Terkini
Media barat berminda penjajah, guna ‘lesser leaders’ rujuk ketua negara lain
Penggunaan terma ‘lesser leaders’ oleh media United Kingdom (UK), Dailymail untuk merujuk kepada ketua-ketua negara lain yang hadir pada upacara pengebumian Ratu Elizabeth II dalam laporannya, menunjukkan media barat itu tidak sensitif dan berminda penjajah.
- Penggunaan terma ‘lesser leaders’ oleh media United Kingdom (UK), Dailymail untuk merujuk kepada ketua-ketua negara lain yang hadir pada upacara pengebumian Ratu Elizabeth II dalam laporannya, menunjukkan media barat itu tidak sensitif dan berminda penjajah.
- Penggunaan terma ‘lesser’ yang bermakna ‘kurang’ atau ‘rendah’ membawa konotasi negatif, sekaligus memberi gambaran seolah-olah ketua-ketua negara lain kurang penting berbanding Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden.
- “Joe Biden can take the BEAST to the Queen’s funeral at Westminster due to ‘security reasons’ but lesser leaders will have to take the bus,” demikian tajuk laporan Dailymail pada 12 September lalu.
- Terma ‘lesser leaders’ itu juga diulang dalam kapsyen foto laporan berita berkenaan.
- Media barat terbabit boleh saja menyebut ketua-ketua negara lain (others leaders) tapi ia memilih untuk menggunakan terma ‘lesser leaders’ dalam laporan itu.
KUALA LUMPUR – Penggunaan terma ‘lesser leaders’ oleh media United Kingdom (UK), Dailymail untuk merujuk kepada ketua-ketua negara lain yang hadir pada upacara pengebumian Ratu Elizabeth II dalam laporannya, menunjukkan media barat itu tidak sensitif dan berminda penjajah.
Penggunaan terma ‘lesser’ yang bermakna ‘kurang’ atau ‘rendah’ membawa konotasi negatif, sekaligus memberi gambaran seolah-olah ketua-ketua negara lain kurang penting berbanding Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden.
Dalam artikel berita 12 September lalu, Dailymail melaporkan Presiden Biden dibenarkan menggunakan kereta kalis peluru ‘Beast’ pada upacara pengebumian Ratu Elizabeth II, manakala ketua-ketua negara atau pemimpin lain yang kurang penting akan menaiki bas ke upacara itu.
Bagi memberikan gambaran kepada pembaca, tajuk artikel berkenaan adalah seperti berikut, “Joe Biden can take the BEAST to the Queen’s funeral at Westminster due to ‘security reasons’ but lesser leaders will have to take the bus”.
Media barat terbabit boleh saja menyebut ketua-ketua negara lain (others leaders) tapi ia memilih untuk menggunakan terma ‘lesser leaders’ dalam laporan itu. Terma ‘lesser leaders’ itu juga diulang dalam kapsyen foto laporan berita berkenaan.
The Merdeka Times melihat tindakan itu sebagai sikap tidak sensitif Dailymail ketika artikel terbabit ditulis dalam bahasa Inggeris yang tentunya boleh diakses dan difahami ramai pihak.
Terima kasih kepada kolonialisme barat kerana bahasa Inggeris kini menjadi antara lingua franca (bahasa pertuturan) sebilangan besar masyarakat dunia hari ini.
Adakah media berkenaan masih berminda kolonial/penjajah atau merasakan individu berkulit putih itu lebih mulia atau lebih tinggi daripada individu-individu lain dengan memilih terma ‘lesser leaders’ itu?
Ya, kami tidak bodoh! Kalian merujuknya kepada faktor keselamatan Presiden Biden tetapi kalian boleh saja tidak menggunakan perkataan itu (lesser leaders) tanpa mengurangkan maksud yang hendak disampaikan.
Kita memahami keputusan Kerajaan UK untuk memberikan kelebihan itu kepada Presiden Biden atas faktor keselamatan, tetapi Dailymail tidak seharusnya menggunakan terma yang tidak sensitif itu.
Ketua Negara Malaysia, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong bersama Raja-raja dan Permaisuri-permaisuri negara asing berangkat menaiki bas semasa istiadat-istiadat tersebut termasuk Raja Philippe dan Permaisuri Mathilde (Belgium), Raja Felipe dan Permaisuri Letizia (Sepanyol); Raja Carl XVI Gustaf dan Permaisuri Silvia (Sweden), Raja Abdullah dan Permaisuri Rania (Jordan) serta Raja Belanda Willem-Alexander dan Permaisuri Maxima.
Begitu juga Maharaja Jepun dan Sultan Brunei yang berkenan menaiki bas khas disediakan Kerajaan UK bagi memudahkan dan melancarkan pergerakan ke majlis dan istiadat-istiadat yang mendapat perhatian masyarakat dunia itu.
Kita tiada masalah tentang keperluan ketua-ketua negara asing menaiki bas khas kerana ia adalah protokol.
Tapi apa yang menimbulkan kekecewaan adalah sikap media berkenaan yang tidak sensitif dalam laporannya, sedangkan mereka mempunyai pilihan menggunakan perkataan lain yang lebih sesuai ataupun memang benar editorial media barat itu masih berminda penjajah? – The Merdeka Times
Sumber: Daily Mail