Terkini
“Rest in Peace’ pakai pandangan mufti kita,’ – Menteri Agama bidas Mustafa Akyol
Susulan sarjana terkenal Turki, Mustafa Akyol mengatakan orang Islam boleh mengucapkan “rest in peace” atau RIP bagi melahirkan takziah kepada orang bukan Islam yang meninggal dunia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata umat Islam perlu mengikut pandangan mufti dan ulama tempatan berhubung ucapan tersebut.
- Umat Islam perlu mengikut pandangan mufti dan ulama tempatan berhubung ucapan tersebut. – Menteri Agama, Datuk Idris Ahmad.
- Mustafa Akyol mengatakan orang Islam boleh mengucapkan “rest in peace” atau RIP bagi melahirkan takziah kepada orang bukan Islam yang meninggal dunia.
- Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata seorang Muslim tidak boleh berdoa mohon keampunan bagi orang bukan Islam ia termaktub di dalam nas yang jelas.
KUALA LUMPUR – Susulan sarjana terkenal Turki, Mustafa Akyol mengatakan orang Islam boleh mengucapkan “rest in peace” atau RIP bagi melahirkan takziah kepada orang bukan Islam yang meninggal dunia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata umat Islam perlu mengikut pandangan mufti dan ulama tempatan berhubung ucapan tersebut.
“Kita pakai pandangan mufti kita,” katanya ringkas dalam mengulas kenyataan Mustafa Akyol.
Sebelum ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dilaporkan bahawa seorang Muslim tidak boleh berdoa memohon keampunan bagi orang bukan Islam kerana itu termaktub di dalam nas yang jelas.
Jelasnya, ucapan “R.I.P” atau “Rest in Peace” itu merupakan doa yang dibacakan orang bukan Islam.
Bagaimanapun, katanya Islam sangat menghormati kematian manusia di mana sunnah bagi orang Muslim untuk mengucapkan takziah dan ucapan-ucapan yang baik kepada orang bukan Islam.
Namun, ramai tidak menyedari penganut Kristian juga dilarang menggunakannya ke atas individu beragama lain.
Terdahulu, penggunaan ucapan R.I.P menimbulkan pertikaian ramai berikutan kematian Ratu Elizabeth II sehingga ada yang mempersoalkan larangan penggunaannya bagi umat Islam.
Dalam pada itu, antara suara lantang lain yang mencelah disebalik perbalahan ini adalah Pendakwah bebas, Firdaus Wong yang menegaskan bahawa penganut Kristian juga dilarang menggunakan ungkapan Rest In Peace (R.I.P) ke atas orang bukan Kristian.