth II di Masjidil Haram.
Agensi Keselamatan Awam Saudi melalui ciapan Twitter berkata warga Yaman itu ditahan kerana melanggar peraturan umrah selepas menyiarkan hantaran video beliau memegang kain sepanduk berbunyi “umrah untuk mendiang Ratu Elizabeth II, kami meminta Allah menerimanya di syurga dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh”.
Middle East Eye melaporkan lelaki itu dirujuk kepada pihak pendakwaan awam untuk siasatan.
Penahanan itu dibuat susulan kritikan terhadap lelaki itu menerusi videonya yang tular di media sosial. Undang-undang Islam hanya membenarkan orang Islam menunaikan ibadah umrah bagi orang Islam yang telah meninggal dunia, bukannya individu berbeza agama.
Ratu Elizabeth meninggal dunia pada 8 September lalu ketika berusia 96 tahun. Beliau adalah penganut Kristian yang taat dan berkhidmat sebagai gabenor tertinggi di Gereja England.
Seorang ulama Universiti Al-Azhar, Ashraf al-Najjar membuat komen dalam temu bual televisyen pro-kerajaan pada Isnin lalu dengan mengecam tindakan lelaki Yaman itu kerana melakukan perbuatan yang tidak melambangkan Islam.
“Mendiang Ratu Elizabeth II tidak perlu menunaikan haji atau umrah kerana dia bukan seorang Muslim,” kata ulama itu di TeN TV.
View this post on Instagram
“Haji dan Umrah adalah untuk orang Islam,” katanya.
“Islam menetapkan Makkah dan Madinah hanya untuk orang Islam beribadat, jadi tidak dibenarkan bagi orang bukan Islam memasukinya,” kata Asraf al-Najjar.
Bagaimanapun, beliau berkata solat untuk orang bukan Islam termasuk mendiang ratu, adalah dibenarkan.
“Nabi Muhammad mendoakan seorang lelaki Yahudi yang meninggal dunia ketika pengebumiannya berlaku di sebelahnya,” katanya.
Sumber: Middle East Eye