Connect with us

Kolumnis

Mengapa pengedar dadah dihukum mati?

Seorang rakyat Malaysia, Kalwant Singh dilaporkan telah menjalani hukuman mati di Singapura atas kesalahan memiliki 60.15 gram diamorfin dan mengedar 120.9 gram dadah tersebut.

Editor The Merdeka Times

Published

on

Tali gantung
Gambar sekadar hiasan.
  • Seorang rakyat Malaysia, Kalwant Singh menjalani hukuman mati di Singapura atas kesalahan miliki dan edar dadah.
  • Undang-undang di Malaysia turut menjalankan hukuman mati untuk beberapa kesalahan berat.
  • Aktivis penentang hukuman mati menganggapnya sebagai satu bentuk pencabulan hak asasi manusia dan tidak berperikemanusiaan.
  • Dadah runtuhkan institusi kekeluargaan, melemahkan ekonomi dan melumpuhkan pembangunan negara.
  • Hukuman mati dilihat masih relevan, namun institusi keadilan memainkan peranan bagi menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan perbuatan penjenayah yang menyalahi aturan sistem kemasyarakatan, dan pada masa sama menggerunkan masyarakat untuk melakukan kesalahan yang sama.

Seorang rakyat Malaysia, Kalwant Singh dilaporkan telah menjalani hukuman mati di Singapura atas kesalahan memiliki 60.15 gram diamorfin dan mengedar 120.9 gram dadah tersebut.

Undang-undang di negara Malaysia turut menjalankan hukuman mati untuk beberapa kesalahan seperti mengedar dadah, membunuh, melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong, terlibat dalam aktiviti keganasan dan menculik.

Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang. Ini bermakna sekiranya undang-undang telah menetapkan hukuman mati bagi pesalah, ia dikira tidak melanggar hak asasi di bawah peruntukan perlembagaan tersebut sekiranya dijatuhkan ke atas tertuduh.

Aktivis penentang hukuman mati berhujah bahawa hukuman mati adalah satu bentuk pencabulan hak asasi manusia yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Namun begitu, tidak dinafikan masih ramai yang menyokong pelaksanaan hukuman mati.

Jika diteliti, kegiatan mengedar dadah menjadi punca utama kepada isu ketagihan dadah. Penagih tidak boleh wujud sekiranya pengedar dadah tidak wujud. Masalah ketagihan ini seterusnya akan memberi kesan buruk bukan hanya kepada penagih, malah ia juga akan menjejaskan keamanan dan keselamatan segenap lapisan masyarakat.

Dadah adalah musuh paling jahat yang berupaya meruntuhkan institusi kekeluargaan, melemahkan kekuatan ekonomi dan melumpuhkan pembangunan negara. Ia turut menjadi punca kepada jenayah lain seperti rompak, curi dan bunuh.

Keseriusan kesalahan berkaitan dadah tercermin dalam undang-undang dadah Malaysia, yang mempunyai hukuman sangat keras bagi pengedar dadah.

Advertisement

Secara khusus, beberapa undang-undang dadah telah digubal untuk menangani masalah dadah:

(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 (undang-undang dadah utama),

(2) Akta Racun 1952 (bertujuan mengawal bahan, yang berada dalam Senarai Racun),

(3) Akta Tanggungan Dadah 1983 (memberi tumpuan kepada memberi rawatan dan pemulihan kepada penyalahgunaan dadah),

(4) Akta Agensi Anti Dadah Kebangsaan 2004 (penubuhan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (NADA)

Justeru, hukuman paling berat seperti hukuman mati dilihat sebagai hukuman yang setimpal untuk golongan ini. Namun bukan mudah untuk seorang hakim menjatuhkan hukuman mati ke atas tertuduh. Hal ini kerana dalam setiap kes jenayah memerlukan beban pembuktian melampaui keraguan munasabah (beyond reasonable doubt). Sekiranya wujud sebarang keraguan, sukar untuk tertuduh disabit bersalah. Institusi keadilan memainkan peranan yang paling penting bagi memastikan tiada kes tersalah hukum.

Advertisement

Hukuman mati dianggap masih relevan untuk mengambil kira kepentingan hidup masyarakat dan negara. Hukuman yang dikenakan haruslah setimpal dengan perbuatan penjenayah yang menyalahi aturan sistem kemasyarakatan, dan pada masa sama menggerunkan masyarakat untuk melakukan kesalahan yang sama.

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Kolumnis

Dakwaan rasuah: Aduan bertulis atau lisan, SPRM siasat Ahli Parlimen menukar sokongan

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mendakwa antara lain terdapat unsur rasuah berkenaan beberapa Ahli Parlimen Bersatu yang berubah angin menyokong pentadbiran kerajaan di bawah teraju Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Avatar

Published

on

Foto: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mendakwa antara lain terdapat unsur rasuah berkenaan beberapa Ahli Parlimen Bersatu yang berubah angin menyokong pentadbiran kerajaan di bawah teraju Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Pada 14 November lalu, Bersatu membuat laporan polis susulan daripada dakwaan mantan Perdana Menteri Malaysia ke-8 itu di mana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 16 November 2023 melalui Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan suruhanjaya itu akan menjalankan siasatan telus berhubung dakwaan Muhyiddin.

Merujuk peruntukan Seksyen 29 Akta SPRM (Akta 694), SPRM mempunyai punca kuasa untuk menyiasat sebarang aduan dan maklumat berkenaan mana-mana pelakuan suatu kesalahan yang wujud di bawah Akta SPRM. 

Aduan atau maklumat yang dimaksudkan itu boleh disampaikan secara bertulis atau lisan kepada SPRM dan selanjutnya pegawai SPRM boleh menjalankan siasatan terhadap aduan dan maklumat tersebut menurut peruntukan Akta SPRM dan Kanun Tatacara Jenayah berkenaan prosedur dan tatacara pengendalian siasatan.

Dalam konteks ini, dapat kita lihat bahawa bentuk aduan dan maklumat berkenaan mana-mana kesalahan di bawah Akta SPRM boleh dibuat sama ada dalam bentuk bertulis atau lisan kepada pihak penguatkuasa sama ada pihak polis atau SPRM secara langsung. 

Sekiranya laporan polis telah dibuat, maka pihak polis akan merujuk laporan polis itu kepada SPRM sekiranya terdapat atau wujud elemen-elemen kesalahan yang menjurus kepada peruntukan kesalahan di bawah Akta SPRM sebagaimana dalam isu yang viral ini.

Advertisement

Selanjutnya apabila pegawai penyiasat SPRM membuat siasatan bagi aduan dan maklumat tersebut, peruntukan Seksyen 30 Akta SPRM memberi punca kuasa kepada pegawai penyiasat SPRM untuk mengarahkan mana-mana individu untuk hadir dengan membawa sebarang dokumen diperlukan atau sebaliknya untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan dijalankan terhadap aduan dan maklumat yang dibuat itu. 

Bagi maksud siasatan dijalankan pegawai SPRM tersebut jua mempunyai punca kuasa untuk memeriksa dan menggeledah termasuk menyita apa-apa barang yang dijumpai tanpa memerlukan waran kecuali bagi tujuan pemeriksaan badan individu oleh pegawai SPRM hendaklah dilakukan oleh orang yang sama jantinanya sebagaimana peruntukan di bawah Seksyen 31 Akta SPRM.

Kemudiannya pada 28 November 2023, SPRM membuat kenyataan media bahawa tiada unsur rasuah setakat ini terhadap empat Ahli Parlimen Bersatu menyokong Anwar, menunjukkan bahawa pada ketika ini tiada sebarang elemen kesalahan yang dipenuhi dalam mana-mana peruntukan kesalahan di bawah Akta SPRM untuk mewajarkan SPRM meneruskan pengesyoran pendakwaan kepada Pendakwa Raya sebagaimana peruntukan Seksyen 58 Akta SPRM. 

Walau bagaimanapun, sekiranya pada masa hadapan terdapat keterangan yang memenuhi elemen-elemen kesalahan mana-mana peruntukan kesalahan di bawah Akta SPRM, maka SPRM boleh meneruskan siasatan sedia ada bagi melengkapkan kertas siasatan tersebut. 

Adalah perlu diketahui bahawa bagi mana-mana kesalahan di bawah Akta SPRM hendaklah terlebih dahulu mendapat keizinan daripada Pendakwa Raya bagi pendakwaan kesalahan di bawah mana-mana peruntukan di dalam Akta SPRM dilaksanakan di Mahkamah.

Akhirul kalam, undang-undang pencegahan rasuah di negara kita telah mencakupi pelbagai aspek kesalahan rasuah dan kesalahan berhubung rasuah sebagaimana terkandung di dalam Akta SPRM. 

Advertisement

Matlamat penubuhan SPRM sebagai sebuah badan pencegahan rasuah yang bebas dan bertanggungjawab selari dengan peruntukan Seksyen 2 Akta SPRM adalah wajar dilaksanakan dengan telus dan berintegriti terhadap pentadbiran awam dan swasta, termasuk mana-mana individu tidak kira latar belakang dan status jawatannya dalam mendaulatkan undang-undang negara. 

Segala aduan dan maklumat disalurkan kepada SPRM hendaklah dipandang serius dalam meletakkan kepercayaan rakyat kepada badan penguatkuasa bebas di negara kita. – The Merdeka Times

Muhammad Hariz Md Yusoff adalah Timbalan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Advertisement
Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending