Terkini
Konsert bawa budaya hedonisme, pembabitan JAKIM & PUSPAL sekadar cukup syarat – Ketua Dewan Ulama PAS
Susulan penganjuran konsert artis luar negara di Malaysia, Dewan Ulama PAS menggesa kerajaan mengambil berat berkenaan konsert yang diadakan dan penularan budaya hedonisme atau budaya yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup.

- Lambakan penganjuran konsert di Malaysia mendapat pelbagai reaksi susulan dikhuatiri membawa budaya hedonisme oleh artis luar negara.
- Pembawaan artis-artis luar negara, apatah lagi dengan imej pendukung tegar LGBT yang dikendong bersama akan memberikan kesan buruk kepada masyarakat dan golongan muda.
- “Bertindak tegas hari ini atau tunggu kerosakan ‘memakan’ tiang seri negara dan agama pada masa akan datang,” – Ketua Dewan Ulama PAS
- Pembabitan agensi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) seolah-olah sekadar cukup syarat.
KUALA LUMPUR – Susulan penganjuran konsert artis luar negara di Malaysia, Dewan Ulama PAS menggesa kerajaan mengambil berat berkenaan konsert yang diadakan dan penularan budaya hedonisme atau budaya yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup.
Menurut Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Ahmad Yahya berkata penganjuran konsert artis barat atau tempatan yang berhibur di luar batasan agama sememangnya merosakkan pemikiran yang kebanyakannya dalam kalangan golongan muda.
“Pembawaan artis-artis luar negara, apatah lagi dengan imej pendukung tegar lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dikendong bersama akan memberikan kesan buruk kepada masyarakat dan golongan muda.
“Keterlibatan artis tempatan yang membawa contoh tidak baik dalam program-program dalam negara juga wajar dikekang dengan berkesan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, katanya pembabitan agensi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) seolah-olah sekadar cukup syarat sahaja.
Tambahnya, adalah tidak wajar sekiranya pandangan serta tegahan mereka ini, tidak didengari oleh pihak jawatankuasa berkenaan.
“Lebih membimbangkan apabila penganjuran konsert itu berlaku ketika Hari Kebangsaan hampir tiba dan dalam keadaan umat Islam baru saja menyambut Maal Hijrah 1444H.
“Bertindak tegas hari ini atau tunggu kerosakan ‘memakan’ tiang seri negara dan agama pada masa akan datang,” katannya.
Bagaimanapun menerusi hantaran dalam laman sosial Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad, beliau turut menyatakan pandangan beliau susulan kemarahan masyarakat Islam berkenaan konsert mega yang dianjurkan baru-baru ini.
“Cukup-cukuplah hiburan melalaikan. Insafi dan renungi musibah wabak Covid-19. Kembalilah kita semua kepada Tuhan,”katanya yang berkongsi di laman sosialnya.
Tambanya beliau berkata penganjuran aktiviti sedemikian dibimbangi mengundang murka Allah SWT.
“Lihat wabak Covid-19, setelah dua tahun bagaimana ekonomi jatuh, golongan T20 menjadi B40, golongan M40 jadi B40, kerja hilang, kilang ditutup. Bahkan hari ini pun ekonomi kita masih tidak menentu.
“Kita berharap benda sebegini (penganjuran konsert), rakyat sendiri mempunyai kesedaran apa yang mereka lakukan, kita bimbang Allah SWT murka kepada kita.”
“Apabila kena bala Allah SWT, kena semua. Tidak kira Menteri Agama, tok imam dan orang yang pergi tempat maksiat,” katanya dalam sidang media Konvensyen Mahasiswa Malaysia 2022, di Dewan LKIM semalam.
Terdahulu, penganjuran konsert penyanyi antarabangsa, Billie Eilish di Kuala Lumpur mendapat perhatian segelintir badan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa pemimpin PAS yang mendakwa artis itu mempunyai kaitan dengan LGBT.
Malaysia dijangka bakal mengadakan sebanyak 10 konsert bersiri yang akan menampilkan penyanyi antarabangsa terkenal di beberapa lokasi tertentu sehingga hujung tahun ini.
