Antarabangsa
Mahkamah Agung AS benarkan universiti Yahudi tidak iktiraf kumpulan LGBTQ
Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) memberikan kebenaran sementara kepada universiti yahudi ortodoks di New York untuk menafikan pengiktirafan rasmi kepada kumpulan pelajar LGBTQ.
- Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) memberikan kebenaran sementara kepada universiti Yahudi Ortodoks untuk menafikan pengiktirafan rasmi kumpulan pelajar LGBTQ.
- Universiti Yeshiva mengemukakan kes itu kepada Mahkamah Agung AS bagi mendapatkan keputusan segera susulan hakim New York membenarkan ‘Pride Alliance’ didaftarkan sebagai persatuan pelajar.
- “Sebagai sebuah universiti Yahudi yang mendalami agama, Yeshiva tidak boleh mematuhi perintah itu kerana berbuat demikian akan melanggar kepercayaan agamanya yang tulus tentang kaedah membentuk pelajarnya dalam nilai Taurat,” – Universiti Yeshiva.
- Pada 2018, sekumpulan pelajar LGBTQ membentuk YU Pride Alliance dan memohon diiktiraf secara rasmi sebagai persatuan pelajar supaya mereka boleh mengadakan aktiviti, termasuk menganjurkan kuliah dan mesyuarat.
NEW YORK – Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) memberikan kebenaran sementara kepada universiti yahudi ortodoks di New York untuk menafikan pengiktirafan rasmi kepada kumpulan pelajar LGBTQ.
Universiti Yeshiva mengemukakan kes itu ke Mahkamah Agung AS untuk mendapatkan perintah segera susulan keputusan hakim New York membenarkan ‘Pride Alliance’ didaftarkan sebagai persatuan pelajar, sekaligus memberikannya akses kepada kemudahan dan perkhidmatan tertentu.
“Sebagai sebuah universiti Yahudi yang mendalami agama, Yeshiva tidak boleh mematuhi perintah itu kerana tindakan sedemikian akan melanggar kepercayaan agamanya yang tulus tentang kaedah membentuk pelajarnya dalam nilai Taurat,” kata universiti itu dalam kenyataan rayuannya dipetik Al Jazeera.
Pride Alliance dalam hujah balasnya berkata universiti itu menawarkan banyak kelas mengenai subjek selain daripada agama serta turut mempunyai pelajar-pelajar bukan Yahudi.
Mahkamah Agung pada Jumaat lalu, dengan keputusan 6-3 majoriti memihak kepada Universiti Yeshiva, membenarkan permintaan kecemasan universiti itu bagi menggantung keputusan hakim negeri sementara menunggu perbincangan lanjut.
Mahkamah tidak memberikan alasan di sebalik keputusannya atau pecahan undi dalam keputusan segera itu.
Universiti Yeshiva diasaskan lebih 100 tahun lalu untuk mempromosikan pengajian Yahudi dan mempunyai kira-kira 5,000 pertubuhan pelajar.
Pada 2018, sekumpulan pelajar LGBTQ membentuk YU Pride Alliance dan memohon diiktiraf secara rasmi sebagai persatuan pelajar supaya mereka boleh mengadakan aktiviti, termasuk menganjurkan kuliah dan mesyuarat.
Pertembungan itu adalah sebahagian perbahasan yang meluas di Amerika Syarikat mengenai keseimbangan di antara hak beragama dan prinsip tanpa diskriminasi.
Sumber: Al Jazeera